Rabu, 14 Ogos 2019

Nasi Dagang Kelantan Menggunakan Periuk Noxxa Di Hari Raya Aidil Adha

Nasi Dagang Kelantan Menggunakan Periuk Noxxa

Selamat Hari Raya Aidil Adha buat semua umat Islam tidak kira di mana berada. Hari Raya ini juga dikenali sebagai Hari Raya Haji atau Hari Raya Korban. Hidup perlukan pengorbanan walau siapapun kita. Kadang kadang kita perlu mengorbankan hati dan perasaan sendiri demi kebahagiaan orang yang disayangi. Tapi berapa ramai yang begini? 

Khalayak ini ramai terutama para suami yang bukan berkorban tapi mengorbankan perasaan orang lain demi diri sendiri. Bila setiap kali melakukan dosa, kita tidak terus nampak, jadi kita mengambil ringan. Perkara perkara ghaib seperti dosa pahala, syurga neraka harus kita percaya dan ingat. Kita tinggalkan bab pengorbanan dan masuk bab resepi.

Kami menyediakan nasi dagang sebagai hidangan utama di hari raya Aidil Adha. Saya memasak lauk nasi dagang sehari sebelumnya kerana ia akan menjadi lebih sedap dan mesra. Kuah akan menjadi bertambah cantik, lebih lebih lagi jika menggunakan santan segar. 

Kali ini saya tidak menyediakan nasi dagang dengan kaedah tradisional. Sebaliknya menggunakan periuk tekanan Noxxa. Memang sangat mudah dan cepat disediakan. Saya 2 kali menyediakan nasi dagang. Sekali pagi pagi sebelum keluar solat sunat Aidil Adha untuk hidangan kami sekeluarga. Kemudian sebelah petang untuk hidangan besan kami datang beraya. 

Nasi Dagang Kelantan Menggunakan Periuk Noxxa

Saya menyediakan 3 jenis lauk iaitu Gulai Ikan Tongkol, Gulai Udang dan Gulai Ayam. Telur rebus juga dimasukkan dalam gulai ikan. Jika tidak, telur rebus boleh dihidangkan begitu sahaja. Selain itu, saya juga menyediakan sambal kelapa seperti mana lazimnya nasi dagang Kelantan dan juga acar timun. Sambal ikan adalah wajib ada untuk melengkapkan nasi dagang Kelantan. Sambal yang sama dimakan dengan nasi impit. 

Saya sangat berpuas hati dengan kejadian Gulai ikan tongkol kali ini. Bukan sahaja sedap tetapi juga cantik kekuningan dan pekat. Serius sangat sedap nasi dagang kali ini. Saya bukan sahaja makan menambah nambah tetapi makan berulang ulang. Haa berbaloi baloi. Boleh klik resepi Sambal Kelapa di SINI. Klik di SINI untuk Acar Mentah resepi kakak saya. Kata Kak Nah, jika cukup cuka dan gula, barulah acar timun akan menjadi rangup.

Jom layan resepi yang saya gunakan hari ini. Video penyediaan gulai Ikan tongkol boleh klik di SINI. Selamat mencuba...

Nasi Dagang Kelantan Menggunakan Periuk Noxxa

Nasi Dagang Menggunakan Noxxa
Oleh: Azie Kitchen

Bahan A
I kg beras nasi dagang kelantan
Air - 1/2 inci atau 1/2  dari ruas atas jari telunjuk dari paras beras

Bahan B
7 ulas bawang merah - hiris
1 inci halia- hiris
1 sudu besar halba

Bahan C
1 1/2 cawan santan pekat 
4 sudu besar gula
1 sudu besar garam kasar

Cara-cara:
Beras nasi dagang kelantan dibasuh dan direndam seketika. Kemudian toskan. Masukkan ke dalam inner pot periuk tekanan dengan air. Guna jari telunjuk, hujung cari telunjuk cecah paras atas beras. Paras air adalah 1/2 inci atau paras separuh dari ruas atas jari telunjuk. Guna fungsi low pressure selama 8 minit. 

Selepas 8 minit, lepaskan tombol dan letak pada fungsi steam. Masukkan bawang, halia dan halba ketika nasi masih panas panas. 

Kemudian tuang santan yang telah disatukan dengan garam dan gula. Tuang santan sedikit demi sedikit sehingga nasi cukup lembut. Gaul rata sehingga nasi kelihatan berkilat. 

Nasi Dagang Kelantan Menggunakan Periuk Noxxa

Masukkan semula dalam inner pot dan guna pula steam selama 60 minit. Siap dan sedia untuk dihidangkan.


Nasi Dagang Kelantan Menggunakan Periuk Noxxa

Gulai Ikan Tongkol Lauk Nasi Dagang 
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
1 ekor ikan tongkol hitam rebus - 1 1/2 kg
4 biji telur rebus - opsyenal
2 sudu besar rempah kari
½ sudu kecil halba
½ kg santan pekat
2 keping asam keping
Garam
Gula
Gula Melaka

Bahan kisar:
8 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1 inci lengkuas
1 inci halia
1 sudu cili kering kisar - sekadar untuk warna kuah sedikit kemerahan

Cara cara:
Ikan direbus dengan 5-6 keping asam, segenggam garam dan ½ keping gula Melaka dengan air tenggelam ikan. Rebus sehingga air hampir kering.

Nasi Dagang Kelantan Menggunakan Periuk Noxxa

Nasi Dagang Kelantan Menggunakan Periuk Noxxa

Panaskan minyak dan tumis bahan kisar sehingga wangi. Setelah wangi, masukkan rempah kari dan tumis lagi sehingga terbit minyak. 

Tuang santan dan kacau sehingga santan mendidih. Tumis dan masukkan santan pekat, asam keping, gula dan garam.

Nasi Dagang Kelantan Menggunakan Periuk Noxxa

Boleh tambah air dan masak lagi sehingga kuah pekat. Boleh ditambah air secara berulang ulang sehingga kuah cantik, baru dimasukkan ikan dan telur rebus, jika suka. 

Akhir sekali, masukkan lada hijau dan cili padi sebagai hiasan. 

Nasi Dagang Kelantan Menggunakan Periuk Noxxa

Nota:
Kuah gulai lauk nasi dagang mesti sedikit pekat. Sedap disediakan sehari sebelum hendak diguna.


Add your comment
EmoticonEmoticon