Tuesday, 12 June 2018

Rendang Ayam Untuk Dimakan dengan Ketupat Palas


Rendang Ayam Untuk Dimakan dengan Ketupat Palas

Entri hari ini adalah entri tertunggak yang telah tidak sempat di published sebelum ini. Queue terlalu panjang sebenarnya dalam lap top saya ni. Saya memasak rendang ayam kali ini untuk dimakan dengan ketupat daun palas yang Datin Nursinah bagi pada kami. Dia bagi ketupat yang siap dengan rendang tapi Hubby dah panaskan rendang untuk dimakan dengan lemang. Jadi mahu atau tidak, saya kena sediakan rendang untuk dimakan dengan ketupat.

Haa itulah ceritanya bagaimana hari ini terhasil satu kuali rendang ayam tanpa dirancang. Lebih memudahkan sebab semua bahan membuat rendang tersedia dalam peti ais seperti daun kunyit, serai, lengkuas dan kerisik yang saya buat sendiri. Juga dah ada cili yang siap dikisar. Semuanya memudahkan urusan memasak saya.  

Rendang Ayam Untuk Dimakan dengan Ketupat Palas

Sedikit komen saya akan rendang yang saya masak hari ini. Rasanya memang sangat sedap dan secukup rasa serta cukup bahan bahannya. Saya suka rendang yang banyak kuah serdaknya. 

Serdak rendang boleh digaul gaul dengan nasi putih panas panas. Minyak minyak dari rendang itulah menjadikan nasi kita bertambah sedap. Hahaha. Dah tak perlu nak masak lauk lain yang berkuah. 

Seperti biasa, bila menumis kita mesti menggunakan minyak yang banyak. Jadi selepas masak, sendukkan lah minyak yang berlebihan tu. Jangan lah asyik mengecam bila melihat saya menggunakan minyak yang banyak semasa menumis. Setiap orang menpunya cara sendiri. Jika tidak suka cara saya, boleh jer ikut cara masing masing kan?

Jom layan resepi rendang yang telah berlulang ulang kali saya share tapi hari ini, saya share lagi sekali. Memang sangat sedap dan secukup jer rasanya... 

Hahaha tak habis habis memuji rendang sendiri. Bukan berniat apa apa pun, sekadar untuk memberi motivasi agar follower saya mencuba resepi ini untuk hidangan hari raya yang akan menjelang beberapa hari sahaja lagi. boleh tengok video di SINI.

Rendang Ayam Untuk Dimakan dengan Ketupat Palas

Rendang Ayam Mudah dan Sedap 
Oleh: Azie Kitchen 

Bahan-bahan:
1 1/2 ekor ayam - potong 12
15 ulas bawang merah - hiris
8 ulas bawang putih - hiris
2 kotak santan kotak - saiz kecil
2 sudu besar kerisik - buat sendiri
2 helai daun kunyit - 1 helai dihiris halus
1 sudu besar garam atau secukup rasa
1/4 keping gula Melaka
1 sudu besar gula pasir
1-2 keping asam keping - bergantung saiz
Minyak untuk menumis 

Bahan kisar:
2 senduk cili kering kisar - boleh tambah 
4 tangkai cili padi, jika suka pedas - opsyenal
2 - 2 1/2 biji bawang besar
2 inci kunyit hidup
6 batang serai
2 inci halia
2 inci lengkuas
2 biji buah keras 

Cara-cara:
Panaskan minyak dan tumis bawang yang dihiris sehingga kekuningan, masukkan bahan kisar dan tumis lagi sehingga naik bau dan pecah minyak. 

Masukkan ayam dan biarkan sehingga ayam agak kecut dan kering airnya, baru masukkan santan dan air secukupnya. Terus masak dengan api kecil sehingga ayam masak dan kuah pekat. Nota: Nak lagi sedap, guna santan segar.

Masukkan garam, gula, gula Melaka dan asam keping serta daun kunyit. Setelah pecah minyak, baru dimasukkan kerisik. Sesuaikan rasa. 

Akhir sekali, tabur daun kunyit yang dihiris halus dan bolehlah ditutup api.


Rendang Ayam Untuk Dimakan dengan Ketupat Palas

Nota:
Cara mudah buat kerisik ialah dengan membakar di dalam oven dan dikacau kacau setiap 5 minit supaya ianya kuning dan garing rata. 

Add your comment
EmoticonEmoticon