Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Umrah 22 Januari 2023 Aktiviti Bebas Sehari Sebelum Balik



Alhamdulillah saya telah tiba ke hari hari akhir saya di Masjidil Haram dan saya akan kongsikan aktiviti ini buat rujukan saya dan anda semua. Saya akan selesaikan semua catatan perjalanan umrah saya sebelum saya berangkat ke UK esok. Insya Allah. Klik entri sebelum ini di SINI.

Pagi selepas sarapan, kami berjalan ke masjid untuk ke dataran kaabah bagi melakukan tawaf sunat. Kali pertama kami masuk ikut pintu 79 untuk terus ke dataran kaabah. Pintu ini memang sentiasa dibuka untuk jemaah yang mengerjakan umrah. Jemaah lelaki yang berpakaian ihram sahaja dibenarkan masuk melalui pintu ini. 

Pintu masuk ini rasanya agak jauh untuk ke dataran kaabah berbanding dengan pintu King Abdul Aziz yang biasa kami masuk ketika mengerjakan umrah. Cuma untuk berjalan dari hotel ke pintu ini agak jauh berbanding dengan masuk melalui pintu 79. 



Berhampiran pintu 79, banyak tempat menyimpan kasut di luar pintu masuk masjid juga di kawasan solat. Kalau untuk tawaf sunat, ok lah tapi kalau untuk umrah agak susah kerana kita akan keluar ikut pintu di Bukit Marwah selepas sai dan bergunting. Jadi mahu tidak mahu, terpaksalah membawa bag kasut bersama sama semasa melakukan tawaf. 

Jadi bersedia lah untuk membawa botol spray dan tisu untuk spray tapak kasut dan lap sebelum dimasukkan ke dalam bag kasut. Ianya bagi memastikan tiada najis yang melekat di tapak kasut sehingga kita menanggung najis semasa melakukan tawaf. 

Kami juga membasuh tapak kasut di bilik hotel terlebih dahulu sebelum setiap kali melakukan tawaf umrah. Kemudian sebelum masuk masjidil haram, check lagi sekali. Di Mekah, banyak sekali burung merpati, jadi dikuatiri kita terpijak najis burung. 

Selepas selesai tawaf sunat, kami berjalan menghampiri Maqam Ibrahim untuk mengambil gambar sekali lagi di situ dan kemudian bergerak ke multazam untuk berdoa. Multazam adalah antara tempat yang mustajab doa. Ianya terletak antara Hajar Aswad dan pintu Kaabah.



Orang agak ramai dan tak berani untuk bersesak di hadapan berdekatan dengan Hajar Aswad. Saya tidak mahu melakukan perkara sunat yang membawa dosa kerana bertolak tolak dan mungkin juga menimbulkan masalah aurat.  Lagi pulak risau kalau tak dapat menjaga Juita. 

Kali terakhir saya mencium Hajar Aswad adalah ketika mengerjakan Haji. Itu pun setelah beberapa kali membuat percubaan masuk, solat hajat, berdoa dsb.  Ketika itu, dapat lah tengok apa yang dikatakan orang terbang kerana jemaah yang selesai mencium Hajar Aswad tidak diberi ruang keluar sebaliknya akan ditolak ke atas. Saya menjadi trauma bila melihat ada jemaah atas kepala. Tapi syukur kerana saya diberi peluang untuk beberapa kali mencium ketika mengerjakan umrah kali pertama tahun 2004. 


Selepas tawaf sunat, kami mengambil tempat berhadapan dengan Maqam Ibrahim untuk solat Zohor. 1 jam setengah menunggu bawah panas. Satu cabaran besar bila di sini ialah ia menjadi laluan short cut untuk jemaah lelaki selepas melakukan tawaf untuk samada melakukan solat sunat tawaf atau untuk ke tempat sai. 

Masya Allah, saya cukup risau kalau mereka terjatuh atas kita. Saya juga memang menjaga wudu kerana mereka semua dalam ihram dengan kaki tidak berlapik.  Setiap kali mereka masuk beramai ramai, saya terpaksa menjerit No No dan menyekat mereka supaya tidak lalu di hadapan kami yang sedang duduk. Situasi ini terhenti setelah menghampiri waktu azan. 



Selepas Zohor, kami balik bilik dengan kepenatan. Berjalan kaki terus dari pintu masjid 79 ke Hilton Suite Hotel untuk membeli Ben's Cookies untuk dibawa balik. Dalam kepanasan, dapat minum ice lemon tea di situ, tersangatlah nyamannya. 


Balik bilik dan mula mengemas bag dan menimbang bagi memastikan setiap bag kami tidak melebihi 20 kg. Alhamdulillah kesemua 4 bag kami ngam ngam sahaja beratnya. Terima kasih Raba’ah kerana meminjamkan penimbang kepada kami. 

Seperti biasa kalau ke mana mana, saya memang tak pandai mengemas pakaian dalam bag. Biasanya husband atau anak anak yang akan mengambil tugas itu. Jadi pastinya Juita yang mengemas semua bag bag kami supaya kemas dan muat dengan semaksimumnya. Setakat ini dahulu, nantikan catatan akhir perjalanan umrah saya di entri akan datang. 




Catat Ulasan for "Umrah 22 Januari 2023 Aktiviti Bebas Sehari Sebelum Balik"