Sabtu, 8 Disember 2018

Kuih Lompat Tikam Kelantan Yang Nostalgia Bersama Bonda

Kuih Lompat Tikam Azie Kitchen

Kuih Lompat Tikam adalah kuih yang boleh dianggap signature dish arwah Bonda saya, Hajjah Jahara Sulaiman. Kalau di kampung dulu, kuih lompat tikam Bonda dinanti nantikan di madrasah selepas solat Terawih. Bila giliran Bonda menyediakan kuih untuk dihantar ke madrasah, kuih lompat tikam lah pilihannya. 

Tapi macam biasalah orang dulu dulu memasak atau menyediakan kuih muih semua main campak campak sahaja. Saya pernah belajar dan ditunjukkan cara menentukan kesesuaian cairan bahagian hijau dengan mengangkat sudip dan melihat bentuk jatuhan bancuhan tepung yang laju dan tidak menitis nitis. 

Kuih Lompat Tikam Azie Kitchen

Banyak kali juga saya gagal menyediakan bahagian lapisan hijau. Akhirnya saya balik dan mengambil kuali tembaga arwah Bonda untuk di bawa ke sini. Dengan menggunakan kuali tembaga, barulah kuih lapisan hijau menjadi berkilat dan timbul gelembung lup lup lup di permukaannya menandakan ianya telah masak. Kalau kuali atau periuk biasa agak sukar.

Kuali tembaga Azie Kitchen

Hari ini saya menyediakan kuih lompat tikam selepas rasa tak mahu makan nasi. Rasa ingin berehat. Memang saya hanya jadi tukang kacau bahan di kuali sahaja. Semua persediaan di buat oleh Ros, pengasuh Ammar. Dia juga yang mengambil itu dan ini. Saya memang tidak boleh banyak bergerak atau lama berdiri. Kaki saya akan menjadi bengkak dengan serta merta disebabkan pengaliran darah yang belum normal selepas pembedahan kaki. 

Ketika tengah memasak, Boy dan Mia balik. Jadi Mia pun turut membantu saya di dapur. Alhamdulillah kerana berbaloi baloi dapat menyediakannya sendiri. Barulah ianya terhasil mengikut selera dan citarasa sendiri. Walaupun kuih lompat tikam banyak dijual dalam bekas plastik tapi susah untuk mendapatkan rasa lompat tikam yang authentic Kelantan.  

Kuih Lompat Tikam Azie Kitchen

Saya masih mengekalkan cara tradisional seperti yang dibuat oleh Bonda. Kecuali air gula yang saya permodenkan sedikit dengan menyediakan air gula hangus dan memasukkan sedikit bancuhan tepung jagung untuk memekatkannya. Kalau cara Bonda, hanya memasak gula Melaka dengan sedikit air sehingga cair sahaja. Dengan cara menggoreng gula, ianya akan lebih sedap hasil dari proses caramelised gula tadi. 

Lagi satu Bonda tidak pernah menyediakan pulut berwarna untuk dimakan dengan kuih lompat tikam. Kuih lompat tikam Bonda hanya tiga bahagian sahaja iaitu lapisan hijau, lapisan kuah santan dan lapisan air gula. 

Kuih Lompat Tikam Azie Kitchen

Tapi dah saya tengok ramai yang menghidangkan sekali dengan pulut merah, saya sediakan lah juga. Sekadar untuk menambah warna cantik. Dan makannya pun boleh rasa ala ala kuih lopes. Hahaha Kalau mahu cantik pulut elok dikukus tapi saya tidak cukup dapur, jadi saya memasak dengan menggunakan rice cooker sahaja.

Klik di SINI untuk melihat entri Kuih Lompat Tikam yang saya sediakan sebelum ini. Jom layan resepi yang saya gunakan hari ini dan juga video penyediaannya di Azie Kitchen youtube channel di SINI. Selamat mencuba....


Kuih Lompat Tikam Azie Kitchen

Kuih Lompat Tikam Kelantan

Bahagian Hijau:
3 cawan tepung beras
1 sudu kecil air kapur - air yang jernih sahaja
2 1/2 cawan air daun pandan - dua titis pewarna hijau
4 cawan air

Daun pandan dikerat kerat dan dikisar bersama air. Tapis dan sedia untuk digunakan sebagai air daun pandan. Nota: hari ini saya guna jumlah air dan air daun pandan ialah 7 cawan. Tapi rasanya kalau 6 1/2 cawan, lebih cantik kejadiannya.

Kuih Lompat Tikam Azie Kitchen

Satukan semua bahan di dalam mangkuk dan kacau rata. Tapis ke dalam kuali. 

Kuih Lompat Tikam Azie Kitchen

Kuih Lompat Tikam Azie Kitchen

Kacau atas api perlahan sehingga pekat, berkilat dan ada timbul gelembung meletup letup. Pastikan adunan betul betul masak. 

Kuih Lompat Tikam Azie Kitchen

Kuih Lompat Tikam Azie Kitchen

Tuangkan adunan ke dalam loyang besar dan sejukkan. Setelah sejuk, dipotong potong ikut suka. 

Kuih Lompat Tikam Azie Kitchen

Nota: 
Elok dibuat lebih awal bagi memastikan ianya telah keras dan sedia untuk dipotong.  



Kuih Lompat Tikam Azie Kitchen

Kuah Santan
1 biji kelapa - ambil santan pekat
1 sudu besar garam kasar
1-2 sudu besar tepung beras - bancuh dengan air

Masak santan atas api perlahan sehingga mendidih. Masukkan garam dan bancuhan air tepung beras. 

Kuih Lompat Tikam Azie Kitchen

Kacau lagi hingga kuah jadi pekat dan masak tapi jangan sampai pecah minyak. Kuah santan ini mesti menpunyai rasa masin. 


Kuih Lompat Tikam Azie Kitchen

Bahan Pulut Merah
2 cawan beras pulut susu - rendam seketika
3 sudu besar minyak masak
Sedikit garam
Sedikit pewarna merah/pink

Satukan semua bahan dan tuang air agak lebih sedikit dari paras pulut. Masak menggunakan rice cooker sehingga masak. 


Kuih Lompat Tikam Azie Kitchen

Bahan Gula Melaka
1 cawan gula pasir 
1 ketul gula kabung
2 helai daun pandan
3 sudu kecil tepung jagung - bancuh dengan sedikit air
Air secukupnya

Letak kuali atas dapur dan nyalakan api. Masukkan gula pasir dan kacau atas api perlahan sehingga menjadi cair dan sedikit perang. 

Kuih Lompat Tikam Azie Kitchen

Masukkan gula kabung dan daun pandan. Kacau seketika. Masukkan air dengan berhati hati sedikit demi sedikit. Masak hingga mendidih. 

Kuih Lompat Tikam Azie Kitchen

Setelah mendidih, tuang bancuhan air tepung jagung untuk memekatkannya. Siaap. 

Kuih Lompat Tikam Azie Kitchen


Cara menghidang:
Potong lapisan hijau dan masukkan ke dalam mangkuk atau pinggan. Masukkan sedikit pulut merah di tepinya. 

Tuang kuah santan di atas lapisan hijau. Akhir sekali, tuang air gula atas lapisan kuah santan. Sedia untuk dinikmati.

Kuih Lompat Tikam Azie Kitchen



Add your comment
EmoticonEmoticon