Selasa, 18 Mei 2021

Gulai Dalca Daging Tetel Kelantan Yang Sangat Sedap



Sebelum itu, terima kasih kerana ramai yang telah membaca pos Agar Agar Sirap Rose saya yang sedap dan cantik di SINI. Terima kasih juga kerana sudi picit iklan yang keluar kat bahagian atas blog saya. Tak sangka juga kerana ramai yang macam saya, selalu bila buat agar agar sirap rose, tak menjadi dengan cantik. Kepada yang belum baca, jangan lupa baca ya. 

Hari ini saya nak bercerita bab gulai dalca. Saya sebenarnya bukan penggemar dalca terutama dalca yang kuah pekat pekat di majlis kenduri kawin di sini. Saya memang tak akan ambil lauk tu. Kuah pun tak ambil. 

Kebelakangan ini saya tiba tiba teringin nak makan dalca. Saya menyediakan dalca versi tanpa santan di SINITapi bila dah masak, saya hanya menjamah sedikit sahaja.  

Hari ini saya masak gulai dalca daging tetel versi Kelantan. Dalca Kelantan sebenarnya lebih kurang dengan gulai kawah cuma dimasukkan sayur sayuran. Gulai tu macam kari lah kalau di tempat lain. Cuma di Kelantan dipanggil gulai. 


Rempah gulai dalca memang ada dijual tapi saya tak ada, jadi saya guna rempah kari daging biasa sahaja. Gulai dalca ni kuahnya mesti lah tidak pekat dan tidak cair, tidak terlalu berminyak seperti mana kari tapi terbit minyak sikit sikit manja gitu. Boleh tengok gambar di bawah sekali dalam entri ini.

Saya sangat sangat berpuas hati dengan kejadian gulai dalca saya hari ini. Perfect gitu. Kuah gulai dalca yang cantik dan menjadi adalah bila kuah yang tidak berminyak di lapisan atas tapi kelihatan terbit minyak dengan kelihatan berlemak santan. Hmm susah saya nak jelaskan sebenarnya.

Memang rupa kejadian gulai di Kelantan seperti gambar di bawah. Baik rupa gulai ayam atau gulai ikan nasi berlauk juga. Tapi yang lebih penting ialah ianya sangat sedap. Hahaha.


Faktor penting untuk menghasilkan gulai seperti ini ialah santan dan air. Perlu guna santan segar dan perlu masukkan air sedikit demi sedikit sehingga teksturnya menjadi seperti itu. Kalau terlebih pekat, tambah air panas sebab biasanya bila sejuk, kuah akan menjadi sedikit pekat.


Lagi lama lagi cantik kejadiannya. Ada baki kuah, keesokannya saya masukkan telur rebus dan sayuran yang dicelur. Keenakannya membuatkan saya teringat gulai dalca ini berhari hari. Kira masakan "rare" yang susah ditemui di sini melainkan memasaknya sendiri. Makan dengan nasi minyak dan ayam masak merah versi Kelantan, memang makan bertambah tambah lah. 

Jom layan resipi yang saya gunakan hari ini dan juga cara penyediaannya di bawah ini. Selamat mencuba.... 



Gulai Dalca Daging Tetel Kelantan
Oleh: Azie Kitchen 

Bahan bahan:
1 kg daging tetel
8 sudu besar rempah kari daging
1 sudu besar cili kisar 
1 biji kelapa parut - santan
100 ml santan kotak
1 sudu besar asam jawa - bancuh dengan air
Bunga lawang, pelaga dan kulit kayu manis
½ cawan kacang dhal - rendam dan rebus 
1 ½ sudu besar garam kasar
2 sudu besar gula
1 cawan minyak masak

Bahan kisar:
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
1 inci halia
1 inci lengkuas

Bahan hiris:
5 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1 inci halia

Bahan sayuran:
2 biji terung panjang
Sedikit kacang panjang/kacang buncis
2 biji kentang
1 batang karot
2 biji cili merah - patahkan 2
2 biji cili hijau - patahkan 2

Cara cara:
Panaskan minyak ke dalam periuk, tumiskan bunga lawang, kulit kayu manis dan pelaga hingga terbit bau.

Masukkan bahan kisar, tumis hingga agak garing sedikit. Sementara itu satukan rempah kari dan cili giling, campurkan dengan sedikit air.Jadikan pes pekat.

Apabila bahan tumisan garing, masukkan pes rempah kari dan cili kisar. Tumis sehingga terbit minyak.

Masukkan daging dan gaul bersama rempah hingga sebati. Biarkan sebentar hingga daging kecut dan mesra dengan bahan tumisan. Tambah air sama paras dengan daging untuk empukkan daging.

Setelah empuk, masukkan air dan biarkan mendidih sebelum dimasukkan santan. Masukkan air asam jawa, garam dan gula.


Masukkan kentang dan karot. Masak sehingga ubi kentang empuk dan kuah terbit minyak. Setelah empuk, masukkan terung.

Akhir sekali, masukkan kacang panjang, cili merah dan cili hijau. Renih sehingga kuah terbit minyak dengan cantik. Tutup api dan sedia dihidang.




Add your comment