Saya melihat kehidupan sekarang ini sangat berbeza dengan awal kehidupan saya di awal tahun 1990an dulu. Serious sangat keras dan semua orang terdedah pada risiko reputasi. Contoh yang paling terbaharu ialah kisah kakitangan PBT yang diviral dikatakan telah berlaku zalim pada seekor anjing liar yang ditangkap.
Memetik dari apa yang dikatakan ketika sidang media bersama peguam, katanya dia keluar rumah malam itu untuk bekerja dan menjalankan tugas dengan tiada niat untuk membunuh atau melakukan kezaliman.
Malangnya dia dikecam dimaki dan dihina sehingga ada yang menyamakan babi lagi mulia dari beliau. Di sini dapat dilihat semua orang terdedah pada risiko reputasi dan diviralkan dengan suatu yang negatif.
Jika dulu, seorang penjawat awam atau sesiapa sahaja boleh menjalankan tugas tanpa dipersoalkan kenapa dia buat begitu dan begini. Tapi sekarang bila PBT membuat operasi menangkap anjing liar selepas menerima laporan, ramai mempersoalkan kenapa perlu tangkap, anjing itu jinak tak ganggu orang dsb. Sedangkan kriteria dah jelas untuk anjing bagaimana yang perlu ditangkap dan yang tak perlu ditangkap.
Begitu juga viral bab penjawat awam yang dikatakan rude dan tidak professional. Saya tidak menyokong perbuatan ini kerana itu sebahagian tugas mereka untuk melayan stakeholders dengan sebaiknya. Tapi yang saya rasa kesal sedikit bila nama diviralkan selain di adu melalui sispa. Pada saya, cukup membuat aduan ikut saluran tanpa membuat viral yang menjatuhkan reputasi dia dan juga keluarganya.
Lagi lagi saya baca bab dipersoalkan penjawat awam mendapat gaji besar dan bonus banyak dengan menggunakan duit dari pembayar cukai. Betul ke begitu. Setahu saya, setiap organisasi akan membuat pelaburan dari duit yang diterima dan membuat keuntungan besar. Keuntungan ini kemudian akan digunakan untuk membayar dividen tinggi pada pencarum atau digunakan untuk memberi imbuhan atau pampasan yang berkaitan.
Sebahagian kecil sahaja dari keuntungan, akan digunakan untuk membayar gaji kakitangan. Bukannya kutip cukai dan guna untuk bayar gaji dan bonus kakitangan. Bukan semua hasil pendapatan negara datang dari kutipan cukai. Jangan lah kita rasa entitled sangat konon kita yang membayar gaji mereka. Bab ini kena lah belajar lagi. Saya hanya menulis dalam bentuk untuk mudah difahami sahaja.
Inilah yang dikatakan di akhir zaman, fitnah akan menjadi berleluasa. Semuanya gara gara adanya handphone di tangan setiap orang. Kadang orang buat lain, tapi berita yang keluar lain. Kadang kadang kita buat sesuatu tanpa sengaja pun boleh menjadi viral.
Kita sekarang kena sangat berhati hati dalam gerak geri. Dalam apa sahaja termasuk pemanduan. Mana lah tahu, jika ada kesilapan kecil, tanpa kita sedar keluar pula plat nombor kereta di medsos. Zaman ini kena jaga langkah dan tingkah laku. Kerana cctv di merata rata untuk merakam berita yang boleh dijadikan sensasi dan konten di medsos. OK setakat ini dahulu, kita masuk pula bab masakan.
Saya menyediakan Ayam Ala Tiga Budak Gemuk untuk lauk hidangan makan malam. Lauk ni sebenarnya sama dengan masak kicap. Bezanya ada serai dan daun kari. Kuahnya pekat dan melekat lekat pada ayam.
Jadi bila makan gaul gaul dengan nasi. Haa sambalnga akan melekat pada nasi. Itu yang menjadikan bertambah sedap. Kalau saya yangbjenis tak makan kuah banjir, yang sukakan nasi kering kering sikit, kira dah ngam.
Saya makan pula dengan ulam jeneris dan sambal Kelantan. Aduhai dah tak pandang kiri kanan. Ulam ni yang rasanya berlemak lemak memang sedap. Tapi tak jumpa lah ulam ni di kedai. Jadi kena tanam sendiri dan tunggu ianya berpucuk.
Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Selamat mencuba…
Ayam Masak Tiga Budak Gemuk
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:
½ ekor ayam - letak garam & serbuk kunyit dulu dan goreng separuh masak
Bahan kisar:
1 sudu besar cili kering kisar - boleh tambah jika suka pedas
2 biji bawang besar
6 ulas bawang putih
1 inci halia
Bahan lain:
Segenggam daun kari
5-6 sudu besar kicap manis - atau sehingga kuah warna hitam
1 sudu besar kicap pekat - opsyenal
4 sudu besar sos tiram
1 batang serai - dititik
Garam - jika perlu
1 sudu besar gula
1/4 sudu kecil pes asam jawa
1 biji bawang besar Holland - hiris
Segenggam cili padi - hiasan
Minyak masak
Cara cara:
Panaskan minyak masak dan goreng ayam sekadar masak. Angkat dan ketepikan.
Menggunakan minyak sama, tumis serai serta bahan kisar dan cili kering kisar sehingga terbit minyak. Masukkan air dan tumis sehingga terbit minyak. Ulang beberapa kali untuk memastikan bahan tumis masak sempurna.
Masukkan daun kari, sos tiram, pes asam jawa dan kicap secukupnya. Jika perlu, masukkan sedikit air.
Masukkan ayam, garam dan gula secukupnya. Jika suka, masukkan bawang besar Holland hiris. Kacau rata dan tutup api.

Ulasan
Catat Ulasan