Rendang Ayam Untuk Hidangan Berbuka
Resepi ini adalah resepi yang saya gunakan setiap kali memasak rendang. Boleh klik entri lepas di SINI dan SINI. Tapi kalau diperhatikan, saya tidak menggunakan jumlah bahan yang sama setiap kali memasak. Ada ketika lebih bawangnya. Semuanya itu gerak hati sendiri.
Kali ini saya lebihkan bawang yang dihiris kerana mahukan ayam yang banyak serdaknya supaya sedap dicicah dengan pulut kuning atau lemang.
Saya juga sukakan rasa daun kunyit yang ditabur sebelum rendang diangkat dari dapur. Sedikit boleh dimasukkan ketika rendang dimasak dan sebahagian lagi dihiris halus dan tabur selepas rendang siap dimasak.
Jom layan resepi rendang ayam yang mudah dan sedap ini. Kalau ikut resepi ini, sesiapa pun boleh memasak rendang dengan sedap. Jika suka berkuah, jangan terlalu dikeringkan. Memang sedap sehingga saya makan mengulang berkali kali. Jika mahu lebih sedap, guna santan segar. Lagi terasa lemaknya sambil sambil menternak lemak.
Saya memasak ditemani Zatul yang kebetulan datang ke rumah. Zatul menolong saya membasuh pinggan mangkuk yang diguna selepas memasak.
Ketika sedang memasak, Boy dengan Mia juga sampai untuk menghantar cookies yang ditempah. Sebelum balik semula ke Shah Alam, Boy minta untuk membawa balik sedikit rendang ayam. Zatul juga membawa balik rendang untuk berbuka. Jadi terasa berbaloi baloi hari ini memasak rendang kerana ramai dapat merasainya semasa berbuka.
Jom layan resepi yang saya gunakan hari ini. Lauk yang dihidangkan untuk makan dengan nasi panas waktu berbuka puasa...

Rendang Ayam Mudah dan Sedap
Oleh: Azie Kitchen
Bahan-bahan:
2 ekor ayam - potong 12
15 ulas bawang merah - hiris
10 ulas bawang putih - hiris
2 kotak santan kotak - saiz kecil
2 sudu besar kerisik - buat sendiri
2 helai daun kunyit - 1 helai dihiris halus
Minyak untuk menumis
1 sudu besar garam atau secukup rasa
1/4 keping gula Melaka
1 sudu besar gula pasir
2 keping asam keping - bergantung saiz
Bahan kisar:
2 senduk cili kering kisar - 20 tangkai cili kering
4 tangkai cili padi, jika suka pedas - opsyenal
2 labu bawang besar
2 inci kunyit hidup
6 batang serai
2 inci halia
2 inci lengkuas
2 biji buah keras
Cara-cara:
Panaskan minyak dan tumis bawang yang dihiris sehingga kekuningan, masukkan bahan kisar dan tumis lagi sehingga naik bau dan pecah minyak.
Masukkan ayam dan biarkan sehingga ayam agak kecut dan kering airnya, baru masukkan santan dan air secukupnya. Terus masak dengan api kecil sehingga ayam masak dan kuah pekat.
Masukkan garam, gula, gula Melaka dan asam keping serta daun kunyit. Setelah pecah minyak, baru dimasukkan kerisik. Sesuaikan rasa.
Akhir sekali, tabur daun kunyit yang dihiris halus dan bolehlah ditutup api.
Nota:
Cara mudah buat kerisik ialah dengan membakar di dalam oven dan dikacau kacau setiap 5 minit supaya ianya kuning dan garing rata. Nantikan entri cara menyediakan kerisik.
Pagi ni, nak masak rendang ayam, terus ingat kat Kak Azie Kitchen. Mohon halal ya Kak Azie 💞
BalasPadam