Rabu, 30 Oktober 2019

Masak Lomak Cili Api Udang

Masak Lomak Cili Api Udang

Saya tiba tiba teringin hendak memasak masak lomak cili api udang galah tapi tak ada udang galah, guna jer udang harimau yang beli di Sabah hari tu. Balik dari pejabat, saya terus ke dapur. Keluarkan kelapa parut, keluarkan cili api dan kunyit hidup dari peti ais. Pong pang pong pang, sekejap jer dah siap. 

Hmm bukan boleh makan pun tapi teringin nak masak bila dengar anak buah kami Zetty yang kawin dan menetap di Seremban yang keluarga mertua dia suka makan masak lomak cili api udang galah yang dicicah dengan cucur bawang. Cucur bawang kosong jer yang hanya guna tepung, air, bawang dan garam sahaja. Goreng garing garing dan makan dengan kuah masak lomak yang banjir.

Tak berani nak mengambil risiko naik allergi, tak sanggup tengok badan penuh dengan bengkak bengkak dan gatal. Kalau tak benar benar sedap, saya simpan dulu hasrat nak menjamah udang. Nelly dengan Ros jer yang makan nasi putih dengan masak lomak cili api udang yang saya masakkan ini.

Entah mengapa saya sekarang tak suka sangat dengan udang galah. Mungkin sebab dari kecil makan udang galah yang ditangkap oleh arwah ayah menggunakan bubu yang dipanggil gogoh di Kelantan. 

Saya cuma makan udang galah sungai beria ia semasa di Bangkok masa transit 2 malam sebelum ke Paris tahun 2010. Udang galah yang dibakar dan rebus kot. Masa tu, saya belum lagi mengalami masalah allergy. Kalau nampak udang galah dihidangkan, memang tak terasa nak menjamahnya.

Masak Lomak Cili Api Udang

Masakan Nogori terutama masak lomak cili api ni memang lauk kegemaran saya. Walaupun tidak berasal dari Nogori tapi saya memang suka mencuba masakan Nogori dan lain lain negeri juga. Nak memastikan masak lomak sedap senang jer, pastikan cukup berlemak santan nya, cukup pedas, masam masinnya. Haa sedap lah. 

Juga ikan atau udang mestilah segar. Saya pula suka sangat dengan aroma daun kunyit. Jadi kalau masak lemak, memang akan dicampakkan sehelai dua atau setakat yang ada dalam peti ais.  

Jom layan resepi masak lomak cili api Nogori yang saya guna di bawah ini. Selamat mencuba...

Masak Lomak Cili Api Udang

Masak Lomak Cili Api Udang

Bahan bahan:
12 ekor udang harimau
1 biji kelapa - santan pekat
1 keping asam keping
½ helai daun kunyit
1-2 batang serai diketuk - tak letak
Garam 

Bahan Kisar:
½ inci kunyit hidup
Segenggam cili api kampung

Cara cara:
Masak bahan kisar sehingga masak dan airnya kering. Tuangkan santan dan kacau sehingga mendidih supaya santan tidak berketul atau pecah minyak.

Masak Lomak Cili Api Udang

Masak Lomak Cili Api Udang

Setelah mendidih, masukkan asam keping dan udang. Kacau sehingga mendidih lagi.

Masak Lomak Cili Api Udang

Masukkan garam dan daun kunyit. Biarkan mendidih kecil atas api perlahan sehingga kuah masak cantik, barulah ditutup api.

Masak Lomak Cili Api Udang

Nota:
Masak lomak digandingkan dengan bahan masam masam lagi sedap seperti belimbing buluh, pucuk asam dsb.

Sedap dimakan dengan cucur bawang yang digoreng garing dan dimakan dengan kuah lomak banjir. Cucur bawang menggunakan tepung, air, garam dan bawang merah sahaja.



1 ulasan:

Add your comment
EmoticonEmoticon