Saya kebelakangan ini menjadi serabut, kalau pinjam istilah orang Kelantan dengan adanya medsos yang membolehkan semua orang terpaling entitled untuk menulis apa sahaja. Maki hamun, sumpah seranah, hina menghina, mendoa yang bukan bukan dan pelbagai lagi kepada orang lain yang tak dikenalipun. Sehingga tak takut lagi dengan dosa pahala. Tak risau, dosa dengan manusia kena clear dengan manusia juga. Sebagai contoh, yang paling sedih bila ada yang sanggup mengatakan babi lagi mulia dari manusia. Aduhaai.
Yang terbaharu adalah kes penangkapan anjing liar. Dah susah untuk penjawat melakukan pekerjaan sekarang ini. Bila buat kerja, akan ada pihak yang menentang. Benda mudah jer tapi tak ramai untuk cuba memahami situasi kedua dua belah pihak. Menangkap haiwan liar ni, bukan mudah. Nak tangkap ayam yang berkeliaran pun bukan mudah. Mereka bukan duduk diam sahaja. Pasti ada cabarannya.
Pihak yang suka bagi makan anjing atas dasar kasihan dan mahukan pahala dalam kes orang Melayu, dalam masa yang sama menyusahkan orang lain, bila anjing tidak dijaga dengan baik seperti tidak diletak dalam kawasan berpagar, tidak dimandulkan dan kebersihan tempat diberikan makan, tidak dijaga. Tahi anjing tidak dibuang. Bila ini terjadi, lebih lebih lagi anjing liar memberi kemudaratan keselamatan pada manusia, ianya akan memberikan dosa pada mereka yang bertanggungjawab. Bukan lagi pahala kerana kita menjadi penyumbang pada pembiakan dan kekotoran.
Saya baca ada yang tulis anjing yang beliau beri makan setiap hari sebagai bukan anjing liar. Sebenarnya tiada istilah bukan anjing liar. Hanya dua sahaja, anjing bertuan dan tidak bertuan. Liar atau tidak susah sedikit. Ia mungkin jinak dengan orang yang bagi makan tapi garang dengan orang lain. Jadi liar tetap liar bila tidak bertuan, tidak berlesen. Anjing ini boleh secara tiba tiab mengejar dan menggigit manusia.
Sebagai manusia, saya juga ada rasa ihsan dan empathi. Bukan sahaja pada anjing, malahan pada semua. Bila tengok rancangan TV yang memaparkan kehidupan haiwan liar. Saya kasihan melihat zirafah atau apa apa binatang yang digigit dan dikoyak dagingnya hidup hidup oleh haiwan seperti singa dan harimau. Memang itu lah hakikat alam tapi tetap rasa kasihan dan rasa kesakitannya.
Jadi bab anjing, hatta monyet ke, seimbangkan lah, dunia memang untuk semua makhluk Allah tapi bila keselamatan khalifah di muka bumi terancam, maka mereka harus diutamakan. Tak kisahlah anjing, atau monyet atau harimau sekali pun. Jangan lah sebut dah rumah mereka diceroboh oleh manusia, macam mana mereka nak tinggal.
Manusia perlukan rumah, tak boleh tinggal merayau rayau dalam hutan. Saya faham kedua dua situasi tapi sebab saya manusia, saya memihak pada manusia, selagi mereka tak buat kezaliman. Doa sahaja yang baik baik. Allah Maha Mengetahui. Jangan kecam saya tau. Sekarang kita masuk pula bab masakan.
Selama setahun di London, saya tidak dapat makan sambal sotong kembang. Bila ternampak gambar nasi lemak dengan berlaukkan sambal sotong ini, memang terliur sangat. Cabaran bila tinggal di luar negara ialah bab makanan Melayu. Di sini susah nak dapat bahan untuk memasaknya sendiri di rumah.
Jadi bila ternampak ada sotong kembang dijual di kedai runcit dekat rumah, saya terus mengambil 2 ekor dan balik memasak sambal. Untuk sambal sotong ini, paling ngam bila dimakan dengan nasi lemak. Jadi saya sediakan sekali nasi lemak.
Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Selamat mencuba....
Sambal Tumis Sotong Kembang
Oleh: Azie Kitchen
Bahan-bahan:
2 ekor sotong kembang - dibersih dan dicelurkan
4-5 sudu besar cili kisar
1 biji bawang besar - dihiris
1 cawan minyak masak
Bahan kisar:
8 biji bawang kecil - atau 2 biji bawang besar
6 ulas bawang putih
1 inci belacan - opsyenal
Bahan lain:
2 asam keping - atau pes asam jawa
1 sudu kecil garam atau secukup rasa
2 sudu besar gula atau secukup rasa
Sedikit halia - opsyenal
Cara cara:
Rebus air dan masukkan halia, serai, bawang merah, bawang putih dan sedikit garam. Masak sehingga mendidih. Masukkan sotong dan masak selama 7 minit. Angkat dan tos. Setelah sejuk basuh bersih dan potong yang disukai. Sedia untuk digunakan.
Panaskan minyak dan tumis bahan kisar sehingga naik bau, baru masukkan cili kering kisar dan tumis sehingga cili masak.
Setelah bahan tumis masak sempurna dan terbit minyak, masukkan air asam jawa, garam dan gula.
Masukkan sotong yang telah dicelur dan dipotong. Masak sehingga terbit minyak.
Akhir sekali, masukkan bawang besar hiris. Kacau sebati dan biarkan masak seketika sehingga bawang layu. Tutup api dan sedia dihidangkan.
Tips
Rebus sotong dengan asam keping tanpa air sebagai tip untuk melembutkan sotong.






Ulasan
Catat Ulasan