Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Kuih Lapis Tepung Ubi Yang Sedap


Kuih Lapis Tepung Ubi Yang Sedap

Pejam celik pejam celik, esok merupakan hari terakhir kita semua berada dalam tahun 2018. Ia akan pergi dan tak mungkin kembali lagi. Saya yang berada dalam cuti sakit di penghujung tahun ini lagi terasa cepatnya masa berlalu. 

Berada sendirian di bilik, sekali sekala cucunda saya Ammar akan menjenguk saya di bilik berhadapan ruang tamu. Saya telah hampir 2 bulan tidak naik ke bilik tidur saya yang berada di tingkat atas. Saya juga sangat rindu untuk bersolat dan bersujud seperti biasa, namun apakan daya kerana saya belum mampu melakukannya. 

Seronok melihat kawan kawan bercuti di dalam dan luar negara. Saya hanya mampu melihat sahaja. Hasrat hati untuk balik kampung juga, tidak kesampaian kerana saya tidak mahu menyusahkan Hubby untuk menolak wheel chair yang mana mungkin ada tempat yang tidak sesuai untuk menggunakan wheelchair.  

Walau apa pun yang terjadi, saya percaya akan adanya hikmah yang hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui. Saya perlu kuat dan perlu redha akan segala ketentuanNya kerana tiada siapa pun yang boleh memberi kebaikan atau keburukan pada kita. 

Lagi pula, tiada siapa yang waras mahu dirinya jatuh sakit. Nikmat sihat tidak boleh dibeli dengan wang ringgit. Betulkan? Sekarang kita masuk pula bab masakan di mana hari ini, saya ingin kongsikan berkenaan Kuih Lapis Tepung Ubi yang sangat sedap.  

Saya tertarik melihat cara penyediaan kuih lapis tepung ubi dalam youtube channel Nikmatul Rosidah, youtuber dari negara jiran iaitu Indonesia. Saya yang selama ini bukan sahaja tidak pernah cuba memasaknya sendiri tapi juga tidak suka makan kuih ini. 

Gara gara seronok melihat ianya disediakan secara berlapis lapis, saya terus ingin mencubanya sendiri. Kalau sekali sekala saya makan kuih ini, memang saya akan menariknya selapis demi selapis. Entri Kuih Lapis Tepung Beras sebelum ini, boleh klik di SINI.


Kuih Lapis Tepung Ubi Yang Sedap

Yang menarik kali ini, kuih lapis diperbuat dari 100% tepung ubi, jadi mesti kuihnya sedikit kenyal kenyal. Insya Allah nanti saya akan cuba pula kuih lapis menggunakan campuran tepung ubi dengan tepung beras pula. Kalau dah rasa seronok, pasti semua campuran bahan ingin dicuba.

Serious sangat sedap. Rasa kenyal kenyal dan tak melekat di tangan. Rasa seperti kuih dodol. Beberapa ketul masuk ke mulut tanpa disedari pun. Saya syorkan anda mencubanya. Pasti dapat dirasa satu kelainan dengan kuih lapis biasa yang dijual di kedai kedai. 

Kuih Lapis Tepung Ubi Yang Sedap

Jom layan resepi di bawah ini dan juga jangan lupa video penyediaannya di Azie Kitchen youtube channel di SINI. Saya syorkan anda subsribe Azie Kitchen youtube channel untuk melihat video selepas melihat resepi di blog. Selamat mencuba...


Kuih Lapis Tepung Ubi Yang Sedap

Kuih Lapis Tepung Ubi 

Bahan bahan:
500 gram tepung ubi
250 gram gula pasir
1 liter santan - boleh guna 2 santan kotak + air
1 sudu kecil garam
Esen vanila
Perasa pandan + pewarna hijau

Cara cara:
Satukan semua bahan di atas kecuali vanila dan perasa pandan. Pukul dan kacau rata. Tapis ke dalam mangkuk supaya semua tepung dan gula hancur. 

Bahagikan adunan kepada dua bahagian (anggaran 750 ml setiap satu). Satu dimasukkan esen vanilla dan satu lagi dimasukkan perasa pandan dan pewarna hijau. 

Kuih Lapis Tepung Ubi Yang Sedap

Panaskan periuk pengukus. Lenser loyang dengan minyak. Masukkan loyang ke dalam pengukus dan biarkan sehingga loyang panas. 

Masukkan 1-2 senduk adunan putih ke dalam loyang. Tutup pengukus dan biarkan selama 5 minit. Buka dan pastikan ianya telah mengeras. 

Kuih Lapis Tepung Ubi Yang Sedap

Masukkan adunan hijau dan tutup pengukus. Biarkan selama 5 minit. Buat sehingga habis kesemuanya secara berselang seli antara adunan putih dan hijau. 

Kuih Lapis Tepung Ubi Yang Sedap

Lapisan akhir sekali, kukus selama 30 minit bagi memastikan kuih benar benar masak. Angkat dan biarkan benar benar sejuk sebelum dipotong. 

Kuih Lapis Tepung Ubi Yang Sedap

Kuih Lapis Tepung Ubi Yang Sedap

Lenser pisau dengan sedikit minyak sebelum dipotong atau gunakan pisau plastik. Lalukan pisau sekeliling loyang. Terbalikkan kuih tadi atas lapisan plastik. Ia akan jatuh dengan sendiri. 

Potong nipis dan kemudian potong lagi. Balut kuih yang telah dipotong dengan plastik supaya ianya tidak melekat antara satu sama lain. 

Kuih Lapis Tepung Ubi Yang Sedap

Boleh disimpan dalam bekas bertutup dan masukkan dalam peti ais. Boleh tahan selama 3 hari. 


Kuih Lapis Tepung Ubi Yang Sedap

Nota:
Saya guna loyang 8", dapat hanya 6 lapisan. Lain kali saya harus guna loyang bulat saiz 6.5'' - 7", baru dapat lapisan yang banyak dan cantik.

1 ulasan for "Kuih Lapis Tepung Ubi Yang Sedap"