Rabu, 5 Februari 2020

Kuih Jongkong Perak Yang Sangat Sedap

Kuih Jongkong Perak Yang Sangat Sedap

Sebelum masuk bab resepi, saya ingin menulis berkenaan dengan rezeki. Sebagai seorang yang berpuluh tahun makan gaji, yang dinantikan setiap tahun adalah bonus. Oleh kerana bonus adalah sesuatu yang diharapkan, maka pelbagai cara dibuat oleh pihak pengurusan untuk membezakan prestasi staff dan seterusnya membezakan pembayaran bonus antara seorang dengan seorang yang lain. 

Pastinya pada mereka, semua telah diberi pertimbangan dengan keadilan tapi keadilan sebenar adalah apabila kita berada di hadapan Allah. Setiap amanah dan pertanggungjawaban akan dipersoalkan. Jadi kenapa perlu bersedih bila semuanya telah dijanjikan?

Sebenarnya dalam hidup, banyak bonus yang diberi tanpa kita sedari. Seperti saya sendiri, banyak rezeki datang tanpa saya sedari yang ianya adalah satu bonus. Bonus yang berlipat kali ganda dari bonus yang diterima di tempat kerja tanpa perlu menghadapi kesakitan. Semuanya bonus yang dihadiahkan Allah atas usaha sendiri.  OK sekarang kita tinggalkan dulu bab rezeki dalam bentuk bonus. Meh bercerita sedikit bab resepi.


Kuih Jongkong Perak Yang Sangat Sedap

Kali pertama saya makan kuih ini semasa bulan Ramadhan di mana Hubby memberitahu yang kuih ini sangat sedap. Ketika itu, kami membeli juadah dan kuih muih untuk berbuka di bazar Ramadhan bersebelahan pasar Taman Tun Dr Ismail. 

Sejak itu, kami akan membeli dalam jumlah yang banyak. Ada ketika sehingga sedozen. Saya suka kuih ini yang sejuk sejuk. Jadi saya akan menyimpannya di dalam peti ais dulu sebelum dinikmati. 


Kuih Jongkong Perak Yang Sangat Sedap

Itu cerita beberapa tahun dahulu, tapi kini dah lama tak bertemu dengan orang yang menjual kuih ini walaupun di bulan Ramadhan. Oleh kerana teringin nak makan, terpaksa lah membuatnya sendiri. 

Rasanya enak dengan lemak lemak manis gitu. Zaman sekarang mungkin ada yang buat kuih ini tapi dalam bekas plastik, bukan lagi dalam daun pisang.  


Kuih Jongkong Perak Yang Sangat Sedap

Rasa kuih ini ada ala ala kuih tepung pelita di Kelantan. Yang berbezanya kuih tepung pelita, lapisan putih berada di atas sekali dan ianya tidak dibungkus tertutup. Untuk lebih sedap, pastikan santan dimasukkan dalam 2-3 sudu besar dan gula secukupnya. Barulah air gula akan banyak bertakung di keliling kuih, bila bungkusan daun pisang dibuka. 

Jom layan resepi di bawah ini dan jangan lupa video penyediaannya di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba...


Kuih Jongkong Perak Yang Sangat Sedap

Kuih Jongkong
Oleh: Azie Kitchen 

Bahagian hijau: 
250 gram tepung beras 
50 gram tepung ubi
500 ml air daun pandan - 5 helai
500 ml air
Sedikit pewarna hijau 
1 sudu kecil air kapur 
½ sudu kecil garam

Bahagian santan:
500 ml santan pekat
½ sudu kecil garam

Bahan lain:
Gula pasir
Daun pisang
Lidi 

Cara cara:
Satukan semua bahan untuk lapisan hijau hingga sebati. Masak atas api perlahan sambil dikacau sehingga pekat dan berkilat. 

Setelah masak, masukkan dalam bekas besar, ratakan dan sejukkan. Setelah sejuk, bolehlah dipotong seperti bentuk jongkong emas.  


Kuih Jongkong Perak Yang Sangat Sedap

Di tengah tengah daun pisang diletakkan sepotong lapisan hijau. Masukkan 1 sudu besar gula dan akhir sekali, masukkan 3 sudu besar santan. 


Kuih Jongkong Perak Yang Sangat Sedap

Daun pisang dilayur atas dapur supaya tidak mudah koyak. Lipat acuan daun pisang tadi seperti membungkus tapai dan  matikan dengan sehelai daun pisang bersaiz kecil di tengah bungkusan. Semat dengan stapler atau lidi untuk mengemaskannya.


Kuih Jongkong Perak Yang Sangat Sedap

Susun dalam periuk pengukus dan dikukus selama 20-30 minit. Bolehlah diangkat dan dihidangkan. 

Kuih Jongkong Perak Yang Sangat Sedap

Kuih ini bila dibuka daun pisang akan kelihatan air gula di sekeliling kuih. Bila nak makan, ceduk sekali dengan air gula santan ini. Nota: lebihkan gula dan santan untuk menghasilkan air gula yang banyak.


Kuih Jongkong Perak Yang Sangat Sedap

Kuih Jongkong Perak Yang Sangat Sedap

Nota:
Lagi banyak gula dan santan, lagi sedap dan berkuah.

Kuih jongkong sedap dimakan ketika sejuk.






1 ulasan

Add your comment