Saya kadang rasa kelakar bila membaca di Threads masing masing tak puashati dengan perbezaan pendapat bila seorang lelaki menulis harapan supaya bakal isterinya kelak menyediakan bekal sarapan seperti mana yang dibuat oleh ibunya. Hatta dia tak kisah walaupun sekadar cekodok.
Dua dua pun tak salah. Yang salahnya bila masing masing menghentam dengan bahasa tak beradab. Cuma kita harus melihat pakej apa untuk seorang isteri yang diinginkan. Seorang isteri yang menjadi suri rumah sepanjang masa yang boleh memasak, melakukan kerja rumah dan uruskan anak anak. Atau seorang isteri yang bekerja yang boleh membantu ekonomi keluarga.
Pengalaman sendiri, semasa baru membina kehidupan, gaji tidak terus besar tapi gaji permulaan untuk seorang graduan, kami tidak mampu untuk mengambil orang gaji untuk menjaga 2 orang anak kami.
Setiap pagi ketika saya bersiap untuk pergi bekerja, suami akan naik menghantar anak kami ke rumah pengasuh di tingkat atas. Maklum orang lelaki lebih cepat bersiap. Kemudian kami akan bertolak ke tempat kerja.
Jika masih awal, kami akan singgah bersarapan bersama sama. Kemudian baru suami menghantar saya ke pejabat. Dia akan meneruskan perjalanan ke pejabat juga.
Rutin untuk makan sebelah malam pula, suami akan singgah membeli lauk untuk makan malam. Saya teringin untuk memasak tetapi suami memberitahu lebih jimat jika dibeli untuk kami berdua. Anak yang masih kecil tak makan nasi pun. Ketika itu dengan RM10.00 boleh masak untuk satu lauk sahaja. Tapi jika dibeli, boleh dapat 2 jenis lauk. Balik hanya masak nasi.
Saya tak pasti kalau korang yang kawin terus hidup senang, terus gaji besar, terus mampu bayar orang gaji. Tapi untuk orang biasa seperti kami, membina kehidupan memerlukan wang yang banyak untuk membayar sewa rumah, membayar pinjaman kereta, membayar pengasuh dan belum lagi bil bil rumah seperti api, air dan gas.
Jadi jika kita mengharapkan isteri bekerja untuk menyediakan bekal sarapan, mungkin boleh. Bukan sesuatu yang mustahil. Tapi agak terkejar kejar dan memenatkan. Menyediakan cekodok juga memakan masa kerana menggoreng nya perlukan api yang sederhana supaya di dalamnya masak elok.
Tapi sebagai seorang ibu yang telah bersara, saya samgat gembira bila dapat menyediakan sarapan untuk suami dan anak menantu. Tapi mereka pula yang terpaksa bekejar untuk menghantar anak ke sekolah dan untuk ke pejabat. Maklum lah zaman sekarang keseskaan lalu lintas adalah real. Bukan seperti 40 tahun lepas ketika kami baru membina rumahtangga.
Haa itu lah pendapat saya. Tak salah untuk mengimpikan apa sahaja. Tapi ianya perlu lebih realistik. Ada lelaki yang sangat mementung diri sendiri. Bayangkan selepas balik dari pejabat, isteri memasak di dapur sedang ada suami santai di ruang tamu sambil menonton televisyen.
Hatta seorang wanita juga boleh mengimpikan untuk mendapat layanan dari suami seperti mana layanan diterima dari seorang ayah kepada anak perempuannya. Biasanya ayah akan melayan anak umpama seorang princess gitu. Seorang suami juga perlu melayan isteri umpama seorang permaisuri. Bukan harus menyediakan segalanya dan bekerja dari pagi sehingga larut malam di rumah. OK sekarang kita masuk pula bab masakan.
Saya hari ini memang kehabisan idea untuk memasak lauk apa sehingga tiba tiba teringat ada isi petai yang diberikan oleh sepupu saya yang masih ada dalam freezer.
Oleh kerana Nana tak suka sambal tumis yang ada petai, maka saya masak sambal tumis biasa. Bila dah masak, saya ceduk sedikit ke dalam kuali lain sebelum dimasukkan isi petai. Haa boleh lah saya makan sambal tumis dengan petai ni. Untuk sambal udang, saya suka sambal yang sedikit basah atau berkuah. Tapi jika suka kering, bolehlah keringkan sedikit. Semua ikut citarasa masing masing kan.
Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Selamat mencuba…
Sambal Tumis Udang Dengan Petai
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:
500 gram udang
3-4 sudu besar cili kering kisar
1 sudu besar gula
1 sudu kecil garam
1/2 sudu kecil pes asam jawa
1/2 keping gula Melaka
Isi petai secukupnya
Bahan kisar:
3 biji bawang besar - saiz sederhana
6 ulas bawang putih
Cara cara:
Panaskan minyak dan tumis bahan kisar sehingga terbit minyak. Masukkan cili kering kisar dan tumis sehingga terbit minyak.
Masukkan air dan tumis lagi sehingga terbit minyak. Ulang proses ini beberapa kali untuk memastikan bahan tumis masak sempurna.
Masukkan pes asam jawa, gula Melaka, garam dan gula secukupnya.
Akhir sekali masukkan udang yang telah dilumur garam kunyit dan digoreng separuh masak. Tuang ke dalam sambal bersama dengan minyak sekali.
Nota:
Saya keluarkan sedikit sambal dan udang dan masukkan isi petai. Kacau sehingga isi petai separuh masak, tutup api. Ada anak anak yang tak makan petai.




sedap nampak lauk udang petai tu.
BalasPadamsaya tukar link blog ye awak