Alhamdulillah hari ini saya ingin menyambung catatan percutian kami ke Uzbekistan dan Kazakhstan. Boleh klik entri sebelum ini di SINI. Pagi pagi hari kedua, kami check out hotel setelah selesai solat Subuh pukul 5.32 pagi kerana bas akan bertolak tepat pukul 5.45 pagi membawa kami ke train station di Toskhent. Tepat 6.30 pagi, train Afrosiyob bertolak dan perjalanan ke Samarkand memakan masa selama 2 jam.
Ada makanan diberikan semasa di dalam train dan juga minuman panas. Kita juga boleh memesan makanan lain yang dijual di dalam cabin.
Train tiba di Samarkand pukul 8.45 pagi. Selepas bergambar, kami berjalan ke bas yang telah sedia menunggu kami.
Kami memulakan lawatan ke Shah-i-Zinda yang bermaksud “Living King” atau Raja Yang Hidup. Tempat ini sangat cantik dengan senibina architectural bercirikan Islamik dengan dome yang berwarna cantik. Banyak tempat menarik untuk bergambar di sini. Tapi ramai yang salahfaham dan menganggapnya sebagai kawasan masjid. Kawasan ini bukan kawasan masjid. Tapi tempat makam orang orang agama dan raja raja.
Untuk naik ke bangunan di bahagian atas, kita perlu mendaki tangga yang agak tinggi juga. Tapi melihat pemandangan cantik menyebabkan kita tidak terasa kepenatannya.
Bila dah sampai di bahagian atas, kita memang akan terpegun melihat keindahan senibina dengan ciri ciri Islamik. Semua cantik dengan reka corak yang berbeza antara satu bangunan dengan yang lain. Di sini menjadi satu adat dan kebiasaan, bila kita bergambar, akan datang orang tempatan masuk untuk turut sama bergambar.
Di sini juga ada tempat di mana terletaknya makam sepupu Rasulullah SAW iaitu Qusam bin Al-Abbas. Baginda bersabda yang bermaksud bahawa Qusam lebih istimewa berbanding orang lain kerana karakter dan penampilan serta rupa paras yang lebih menyerupai baginda.
Setelah zaman Khulafa Rasyidin, Qusam mengikuti ekspedisi dakwah dan penaklukan Islam di Asia Tengah, khususnya wilayah Transoxiana (Uzbekistan). Qusam gugur sebagai syahid ketika memimpin pertempuran melawan kaum pemberontak di wilayah tersebut.
Sebelum masuk ke bilik makam, pegawai bertugas akan memimpin bacaan doa akan kesejahteraan Qusam bin Al-Abbas. Kemudian baru masuk tempat terletaknya makam. Selepas membaca surah Al Fatihah, saya dan cikgu Bad bergambar di tepi makam.
Keluar jer dari situ, kami bergambar kenangan di bangunan paling atas berdekatan bangunan makam Qusam.
Dalam perjalanan keluar, masih sempat lagi bergambar. Kagum dengan kepandaian pengukir zaman dahulu yang begitu kreatif dalam menghasilkan senireka bangunan yang sangat cantik dan akan keindahannya tanpa ditelan zaman.
Selepas selesai, kami keluar dan singgah di kedai untuk menukar duit Uzbekistan Som (UZS). Sebenarnya tak perlu nak tukar di money changer. Kita boleh tukar dengan orang yang memang ada di sekitar tempat tempat yang biasa dikunjungi pelancung.
Di sini kami para wanita membeli long cardigan tradisional Uzbek. Harga UZS8-10 sahaja. Kalau yang menggunakan fabric sutera, lebih mahal lah.
Seterusnya kami dibawa pula untuk melawat Kompleks Imam Al Bukhari dan Library yang baru dirasmikan pada 20 Mac 2026. Kami kena cepat kerana hari Jumaat untuk membolehkan menunaikan solat Jumaat di sana.
Imam Al-Bukhari atau nama sebenar ialah Muhammad bin Ismail Al Bukhari merupakan penyusun kitab Al-Jami' As-Sahih dan seorang tokoh ulama hadis yang sangat dihormati di seluruh dunia Islam. Beliau dikatakan telah meriwayatkan lebih 7525 hadis sahih dan ada yang kata 9000 hadis.
Kompleks Memorial Imam Al-Bukhari telah dibangunkan semula dengan menampilkan seni bina moden serta dilengkapi pelbagai kemudahan, termasuk masjid, ruang solat, taman dan kawasan rehat untuk para mereka yang menziarah.
Kami bernasib baik kerana dibawa melawat dan diberikan penerangan betul betul di hadapan di mana terdapatnya makam Iman Al Bukhari.
Masjid utama di kompleks ini mampu menampung lebih daripada 9,000-12,000 orang jemaah. Selesai ziarah, kami dibawa untuk ke tempat mengambil wudhu yang agak jauh dari baungunan masjid. Untuk ke masjid, kami terpaksa mengambil buggy. Untuk masuk, sekali lagi kami kena melalui proses pemeriksaan keselamatan.
Pada mulanya kami kaum wanita tercari cari tempat untuk solat dan akhirnya memilih untuk solat di ruang terbuka. Akhirnya ada seorang kakitangan masjid yang sudi membawa kami ke ruang solat wanita yang terletak di sebelah kiri pintu masuk sahaja.
Kompleks ini menjadi salah satu destinasi ziarah utama yang menarik kunjungan ramai dari dalam dan luar negara, khususnya sebagai pusat warisan keagamaan, sejarah dan kebudayaan Islam.
Selepas solat, kami bergambar terlebih dahulu sebelum berjalan ke tempat berkumpul untuk sessi group photo.
Kami kemudian di bawa makan tengahari di restoran Oshqand. Seperti biasa, kami dihidangkan nasi Bukhara. Roti nan dengan pelbagai corak adalah hidangan yang wajib diberikan.
Sebelah petang, kami di bawa untuk bershopping di Siyob Bazaar. Yang rupanya terletak bersebelahan sahaja dengan kompleks Shah-i-Zinda yang kami kunjungi sebelah pagi. Di sini, kami membeli buah buah kering dan kekacang serta tea yang campuran pelbagai perisa. Di sini kita boleh merasa dulu mana mana yang kita sukai. Selain buah kismis organik, saya beli juga kacang badam, kacang macadamia dll.
Saya juga beli air delima yang manis yang diperah secara terus sekadar untuk merasa sahaja. Tak habis pun kerana saya mahu menjaga makan. Tak mahu perut meragam. Lagi pulak kebanyakan tandas di sini tiada kemudahan bidet dan tisu. Kalau bernasib baik dapat lah tandas duduk.
Kami kemudian berjalan keluar dari pasar dan melawat ke Hazrat Khizr Mosque. Masjid Hazrat Khizr atau dikenali juga sebagai Masjid Nabi Khidzir ialah sebuah masjid bersejarah di Samarkand yang dibina di atas tapak masjid lama sejak awal abad ke-8 Masihi. Bangunan yang ada sekarang dibina semula sekitar tahun 1854–1855 selepas masjid asalnya musnah semasa serangan Mongol pada tahun 1220.
Seterusnya, terus melawat ke Complex of Gur Emir yang terdapat juga Registan Square. Registan Square sangat cantik dengan cahaya lampu di waktu malam. Saya ingatkan kita melawat hanya di waktu siang, tapi rupanya di sini sebelah malam pun tetap orang melawat seperti di Gur Emir yang menempatkan makam keluarga Gur Emir. Kecantikan bangunan dan dinding, siling dan lantai memang sangat mengagumkan.
Kami kemudian dibawa ke Registan Square yang sangat cantik dengan lampu kehijauan. Registan Square juga dikenali sebagai Heart of Samarkand. Ia berfungsi sebagai pusat pusat untuk aktiviti politik, perdagangan dan pusat intelektual Empayar Timur dalam abad ke 14th and 15th.
Selepas makan malam, kami kemudian di bawa untuk check in di Hotel Bravo di Samarkand.
Sehingga di sini dahulu, Insya Allah nantikan sambungannya di entri seterusnya. Salam sayang buat semua......

























































Ulasan
Catat Ulasan