Rabu, 27 Mac 2019

Ikan Baung Masak Lemak Cili Api

Ikan Baung Masak Lemak Cili Api

Ibubapa saya tidak pernah nenekankan atau memaksa anak anak perempuan untuk ke dapur. Lagi pulak kami hanya makan masakan dan lauk pauk yang simple sahaja. Makan untuk hidup bukan hidup untuk makan. Sebaliknya ibubapa menekankan supaya kami belajar sekolah pandai pandai dan juga penekanan bab mengaji dan solat. Sejak di bangku sekolah, saya tidak disuruh buat kerja kerja dapur. Jika ingin menolong, ianya adalah kerana kehendak sendiri. 

Jadi minat saya pada masakan sejak sekolah menengah rendah lagi bukan didorong oleh sesiapa. Tapi disebabkan minat sendiri lebih lebih lagi melihat gambar masakan dalam majalah. Apalagi kalau resepi yang menpunyai gambar langkah demi langkah. 

Di sekolah saya tidak mengambil subjek sains rumahtangga. Memang tiada pendedahan pada kerja kerja rumah. Menjahit langsung saya tidak pandai. Sejak zaman sekolah selalu berangan nak hidup kaya, ada pembantu rumah yang memasak dan membuat kerja kerja rumah. 

Disebabkan itu juga saya tidak pandai memasak ketika berkahwin. Saya belajar dan menyalin resepi masakan dari negeri negeri lain dari rakan rakan sepejabat. Memasak memerlukan praktis dan praktis. Bila sekali sekala ke dapur, memang tidak akan menjadi dengan sedap. 

Tapi suami saya tidak kisahpun. Dia faham saya seorang isteri dan ibu yang berkerjaya. Dah belajar tinggi tinggi, tak kan lah tak bekerja pula. Ibubapa saya memang mengharapkan saya bekerja dan menpunyai masa depan yang terjamin. Dah bekerja, balik rumah dah penat. Dengan anak yang masih kecil ketika itu, makan di luar lebih menjimatkan dari memasak sendiri di rumah. 

Ketika saya menpunyai pembantu rumah yang bekerja dengan kami selama 18 tahun, saya jarang jarang ke dapur. Hanya sekali sekala saya memasak bila menpunyai majlis di rumah. Itu pun semua bahan disediakan dan saya hanya memasak sahaja. 

Tapi siapa sangka selepas berpindah ke rumah baru, dengan tiada pembantu rumah pula gigih memasak. Maksudnya sebelum memasak, persiapan bahan perlu disediakan sendiri dan selepas memasak juga perlu mengemas sendiri. Lebih tak disangka juga bila saya menjadi seorang food blogger. 

Kesimpulan yang saya buat ialah sesiapa pun boleh pandai memasak. Cuma yang membezakan ialah keutamaan yang diberi dalam hidup. Keutamaan bagi kedua ibubapa saya ialah anak yang berjaya dalam pelajaran dan mendapat pekerjaan yang baik. Begitu juga keutamaan saya pada anak anak saya. Cuma mereka sendiri memang minat dan pandai memasak. OK sekarang kita masuk pula bab ikan sungai iaitu ikan baung.

Ikan Baung Masak Lemak Cili Api

Sejak kecil saya biasa dengan ikan sungai kerana belakang rumah saya memang ada sungai yang agak besar dan pastinya dalam. Sungai itu juga berarus deras dan memang menpunyai buaya. Di sungai itulah arwah ayah saya mencari rezeki dengan menangkap udang galah menggunakan bubu yang berumpankan isi kelapa yang dibakar.

Walaupun biasa dengan ikan sungai, tetapi saya tidak pernah kenal ikan baung, patin, lais ini semua. Yang saya kenal adalah ikan lampan jawa, ikan puyu, ikan haruan dan ikan keli. Saya juga suka memancing ikan puyu. Tapi saya tak suka makan ikan sungai. 

Cuma kebelakangan ini, asyik melihat kawan kawan di Instagram yang menangkap ikan baung liar atau ada yang menunjukkan masakan ikan baung, menjadikan saya ingin mencuba memasak sendiri. Maka itulah terhasilnya resepi ikan baung masak lemak cili api hari ini.  

Ikan Baung Masak Lemak Cili Api

Rasanya inilah kali pertama saya makan ikan baung liar. Rasanya memang tidak hanyir. Cuma saya secara jujur, kurang menggemari ikan sungai. Kalau ikan sungai pun, ianya mesti digoreng. Kalau ikan yang dimasak gulai, mesti lauk yang dimasak oleh orang lain. Jika saya memasak sendiri, pasti saya tidak menjamahnya.

Bukan sahaja ikan sungai, ikan laut juga saya suka yang bergoreng atau yang telah direbus atau diperap dengan garam. Mungkin sebab saya dibesarkan seperti itu. Kalau ikan diperap garam kunyit lama, baru digoreng. Jadi saya agak terkejut bila melihat Hubby melumur garam kunyit pada ikan dan terus digoreng. Ketika itu, memasak lauk untuk saya yang sedang di dalam pantang di KL. 

Arwah Bonda saya juga suka memerap ikan duri dengan garam beberapa jam sebelum dimasak gulai. Cuma setelah menetap di KL, barulah saya tahu yang ikan segar sedap rasanya. Sedang tekak saya telah agak sukar untuk makan ikan yang tidak masin isinya. Ya lah kalau di Kelantan, lauk nasi berlauk, semuanya menggunakan ikan rebus yang telah direbus dengan garam semalaman.  

Saya makan bahagian perut ikan yang lembut dan berlemak. Memang sedap. Telur ikan pulak, besar. Kalau anda menpunyai stok ikan baung liar, saya memang syorkan anda mencuba resepi ini. Jika suka masak lemak cili api yang mengandungi tempoyak, boleh klik entri sebelum ini di SINI.

Jom layan resepi di bawah ini dan juga video penyediaannya di Azie Kitchen youtube channel di SINI. Jangan lupa subscribe ya.

Ikan Baung Masak Lemak Cili Api

Ikan Baung Masak Lemak Cili Api
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
1 ekor ikan baung liar
1 biji kelapa - santan
2 keping asam keping
Garam

Bahan kisar:
20-30 tangkai cili api - cili api kampung, lagi sedap
2 inci kunyit hidup

Cara cara:
Ikan yang disiang dan dibersih, dilumur dengan tepung gandum. Biarkan seketika. Kemudian barulah dibilas bersih.

Ikan Baung Masak Lemak Cili Api

Ikan Baung Masak Lemak Cili Api

Masukkan bahan kisar halus ke dalam kuali dan masak sehingga ianya masak dan kering. 

Ikan Baung Masak Lemak Cili Api

Setelah kering, baru dimasukkan santan cair dan kacau sehingga mendidih dengan api perlahan. 

Masukkan ikan dan asam keping. Masak sambil terus dikacau supaya santan tidak berketul sehingga ikan masak. 

Ikan Baung Masak Lemak Cili Api

Akhir sekali, tuangkan santan pekat dan terus masak dengan api perlahan sehingga mendidih kecil dan tiada buih dalam kuah. Barulah kuah benar benar masak.

Akhir sekali, masukkan garam. Tutup api dan sedia untuk dihidangkan. Terus kacau beberapa minit lagi selepas api ditutup supaya kuah cantik dan tidak berketul. 

Ikan Baung Masak Lemak Cili Api


Add your comment
EmoticonEmoticon