Jalan Jalan Musim Spring Di London
Alhamdulillah kita sambung lagi aktiviti jalan jalan di London. Entri sebelum ini saya ke taman bunga tulip di Victoria Embankment Garden. Boleh klik entri tersebut di SINI. Kami ke sini sehari selepas balik bercuti di York.
Destinasi pertama kami selepas Victoria Embankment Garden untuk melihat bunga tulip, kami berjalan ke The Strand dan ambil bas untuk ke Big Ben. Dah tinggal sini hampir setahun, memang tak pergi lagi bergambar di sini walaupun selalu jer lalu. Kami bergambar di sini untuk kenangan kami sekeluarga di sini terutama ada Aliya dan Ammar. Bukan sahaja tempatnya tapi kenangan bersama orang orang yang kita sayang.
Detik dan masa ini tidak akan berulang lagi, kalau pun kami datang lagi di tempat sama di masa depan. Gambar ini adalah kenangan ketika kami tinggal di England selama setahun. Setiap keping gambar yang saya abadikan adalah menpunyai cerita dan memori tersendiri.
Selepas bergambar di Big Ben, kami berjalan ke St James Park. Kami tak ke Eyes of London pun kerana kami dah biasa pergi semasa membawa Ammar dan Aliya bermain di playground di situ. Ini adalah kali pertama saya ke sini.
Semasa Ammar dan Aliya bermain di playground di St James Park, saya berjalan jalan di kawasan sekitar melihat pokok pokok yang berbunga lebat dan cantik. Walaupun cuaca terang dengan cahaya matahari tapi sangat sejuk. Rasa tangan membeku.
Seronok melihat budak Melayu ni berjalan dalam cuaca sejuk di London dengan baju kurung. Dia memang suka sangat dengan baju kurung ni, kadang siap bergaduh bila nak dia pakai baju lain. Asyik baju sama jer. Tak tahu macam mana Aliya dan Ammar boleh tahan sejuk. Dia tak suka pakai jaket dan baju tebal. Rimas agaknya. Apalagi nak minta pakai mufler dan beanie.
Dari situ, kami berjalan pula ke Oxford Street. Saya pergi ke Selfridges dulu kemudian baru Nana datang untuk solat. Teringat masa masuk ke prayer room, ada seorang wanita Arab menanyakan di mana saya beli dress ini. Bila saya memberitahu Ariani, terus dia minta saya taipkan dan dia terus hantar mesej pada kawannya. Katanya ada kawan sedang bercuti di Malaysia dan dia mahu kawannya tolong belikan.
Di sini, kami singgah di butik butik yang ada di sini sekadar menjamu mata. Tidak lupa juga Aspinal of London kerana saya mahu melihat sendiri warna dan saiz handbag di sini.
Saya tidak pernah merasa rugi membeli handbag mahal kerana ianya adalah satu pelaburan yang sentiasa naik nilainya. Bayangkan handbag yang dulu saya beli bawah dari RM20K sekarang telah lebih RM50K.
Kalau dulu handbag Hermes boleh dibeli dengan harga RM60K tapi sekarang memang dah tak mampu lagi untuk membelinya. Dulu ingat lagi Puan Sri Normala Samsudin memberitahu dia bercita cita untuk membeli handbag tersebut dan terpaksa menunggu waiting list selama 3 bulan. Ketika itu, beliau masih single. Saya pun tak ambil tahu pasal brand tu ketika itu. Tapi bayangkan sekarang harganya ratusan ribu ringgit.
Jadi kalau menunggu anak anak nak kumpul cukup duit, baru nak beli sendiri pasti harga dah tak termampu. Jadi saya belikan untuk mereka yang mana saya mampu. Bukan sahaja anak tapi menantu juga, saya belikan.
Kemudian kami ambil bas 139 depan Selfridges dan tukar ke bas nbr 1 di Waterloo Bridge South Bank. Sampai rumah, terus rehat. Maka berakhir lah jalan jalan di London untuk hari ini. Esoknya kami akan pergi bercuti pulak ke Devon. Nantikan entrinya.....


















Catat Ulasan for "Jalan Jalan Musim Spring Di London "
Add your comment