Isnin, 17 Mei 2021

Agar Agar Sirap Rose Yang Sedap Dan Cantik Merah Berkilat



Saya tidak pernah jemu mencuba kerana agar agar ini sangat nostalgia. Malahan masakan apa pun, saya akan mencuba berkali kali. Saya mencuba dan mencuba tanpa jemu untuk mendapat tekstur yang benar benar menepati citarasa saya. 


Saya tidak pernah malu untuk menanya walaupun hanya resipi agar agar sirap rose jer. Tapi ramai yang bila ditanya akan menjawab, ala masak macam biasa jer. Hmm jadi macam mana nak belajar kalau mereka tidak benar benar  mahu menyukat bahan bahannya.


Saya akhirnya berjaya menghasilkan agar agar yang kenyal kenyal lembut bab jelly dan secukup kemanisannya serta cantik berkilat. Bab kemanisan, boleh cuba adjust. 


Sebelum ini saya guna air sebanyak 1400 ml dan gula sebanyak 1 ½ cawan gula. Rasanya lebih kenyal dan manis manis buah. Sebenarnya bila kita menyediakan puding atau kuih muih, ianya kena ada rasa manis. Kalau tidak, bukan lah kuih namanya. 




Kali ini saya cuba sukatan yang dikongsi oleh jiran saya, Datin Faridah dengan menggunakan 1450 ml air dan tambah ¼ cawan lagi gula. Selain itu, saya ikut teknik yang beliau ajar kerana katanya agar agar ini adalah agar agar kegemaran suami beliau.  


Apa teknik nya? Kena masak lama sikit. Jangan agar agar hancur terus masuk gula. Itu pesan Datin Faridah. Sebaliknya biarkan ia mendidih lagi. Selepas gula hancur pun, masak lagi. Dengan cara ini, agar agar yang terhasil cantik berkilat. 



Kerana sangat teruja sebab dah berjaya memasak agar agar ini dengan sedap dan cantik, selama 3 hari berturut turut, saya menyediakannya. Aalahai, satu dulang tu sebenarnya boleh sekali hadap jer. Sebab sejuk nyaman jer melalui anak tekak ini. 


Boleh makan seketul ketul tanpa sedar pun dah nak habis separuh loyang. Cuti raya ini asyik ulang alik ke dapur, buka peti sejuk makan agar agar sirap rose. Haa gitu ceritanya. Puas hati dan happy sangat. 


Jom layan resipi dan cara penyediannya di bawah ini. Sebelum itu, jangan lupa follow blog Azie Kitchen dengna klik Follow Blog dan juga klik iklan tau. Selamat mencuba...




Agar Agar Sirap Rose

Oleh: Azie Kitchen


Bahan bahan:

20 gram agar agar tali

1 ¾ cawan gula

7 cawan air - 1450 ml

10 gram gula batu 

2 sudu besar sirap rose 

Setitis pewarna merah - opsyenal

1 helai daun pandan


Cara cara:

Rendam agar agar seketika. Tos dan rebus dengan air dan daun pandan sehingga agar agar larut. Nota: Setelah larut, biarkan mendidih seketika. 


Setelah itu, masukkan gula dan gula batu. Masak sehingga gula hancur. 


Setelah gula hancur, masukkan sirap rose dan sedikit pewarna merah. Nota: Biarkan ia mendidih lagi. 


Angkat dan tuang ke dalam acuan disukai.  Nota: saya guna loyang saiz 8"x8"x2" sahaja. Setelah mengeras, masukkan dalam peti sejuk.  


Nota:

Untuk agar agar tali 25 gram, saya menggunakan 1900 ml air dan 2 cawan gula. 


Saya guna agar agar tali cap 2 burung yang boleh dipercayai. Satu lagi cap masjid berwarna hijau. 


Gula batu supaya agar agar tidak cepat berair.



1 ulasan

  1. tkbb azie krn resipi agar2 dgn sukatan sekali. comei nmpk kejadian.cdah lama cari resipi gini. nok terai nanti.. hrp2 menjadi...

    BalasPadam

Add your comment