Jumaat, 16 November 2018

Cendawan Goreng Dengan Sotong

Cendawan Goreng Dengan Sotong

Orang sakit akan menjadi sangat sensitif dan sangat sentimental. Saya sebenarnya telah underestimate akan tahap kesakitan selepas operation. Bila doktor memberi ubat penahan sakit, saya menanya kalau dah tak sakit, tak perlu ambil lah kan. Rupanya selepas beberapa hari masih sakit dan berdenyut terutama apabila kesan ubat penahan sakit yang diambil 2 kali sehari mulai habis. 

Beberapa hari ini, saya sangat mudah terasa hati dan mudah mengalirkan air mata. Pagi ini saya menengok satu video dalam group WhatsApp yang berlatarbelakang lagu Sebentuk Cincin Permata Berlian yang menyebabkan saya terkenang kembali kisah lama. 

Lagu ini yang pernah saya putar berulang ulang kali. Walaupun liriknya tidaklah sama dengan kisah saya namun bahagia yang diharapkan tidak kekal bila cinta terputus di tengah jalan. Itu lah kisahnya. 

Sebentuk cincin permata berlian, 
Untuk ku nak bertunang... 
Sayang jodoh tak panjang, 
Bahagia hanya sebulan, 
Apa nak dikesalkan,
Tanam padi tumbuhnya lalang, 
Kudrat Tuhan ku bersabar, 
Jodoh di tangan Tuhan

Saya ketika itu berada di tahun akhir pengajian di universiti. Detik kekecewaan masih terasa sehingga kini. Setiap kali mendengar lagu lagu yang saya putarkan berulang ulang kali ketika itu, saya pasti seakan masih terasa kesakitannya. Namun sesuatu keajaiban telah berlaku apabila sesuatu yang mustahil untuk berlaku telah berlaku. 

Dia muncul di kala saya hampir memulakan hidup baru. Di kala pintu hati saya mulai bersedia untuk menerima pengganti. Itulah secebis kenangan yang sentiasa menyentuh hati saya walaupun telah berpuluh tahun berlalu. OK sekarang kita berpindah bab masakan pula.

Cendawan Goreng Dengan Sotong

Cendawan adalah antara sayuran kampung yang sangat dekat dengan saya. Semasa kecil selalu ikut arwah Bonda ke kilang tembakau. Sementara itu, saya akan bermain main di tempat penyimpanan kayu balak yang digunakan sebagai kayu api untuk mengeringkan tembakau. 

Banyak sekali kulat sisir yang tumbuh di batang balak. Selain itu, di depan rumah kami ada busut yang saya panggil sebagai pusu iaitu tanah liat yang membukit yang juga ada kala tumbuh cendawan juga. Hidup di kampung, jadi memang jumpa bermacam jenis cendawan atau kulat.

Masakan yang selalu dimasak ialah kulat sisir digoreng dengan telur. Boleh tengok di SINI. Selain kulat sisir, kulat gelam yang pahit juga biasa dikutip dan dimasak kerabu di SINI dan di SINI

Telah beberapa hari teringin nak makan kulat sisir, tapi sayang kerana gerai yang menjualnya ditutup untuk renovation. Jadi terpaksalah mencari apa apa kulat yang ada dijual di Village Grocer. Tak ada kulat kampung, dapat kulat bandar. Kalau cendawan white crab mushroom sedap dimasak simple sahaja supaya kita dapat merasai cendawan yang rasanya seperti isi ketam. Masya Allah, sangat sedap. 

Jom kita layan resepi yang digunakan hari ini dan video penyediaannya di Azie Kitchen youtube channel di SINI. Selamat mencuba...

Cendawan Goreng Dengan Sotong
Sayur Cendawan Tumis

Bahan bahan:
2 pek cendawan white crab mushroom
ekor sotong - boleh juga guna isi kerang
Sos ikan
Garam

Bahan hiris:
4 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
8 tangkai cili padi

Cara cara:
Panaskan minyak dan tumis bahan hiris sehingga wangi. 

Cendawan Goreng Dengan Sotong

Cendawan Goreng Dengan Sotong

Masukkan cendawan dan kacau rata. 

Cendawan Goreng Dengan Sotong

Masukkan sotong, sos ikan dan garam. Kacau rata dan sedia untuk ditutup api. Sotong akan mengeluarkan air yang banyak, jadi boleh diganti dengan isi kerang atau scallop jika suka cendawan goreng yang lebih kering. 

Cendawan Goreng Dengan Sotong

Tabur hirisan daun bawang, sebagai hiasan.


Add your comment
EmoticonEmoticon