Rabu, 19 Jun 2019

Ayam Masak Merah Yang Sedap


Ayam Masak Merah Yang Sedap

Seperti yang dijanjikan dalam entri Nasi Beriani Johor baru baru ini, kali ini saya kongsikan pula resepi Ayam Masak Merah versi Bonda Nani Rostam. Boleh klik entri Nasi Beriani di SINI dan entri Daging Beriani di SINI. Untuk Acar klik di SINI. Selain dimakan dengan Daging Beriani, nasi beriani sedap juga dimakan dengan Ayam Masak Merah.        

Saya tertarik bila Puan Nani bercerita yang lauk ayam masak merah ini yang dimasak oleh adik beradik beliau menghasilkan rupa dan rasa yang sama sahaja. Haa bukan senang nak dapat hasil yang konsisten melainkan setelah betul betul belajar dan ikut cara penyediaan yang diajar. 

Apa apa pun terima kasih pada Puan Nani kerana sudi berkongsi resepi dan tidak lokek ilmu. Insya Allah perkongsian ilmu yang dimanafaat, pasti kita akan mendapat ganjarannya dari Allah. Kita tidak perlu risau pun, apa yang saya hasilkan tidak sama dengan apa yang Puan Nani sediakan yang rasanya masakan beliau lebih sedap. Bagi yang berniaga juga begitu, jangan risau dengan kehilangan rezeki, jangan kedekut kerana kelak kita akan menyesal bila kita tiada lagi di dunia ini. 


Ayam Masak Merah Yang Sedap

Satu yang berbeza dengan resepi Ayam Masak Merah versi Azie Kitchen ialah terdapat penggunaan buah keras, udang kering dan penggunaan serai yang banyak. Juga Puan Nani menggunakan buah tomato yang direbus sehingga kulit boleh ditarik keluar. Jika tidak rajin untuk merebus, boleh guna buah tomato yang di dalam tin.

Kadang kadang sedikit kelainan teknik dapat menghasilkan rasa yang berbeza. Boleh klik di SINI untuk keeper recipe Ayam Masak Merah yang saya gunakan. Jika belum pernah mencubanya, bolehlah dicuba kedua duanya sekali. Boleh dirasakan perbezaannya. Memasak pun perlu dipelbagaikan supaya tidaklah jemu makan masakan yang sama. 


Ayam Masak Merah Yang Sedap

Insya Allah saya akan menggunakan resepi ini lagi di masa masa akan datang. Boleh dilebihkan sedikit cili kering kisar bagi menghasilkan rencah atau kuah yang lebih banyak. Semua boleh disesuaikan sendiri. Jika rasa kurang, tambahlah di sana sini. Saya mengesyorkan untuk anda mencuba resepi ini dan nanti bolehlah beritahu saya atau tag saya di Instagram ya.

Jom layan resepi di bawah ini dan jangan lupa untuk menonton video di Azie Kitchen youtube channel di SINI. Selamat mencuba... 


Ayam Masak Merah Yang Sedap

Ayam Masak Merah 

Bahan bahan:
1 ekor ayam - lumur garam kunyit & goreng 3/4 masak
6-8 batang serai ketuk 
¼ tin susu cair
2-3 biji buah tomato - direbus
8 sudu besar cili kering kisar
Sedikit garam
Gula

Bahan kisar:
8 biji bawang merah
5 ulas bawang putih
1 inci halia
3 biji buah keras
Sejemput udang kering

Cara cara:
Panaskan minyak dan tumis serai dan bahan kisar sehingga terbit minyak. Masukkan cili kering kisar dan tumis lagi sehingga terbit minyak dan cili benar benar garing.


Ayam Masak Merah Yang Sedap

Ayam Masak Merah Yang Sedap

Masukkan sedikit air dan tumis sehingga terbit minyak sekali lagi untuk memastikan ianya benar benar masak.  

Masukkan buah tomato, gula dan garam secukupnya. 


Ayam Masak Merah Yang Sedap

Kemudian masukkan ayam yang telah digoreng. Masak dan renih dengan api perlahan supaya perisa ayam sebati dengan sambal. 


Ayam Masak Merah Yang Sedap

Akhir sekali, dimasukkan sedikit susu cair. Sesuaikan rasa dan sedia untuk diangkat. 

Ayam Masak Merah Yang Sedap

Jika suka, taburkan daun ketumbar.


Ayam Masak Merah Yang Sedap


Add your comment
EmoticonEmoticon