Khamis, 12 Mei 2022

Pajeri Nenas Resipi Signature Azie Kitchen


Siapa yang follow blog saya pasti tahu yang saya adalah. penggemar pajeri terutama pajeri terung. Masa masih bekerja di BNM, bila sekali sekala saya keluar lunch di Medan Kupang, lauk pajeri lah yang menjadi pilihan saya. Saya akan gandingkan dengan ikan cencaru sumbat dan telur masin. Memang itulah lauk yang dipilih. 

Pajeri yang sedap adalah pajeri yang dimasak oleh Wan Chu suatu ketika dulu. Kalau tak silap, terung yang digunakan adalah berwarna hijau yang dibeli di pasar di Sg Besi. Bila terputus hubungan, saya berusaha mencari dan belajar resipi pajeri dari Wan Chu.

Cara masak pajeri. hampir sama dengan masak kari terung cuma kata Wan Chu, pajeri lebih berempah dan kuahnya lebih pekat. Bukan seperti kari. 


Resipi ini adalah resipi asal pajeri terung yang saya tukar kepada nenas. Musim raya ni sedaplah dapat makan nasi putih dan lauk pauk. Jemu dan muak bila tengok hidangan lauk pauk raya dengan lemang, rendang dan ketupat. Itu saya lah. Kalau dapat makan nasi putih, dengan sayur lemak putih dan ikan kering pun dah sedap sangat.

Jom layan resipi yang saya gunakan hari ini. Jika mahu tengok versi pajeri terung, boleh klik di SINI. Selamat mencuba....


Pajeri Nenas
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
1 biji nenas
50 gram rempah kari daging Babas - 4 sudu besar
3 sudu besar kerisik
300 ml santan segar
2 sudu kecil garam - guna 1 sudu kecil
3 sudu besar gula atau secukup rasa
½ cawan minyak

Bahan kisar:
6 biji bawang mera
2 ulas bawang putih
1 inci halia
2 sudu besar udang kering

Cara cara:
Tumis bahan kisar sehingga naik bau dan masukkan rempah kari kering (tak dibancuh dengan air) dan kacau rata cepat cepat.

Masukkan sedikit santan supaya tidak hangit dan kacau rata. Kemudian masukkan baki santan, garam, gula, serbuk perasa serta kerisik supaya kesemua sekali masak mesra.

Setelah hampir terbit minyak, masukkan terung dan sedikit air sehingga agak agak terung tenggelam sahaja.

Masak dengan api sederhana sehingga terung lembut dan kuah pecah minyak. Sesuaikan rasa dan bolehlah diangkat.


1 ulasan

  1. Tengok pun dah sedap ni kak.. saya makan pajeri nenas ni bila ada kenduri sahaja. Belum pernah masak sendiri. Pernah tanya mak resepi tapi mak kata tak tahu sebab tak pernah masak. Boleh cuba ni.

    BalasPadam

Add your comment