Tempat Menarik Di Batam - Day 2
Alhamdulillah saya ingin menyambung catatan percutian JJCM kami bersama BFF ke Batam pada hari kedua. Percutian yang saya tunggu tunggu dan sangat teruja dengannya. Mungkin kerana dah lama tak bercuti bersama sama BFF. Bercuti bersama bertolak dari KLIA. Boleh klik entri sebelum ini di SINI.
Mungkin kerana hari pertama, saya bergerak dengan banyak selepas keluar ward, malam tadi saya tidur nyenyak dek keletihan. Terasa tilam dan bantal di hotel sangat selesa.
Selepas bergambar di balkoni dengan berlatarbelakangkan pemandangan jambatan dan laut, kami memanggil buggy untuk membawa kami ke lobi hotel untuk bersarapan. Saya makan lah apa sahaja yang Hubby ambil. Jadi saya makan pun tak banyak.
Saya meminta untuk bergambar dengan berdiri selepas melihat kawan kawan semua bergambar di sini secara berpasangan. Tapi kawan kawan di kiri kanan masing masing dah standby memegang wheelchair dan tongkat saya.
Maklumlah berdiri atas satu kaki agak tidak stabil dalam jangka masa yang lama. Doktor dah memberi amaran agar tidak berjalan menggunakan kaki kanan kerana tulang yang retak dikuatiri tidak kuat untuk menampung berat badan saya. Begitu lah BFF saya yang sangat saya sayangi, yang terdekat dengan kami selain keluarga sendiri.
Sementara menunggu bas tiba, kami bergambar lagi di hadapan hotel. Memang geng kami semua sporting bab bergambar. Masa ni Datin Linda belum sampai dan Datin Mai pula telah berangkat pulang kerana menpunyai urusan yang perlu dihadiri.
Destinasi kami yang pertama ialah melawat Masjid Sultan Mahmud Riayat Syah yang telah dirasmikan pada oleh Ustaz Abdul Somad. Cantik masjid dengan kubah ala ala masjid Nabawi. Warna biru pula secantik masjid Negeri di Shah Alam.
Selepas bergambar, hujan mulai turun. Hahaha Batam ni macam London lah. Dari panas dan terang benderang, tiba tiba pula turun hujan lebat. Semalam pun sama juga. Kemudian kami dibawa ke tempat perusahaan kopi. Mereka memberikan penerangan tentang sejarah penanaman kopi, cara cara memproses dan kami juga diberi sampel minuman kopi di sini.
Di sini juga diceritakan berkenaan kopi Luwak yang katanya bukan dari haiwan musang tapi binatang liar yang lebih kecil saiznya. Bukan haiwan yang dipelihara. Mereka memberikan penerangan tentang analogi telur ayam di mana ada lapisan kulit telur dan yang dimakan ialah isi telur sahaja.
Begitu juga kopi luwak yang akan dikupas selaput di bahagian luar sebelum diambil biji kopi. Contoh kopi luwak yang asal seperti dalam gambar di bawah. Mereka tak beri sample untuk kopi ini kerana harganya yang sangat mahal.
Kami kemudian dibawa makan tengahari di Restoran Garuda. Malangnya tempat makan di tingkat bawah penuh. Hatta untuk meja berdua buat kami berdua pun tak ada. Restoran ini pula tidak menpunyai lift. Jadi mereka sepakat untuk mengangkat saya dengan wheelchair naik ke tingkat atas. Memang takut dan gayat sangat kerana tangganya agak curam dan tinggi. Dan saya pulak boleh tahan lah beratnya.
Seperti biasa lah masakan di Restoran Garuda ni semuanya sedap. Tinggal pilih pilih jer sebab kalau makan terlalu banyak lauk, dah hilang nikmat dan kesedapannya. Saya memang suka dengan gulai lemak ikan, daging dendeng berlado masak lemak sayuran ala ala gulai tempoyak di tempat kita. Dan yang sedap juga ialah sup bontot kerana masakannya sama dengan tempat kita dan dihidangkan pula panas panas.
Selepas makan, kami bergambar di hadapan restoran buat kenang kenangan. Haa nak turun pun sama, pekerja restoran telah mengangkat saya di atas wheelchair untuk turun. Aduhai gayat sangat.
Saya sebenarnya trauma melihat tangga yang diperbuat dari jubin. Semasa di restoran Pagi Sore semalam, saya hampir terjatuh bila tongkat saya tergelincir dek lantai jubin mereka yang licin dan berminyak. Bagi saya yang di dalam fasa pemulihan kerana tulang kaki yang retak, kejadian ini sangat menakutkan. Akhirnya saya terpaksa ditolak masuk ke restoran menggunakan wheelchair untuk ke lift.
Kemudian kami dibawa ke Grand Batam Mall untuk shopping terutama barang barang branded seperti Uniqlo. Sekali lagi tak jumpa ram dan lift dari pintu masuk. Akhirnya kawan kawan sepakat untuk mengangkat saya dengan wheelchair menaiki escalator.
Kami terus ke Uniqlo mencari barang yang dipesan Nana. Saya pun tak pasti kalau harganya lebih murah dari Malaysia kerana saya membeli pakaian di sini hanya untuk pakaian keperluan untuk bercuti di negara sejuk sahaja. Akhirnya saya tak beli apa apa pun untuk diri sendiri kerana kata Hubby nak cuba baju atau seluar pun susah. Macam mana nak beli. Akhirnya kami mencari tempat untuk minum.
Masa nak balik saya minta juga Hubby mencari laluan untuk wheelchair. Ada rupanya tapi agak tersorok. Lega kerana tidak menyusahkan kawan kawan.
Kami memutuskan untuk balik awal ke hotel untuk habiskan lebih masa bersiar siar dan juga melakukan pelbagai aktiviti di hotel. Rugi juga tak dapat berjalan jalan di tepian pantai. Tapi nak buat macam mana. Saya cadangkan Hubby turun sendirian untuk bersama kawan kawan dan saya berehat di bilik hotel.
Sebelah malam kami hanya makan malam di hotel sahaja. Dato’ Setia Salehuddin dan Datin Setia Nursinah dah memberitahu yang mereka ingin sponsor dinner kita orang semua.
Selepas makan, kami group ibu ibu berkumpul di bilik Dr Hamidah dan para suami berkumpul di bilik Datin Setia Nursinah. Bila dah lama tak jumpa, macam macam lah topik yang dibincangkan. Sambil makan kekacang dan minum kopi.
Sebelum balik ke bilik kena panggil buggy kerana bilik kami berada di tingkat atas. Setakat ini dahulu, sehingga bersua lagi di entri akhir catatan perjalanan dan percutian kami ke Batam. Salam sayang buat semua….








































Catat Ulasan for "Tempat Menarik Di Batam - Day 2"
Add your comment