Selasa, 1 Disember 2020

Pulut Kuning Pujaan Hati


Sekarang hari hari hujan. Saya suka hari hujan kerana pokok pokok dan tumbuhan menjadi segar. Cuaca lebih sejuk. Tetapi kalau masih bekerja, hujan akan menyebabkan jalan raya sedikit sesak. Tapi sekarang musim covid 19 ramai yang bekerja dari rumah, jadi mungkin tidak sesak seperti waktu biasa. 

Pagi pagi lagi saya keluar melihat lihat pokok pokok saya yang ditanam di luar kawasan rumah. Saya melihat Ros menabur baja kerana musim hujan ni sesuai dibajakan. Memang niat saya selain untuk dimakan, juga untuk dikongsi dengan haiwan sebagai sedekah juga. Semoga ianya memberi manafaat pada semua. 


Sekarang kita masuk bab resepi hari ini iaitu pulut kuning yang saya gandingkan dengan rendang pedas di SINI. Entah kenapa pulut kuning adalah salah satu resepi tradisional yang saya sangat ingin melakukan yang terbaik dari yang terbaik.

Saya tidak pernah jemu mencuba membuat pulut kuning. Pulut kuning yang kejadiannya bukan sahaja sedap, wangi, berwarna cantik dan elok kejadiannya. Sebetulnya pulut saya hari ini cantik jer kuningnya tetapi saya tak reti nak edit gambar, jadi nampak macam kuning pucat. Kalau dilihat dari luar, memang cantik warnanya.

Pulut kuning bila direndam dengan sedikit air kunyit hidup, akan menjadi lebih wangi. Serbuk kunyit untuk warna sahaja tetapi tiada wangi. Jadi saya memang tak lupa untuk merendam pulut saya dengan kunyit hidup.

Sama dengan resepi sebelum ini, cuma kali ini bila dikukus kali kedua, saya tidak menutup tudung periuk pengukus. Sebab saya ada baca kejadiannya lebih elok dan pulut tidak benyet atau kalau orang kampung saya panggil pulut pecah perut.

Tahu tak macam mana nak jadi wanita hebat? Hebat di dapur. Antaranya ialah boleh memasak pulut kuning dengan sedap dan cantik. Serious, andalah wanita hebat.

Jom layan resepi dan cara penyediaanya di bawah ini. Jangan lupa subscribe video di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba...



Pulut Kuning

Bahan bahan:
500 gram beras pulut 
1 cawan santan segar pekat
1 inci kunyit hidup
1 sudu kecil serbuk kunyit
1 keping asam keping
½ sudu kecil garam
1 sudu kecil gula
1 sudu besar minyak masak - jika guna santan kotak

Cara cara:
Basuh beras pulut dan tos. Tumbuk kunyit hidup sehingga lumat dan masukkan sedikit air. Tuang air kunyit hidup atas beras pulut yang telah di tos. Setelah bergaul rata, masukkan air secukupnya. Masukkan serbuk kunyit dan asam keping. Rendam selama 1-2 jam. Basuh dan tos. 


Panaskan periuk pengukus sehingga air mendidih. Masukkan pulut yang telah ditos. Kukus sehingga pulut masak lebih kurang 20-30 minit dan angkat.


Tuang pulut ke dalam besen yang besar. Siramkan bancuhan santan garam dan gula dan gaul rata. Pulut akan nampak basah dan sedikit melekit. 



Setelah digaul biarkan pulut rehat lebih kurang 10 minit dan pulut akan hilang melekit dan jadi berkilat dan berminyak. 

Boleh terus hidang tetapi untuk pulut tahan lebih lama, kukus sekali lagi sehingga berwap lebih kurang 10 minit. TETAPI kali ini dikukus tanpa tudung periuk pengukus supaya pulut kekal cantik. Jika ditutup semasa kukus kali kedua ni, pulut akan lembik. 



Angkat dan pulut sedia dihidangkan bersama rendang ayam atau rendang daging.




Add your comment