Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Nasi Dagang Kelantan Dengan Set Lauk Pauk Yang Lengkap

Nasi Dagang Kelantan

Semasa balik kampung pada hari raya ketiga untuk menghadiri majlis pertunangan Ayu anak buah kami, masih terasa seolah suasana hari raya. Banyak kedai makan yang masih belum dibuka. Kami mengambil penerbangan awal pagi. Pukul 3.30 pagi dah bertolak ke KLIA. 

Hari pertama sampai, merata mencari tempat sarapan pagi. Memang di majlis rumah kakak ada disediakan makan tapi saya mencari makanan asli Kelantan seperti nasi dagang, nasi kerabu atau nasi berlauk ke. Hampa kerana semua kedai masih belum berniaga.
Dari Kota Bharu, kami akhirnya ke pasar Bachok. Hanya di situ, ada yang telah berniaga sarapan pagi. Entahlah saya sempat juga merungut bila orang Kelantan pun dah tak menjaga keaslian masakan Kelantan. 

Nasi kerabu hanya berkerabukan sambal ikan dan sayur kubis sahaja. Itu pun sedikit sangat sehingga tak nampak seperti nasi kerabu. Bila dimakan, nasi nya menjadi masam macam cuka. Saya yang kebelakangan ini perut asyik meragam, tak berani nak makan banyak. Hanya meratah daging bakar dan kerutuk itik serati yang juga tidak seperti kerutuk. Nasib baik daging bakarnya sedap dan merasa juga bahan perapannya.

Nasi Dagang Kelantan

Selesai majlis pertunangan, kami check in di hotel dan tidur seketika. Bangun dari tidur mulalah mencari cari kedai makan. Adui tak ada yang menjemput beraya pulak. Hahaha. Akhirnya kami singgah makan satay di gerai satay di Pantai Irama. Huhuhu kempunan nak makan makanan dan kuih muih raya seperti ketupat dan tapai. 

Hanya keesokan hari nya, barulah mewah dengan makanan Kelantan. Pagi kami bersarapan di cafe Resort Villa Danialla yang menghidangkan nasi dagang dengan lauk ikan tongkol dan gulai kerutuk itik serati. Haaa hati riang gembira. Tapi tak boleh makan banyak kerana kakak ipar saya, Kak Harison menjemput kami makan nasi dagang di rumah mereka. Saya hanya banyak meratah lauk pauk sahaja. Tidak lupa makan ketupat pulut beras hitam kerana saya memang teringin sangat nak makan ketupat daun palas Kelantan.

Selepas sarapan, kami terus ke rumah Kak Harison. Sembang dan lepak lepak seketika bagi merehatkan perut yang masih kekenyangan. Nasi Dagang Kelantan yang disediakan Kak Harison hari ini lengkap dengan segala set termasuk gulai ikan tongkol, gulai udang, sambal kelapa ikan, acar timun dan telur rebus. 


Memang susah sekarang ni untuk mencari hidangan lengkap seperti ini. Bukan kerana apa tapi agak remeh dan memakan masa untuk menyediakannya. Lebih lebih lagi kalau tak ada yang sama membantu di dapur. 

Nasi Dagang Kelantan

Saya kali ini mengambil kesempatan belajar cara cara Kak Harison menyediakan nasi dagang dan lauk pauk untuk dijadikan rujukan di masa hadapan. Itulah saya menanya dan menyalin resepinya untuk dikongsikan dengan anda semua. 

Jom layan resepi yang digunakan hari ini. Selamat mencuba. 

Nasi Dagang Kelantan

Gulai Nasi Dagang Kelantan 

Bahan A:
1 ekor ikan tongkol - potong
Gula Melaka
Garam - sedikit sahaja
Asam keping

Bahan B:
15 ulas bawang merah
10-12 tangkai cili kering
8 hiris lengkuas
1 inci kunyit hidup

Bahan C:
1 sudu besar ketumbar biji - sangai
1 sudu besar jintan manis - sangai

Bahan D:
Gula Melaka
Garam
1 kg santan segar
Asam keping

Bahan E:
Cili padi merah & hijau - hiasan

Cara cara:
Rebus bahan A sebelum hari hendak digunakan. Biarkan sehingga air rebusan tinggal sedikit, tutup api. Biarkan semalaman. 

Bahan B dikisar halus. Bahan C disangai dan kisar halus. Satukan santan dengan  bahan kisar, asam keping dan dimasak dengan api perlahan sambil terus dikacau. 

Masak sehingga terbit minyak dan kuah kelihatan surut. Masukkan 1 cawan air panas. Masak lagi sehingga kuah surut lagi. Kalau boleh ulang masuk air panas sehingga 3kali, baru kuah akan menjadi cantik. 

Setelah kuah cantik, baru dimasukkan ikan yang telah direbus, gula Melaka, garam dan akhir sekali, taburkan cili padi untuk hiasan. 

Nota:
Proses memasak lauk nasi dagang yang asli memang lama.  

Jika suka, boleh ambik sedikit air rebusan ikan untuk kisar bahan B. 

Petua orang Terengganu, semasa merebus ikan jangan guna garam banyak kerana ianya akan menghilangkan kemanisan rasa ikan. 

Kuah  gulai nasi dagang juga sedap disediakan sehari sebelum dihidangkan. 

Nasi Dagang Kelantan

Nasi Dagang Kelantan

Bahan bahan:
3 kg beras nasi dagang
1 kg santan
Garam - lebih kan supaya terasa masin
Gula
4-5 ulas bawang merah - hiris, boleh tambah
Halia - hiris 
Halba 

Cara cara:
Beras nasi dagang dibasuh dan direndam semalaman. Kukus beras nasi dagang yang telah cuci dan tos sehingga masak. Angkat dan arung/kacau dengan santan cair sehingga nasi cukup lembut. 

Taburkan juga halba, bawang merah dan halia yang dihiris halus. Kacau rata. 

Masukkan dalam periuk pengukus dan kukus sekali lagi. 

Sementara itu masak santan pekat dengan garam dan gula sehingga masak sebagai kepala santan. Jangan sampai pecah minyak. Tutup api. 

Angkat nasi dagang yang dikukus dan tuang kepala santan ke dalamnya. Gaul rata sehingga nasi kelihatan berkilat. Sedia untuk dihidangkan. Nasi dagang akan kekal elok dan tak basi sehingga ke malam pun. 

Nasi Dagang Kelantan

Sambal Kelapa Ikan

Bahan bahan:
1 biji kelapa parut - goreng garing
5 ekor Ikan selayang - bakar atau rebus
3-4 ulas bawang merah
1/2 inci halia
2 batang serai
Garam
Gula Melaka

Cara cara:
Tumbuk kelapa parut goreng sehingga separuh halus. Atau boleh juga dikisar halus. 

Tumbuk bawang merah, halia, serai dan gula Melaka sehingga halus. 

Masukkan isi ikan bakar. Tumbuk halus dan disatukan dengan kelapa goreng yang telah ditumbuk/dikisar tadi. 

Masukkan garam secukupnya dan kacau sebati. Sedia untuk dihidangkan. Sedap juga dimakan dengan nasi impit. 

Nasi Dagang Kelantan

Gulai Udang Lauk Nasi Dagang

Untuk resepi, boleh rujuk entri di SINI. Untuk menghasilkan kuah gulai yang cantik, harus kita menggunakan santan segar, bukan santan kotak. 



8 ulasan for "Nasi Dagang Kelantan Dengan Set Lauk Pauk Yang Lengkap"

  1. Sy share resepi ya puan azie...tq

    BalasPadam
  2. Bahan A tu rebus dgn gula melaka ke mcm mana?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Ya rebus sekali supaya ikan tu ada rasa masam manis dan masin

      Padam
  3. Beras nasi dagang kena rendam dulu ke puan azie?

    BalasPadam
    Balasan
    1. ya rendam semalaman. saya dah update.

      Padam
  4. Puan Azie, saya newbie.. ada kwn bgtau saya kena masukkan beras pulut sikit dlm beras nasi dagang.. betul ke?

    BalasPadam