Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Umrah 21 Januari 2023 Lawatan Ke Taif


Alhamdulillah saya telah tiba ke catatan perjalanan hari ke7 kami di Mekah. Boleh klik entri sebelum ini di SINI. Kali ini kami dibawa melawat Taif. Ramai juga jemaah yang tidak ikut. Saya menanyakan Ustaz Ibrahim jika saya perlu pergi ke Taif atau sebaliknya. 

Maklumlah sayang juga nak meninggalkan solat berjemaah di Masjidil Haram yang pahalanya 100,000 kali ganda. Tapi kata ustaz eloklah ikut dengan niat untuk melihat alam ciptaan Allah dan menjejaki pengorbanan dan perjuangan Rasulullah untuk menegakkan agama Islam di muka bumi ini.

Ini adalah lawatan kedua saya ke Taif. Yang pertama adalah Disember 2006 ketika menunaikan fardhu Haji. Masih ingat lagi kami di bawa ke beberapa buah masjid di lereng bukit. Tapi saya lupa nama masjid tersebut. Kami juga di bawa ke kawasan empangan. Orang muda macam kami ketika itu, bukan fokus apa yang muttawif dok syarahkan. Kami sibuk bersembang sesama sendiri dan bergambar.



Melihatkan suasana itu agaknya, Ustaz Salehuddin Nasir telah mengambil microphone dari muttawif dan mula bercerita berkenaan sirah berkaitan dengan empangan tersebut. Tidak semena mena, jemaah mula menangis dan mengalir airmata mendengarnya. Haa begitu pentingnya untuk muttawif dan ustaz memahami sirah dengan sedalamnya dan menyampaikan dengan penuh penghayatan untuk melahirkan cinta pada Rasulullah.

Bandar Taif merupakan salah sebuah daerah yang sangat subur di Arab Saudi di mana di sinilah pelbagai tumbuhan dan buah-buahan tumbuh dengan segar. Mungkin ianya juga faktor cuaca di Taif yang lebih sejuk. Terdapat lebih dari 80 jenis teh yang terdapat di sini untuk diminum dan beribu-ribu kuntum bunga ros pink untuk dijadikan minyak wangi. Itulah sebab di sini terkenal dengan kawasan pemprosesan minyak wangi ros pink.


Sebelum pergi ke kedai menjual madu sidr dari Yaman, kami singgah di Masjid Abdullah Ibni Abbas berdoa kerana di situ terletaknya makam Abdullah yang merupakan sepupu Rasulullah. Saya membeli selonggok delima dari Yaman. 



Abdullah memilih untuk tinggal di Taif kerana tidak sanggup dengan balasan di Mekah bagi setiap kesalahan yang dilakukan. Bukan sahaja berbuat kebaikan mendapat pahala 100,000 kali ganda tapi jika berbuat dosa juga, balasannya juga berganda. 

Kami kemudian melalui Masjid Siku atau Masjid Alkou (Masjid Kuk). Nabi Muhammad SAW datang ke Taif untuk tujuan berdakwah tapi kedatangan baginda telah mendapat tentangan hebat dari Bani Thaqif. Abu Suffian dari orang Mekah telah terlebih dahulu datang ke Taif dan memburuk burukkan baginda kepada orang Taif. 

Orang Taif telah menolak sehingga baginda dan Saidina Zaid dikejar dan dibaling dengan batu, kayu dan tulang. Baginda dan Saidina Zaid cedera sehingga berdarah. Masjid ini tempat baginda berlindung ketika dikejar Bani Thaqif dan masjid ini diberi nama Masjid Siku kerana terdapat kesan lekuk pada batu ketika Rasulullah berteleku dengan siku Baginda di sini. 

Meski begitu, Rasulullah tetap menaruh belas kasihan dan berharap ada salah seorang di antara orang-orang Taif itu yang beriman kepada Allah. Atas sebab itu, Rasulullah menolak tawaran malaikat Jibril yang siap untuk menimpakan gunung pada penduduk Taif yang telah menyakiti Rasulullah.

Kehadiran Rasulullah di Taif yang disambut dengan kebencian para penduduk Taif rupanya dilihat oleh dua orang anak Rabi'ah iaitu Utbah dan Syaibah. Kedua anak itu menaruh hiba atas apa yang dialami Rasulullah dan memanggil seorang hambanya yang bernama Addas memerintahkan supaya mengambil setandan anggur dan memberikan kepada Rasulullah. Addas pun mematuhi perintah majikannya, dengan segera mengambil anggur dan menghidangkan pada Rasulullah

Rasulullah pun mengambil anggur tersebut sambil mengucap lafaz basmalah sebelum makan anggur tersebut. Addas pun terkejut mendengar lafaz yang diucapkan oleh Rasulullah. Addas mengatakan lafaz tersebut belum pernah diucapkan oleh penduduk Taif. 

Rasulullah pun menjawab dengan menanyakan Addas dari mana asalnya dan agamanya. Addas pun menjawab bahawa agamanya Nasrani dan ia berasal dari Ninawa. Rasulullah pun berkata bahawa ternyata Addas berasal dari negeri seorang lelaki soleh bernama Yunus bin Matta. Addas pun terkejut dan bertanya kepada Rasulullah apa yang diketahui Rasulullah tentang Yunus bin Matta.

Rasulullah pun menjelaskan bahawa Yunus bin Matta adalah seorang nabi sebagaimana baginda. Mendengar penjelasan Rasulullah itu, lantas Addas menundukkan tubuhnya dan mencium kepala, kedua tangan, dan kedua kaki Rasulullah.

Sementara melihat apa yang dilakukan Addas, salah satu majikannya mengatakan bahwa Addas telah rosak akalnya. Kedua majikannya itu pun mencaci Addas karena mencium tangan Rasulullah. "Tak ada sesuatu pun di muka bumi yang lebih baik dari pada orang itu. Dia telah memberitahu aku tentang sesuatu yang hanya diketahui oleh seorang nabi," kata Addas. Addas pun mendapat hidayah di tengah tengah penduduk Taif yang membenci dan mengusir kedatangan nabi.


Kami kemudian di bawa ke kilang ros yang menjual banyak produk bahan dari ros seperti lotion, sabun dan air rose.  Kami juga membeli kekacang dan kismis di kedai berhadapan kilang yang dikatakan lebih murah. Buah tin yang muda lembut berharga rial 30 sekilo. Kami beli juga kacang pistachio, kismis hitam dan kuning. Nantikan sambungan lawatan ke Taif di SINI

Catat Ulasan for "Umrah 21 Januari 2023 Lawatan Ke Taif"