Sabtu, 11 April 2020

Bingka Labu Yang Sedap


Sejak perintah kawalan pergerakan, saya kena memasak setiap hari. Tiba tiba tiap hari masuk dapur. Walaupun Hubby menolong juga tapi saya macam kejutan juga bila setiap hari kena memasak. 

Bangun pagi terus ke dapur untuk menyediakan sarapan. Selepas sarapan, saya mula menyediakan hidangan untuk makan tengahari. Biasanya saya tidak makan malam. Hanya Hubby dan anak anak jer yang makan malam. 

Selepas PKP, akan bersambung pula dengan Ramadhan. Kalau tiada bazar Ramadhan, nampak gaya saya kena memasak juga lagi untuk hidangan berbuka puasa. 

Saya kalau hari bekerja tidak lah setiap hari ke dapur. Balik pejabat dah pun lewat, jadi kami terus singgah makan. Tapi sekarang tak ada pilihan, sebab tak boleh keluar. Jadi kena juga sediakan makan untuk Aween. Penat memang penat tapi bila melihat anak anak makan, hilang rasa penat. 


Resepi yang saya ingin kongsikan hari ini ialah Bingka Labu yang sangat sedap. Masa saya balik ke Kelantan untuk program JJCM baru ni, kakak sulong saya telah mengirimkan 2 biji buah labu yang bersaiz agak besar. 

Semalam saya menyediakan masak lemak labu menggunakan ikan rebus yang sedap giler. Boleh klik di SINI. Makan menambah nambah. Masih ada lagi baki. Jadi saya terfikir untuk membuat kuih berasaskan buah labu. 


Banyak jer kuih berasaskan labu seperti ondeh ondeh atau donut labu atau bingka. Hanya menggunakan 3 lurah labu sahaja dapat seberat 500 gram. 

Memang sangat sedap bingka labu ini. Rasanya lemak lemak manis dan rasa labunya sangat sedap. Bakar lama lama supaya permukaannya garing. Kuih ni kalau tak garing, dah masak kerana labunya dah direbus sehingga masak. 

Jom layan resepi di bawah ini dan jangan lupa video penyediaannya di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba...


Bingka Labu Yang Sangat Sedap
Oleh: Azie Kitchen

Bahan-bahan:
500 gram labu - yang telah direbus
1 cawan tepung gandum 
2 sudu besar tepung jagung
400 ml susu cair 
4 biji telur gred A  
¾ cawan gula pasir - 146 gram
½  cawan butter
Secubit garam
1 sudu kecil esen vanilla 
Pewarna kuning telur egg 
2 sudu besar bijan - sangai

Cara cara:
Labu dibuang kulit, dipotong dadu dan direbus sehingga lembut. Tos dan sejukkan. 



Masukkan labu ke dalam blender bersama semua bahan kecuali tepung gandum dan tepung jagung bkisar sehingga halus. 

Masukkan tepung gandum dan kisar lagi. Masukkan pula, tepung jagung dan kisar lagi. 

Lenser acuan yang disukai dengan mentega dan dipanaskan dalam oven. Setelah acuan panas, keluarkan acuan dari oven dan tuang adunan yang telah ditapis dalam 90% penuh sahaja. 


Bakar dalam oven pada suhu 180C dan bakar. Selepas beberapa minit, keluarkan dari oven dan tabur bijan yang telah disangai. 

Bakar selama 1 jam atau sehingga masak. Nota: tidak melekat bila dicucuk dengan lidi atau cake tester. 

Keluarkan dan sapu sedikit mentega di permukaannya supaya nampak berkilat. 


Sejukkan sebelum dipotong. Sedia untuk dinikmati.


Nota:
Saya bakar juga lebihan adunan dengan acuan muffin selama 35 minit. Bergantung kepada kepanasan oven masing masing. 


3 ulasan

Add your comment