Resipi · Tip Dapur · Citarasa Nusantara

Azie Kitchen

Malaysia Food Blogger

 ◆ ◆ ◆ 

Masak Kicap Sotong Dan Berat Badan

Azie 12/08/2026 Catat Ulasan


Saya kebelakangan ini memang sangat risau kerana berat badan semakin meningkat walaupun rasanya dah kurangkan makan dan dah mula melakukan aktiviti briskwalk. Biasa lah kita akan sentiasa in denial. 

Mungkin saya kurangkan makan tapi tidak melihat apa yang saya makan. Makanan yang mungkin tinggi kandungan kalori. Insya Allah azam saya untuk kembali berpuasa sunat pada hari Isnin dan Khamis seperti mana yang saya amalkan sebelum ini. Bukan sahaja mendapat pahala tapi juga mendapat badan yang lebih sihat. Insya Allah. Aamiin. Jom kita masuk pula bab masakan. 


Saya beli 5 ekor sotong yang agak besar dan bertelur. Saya hanya membersihkan sotong dengan tidak memotong kecil kerana sotong ini menpunyai telur. Jika dihiris kecil, telur akan terkeluar ketika dimasak. 

Satu cara lagi ialah memasukkan semula kepala sotong dan cucuk dengan lidi supaya telur tidak terkeluar. Kalau memasak sotong, saya suka masakan yang simple supaya kesedapan dan kemanisan sotong masih terasa. Sotong tidak boleh dimasak terlalu lama kerana ia akan menjadikan isinya liat. 

Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Selamat mencuba….


Masak Kicap Sotong Simple
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
5-6 ekor sotong
2-3 sudu besar sos tiram
Kicap manis secukupnya
Sedikit garam - jika perlu
Sedikit serbuk perasa - opsyenal
Minyak masak

Bahan hiris:
1 biji bawang besar
3-4 ulas bawang putih
1 genggam cili padi - ikut pedas disukai

Cara cara:
Masukkan sotong ke dalam kuali dan masak tanpa minyak sehingga air sotong keluar. Angkat dan ketepikan. Nota: air sotong boleh dimasukkan ketika memasak kuah kicap, jika suka. 


Panaskan minyak dan tumis bahan hiris sehingga naik bau. Masukkan sos tiram dan kicap manis. 


Masukkan juga sedikit pes asam jawa atau asam keping atau perahan limau nipis. Masukkan sedikit air. Kacau sehingga kuah mendidih. Nota: jika limau nipis, perah airnya setelah masak dan tutup api. 

Masukkan sotong dan kacau rata. Setelah kuah sedikit pekat dan berkilat, boleh tutup API. 




Nota:
Saya suka sotong bertelur.


Sudah cuba resipi ini?
 

Ulasan