Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Rendang Pucuk Paku Dengan Kerang

Rendang Pucuk Paku Dengan Kerang

Selamat berhari minggu semua. Hari minggu ke hari bekerja, sama jer buat saya sekarang ini. Masa berjalan pantas. Pejam celik, pagi dah bertukar malam dan malam bertukar menjadi pagi. OK hari ini kalau anda tercari cari idea nak masak apa, jom layan resepi Rendang Pucuk Paku dengan Kerang. Masih sempat lagi untuk ke pasar mencari pucuk paku dan kerang untuk dimasak buat hidangan tengahari ini.

Kali pertama saya dengar berkenaan masakan Rendang Pucuk Paku dengan Kerang dari Cikgu Zaleha, sahabat alumni sewaktu kami minum beramai ramai di restoran selepas majlis perkahwinan anak Datin Nik Junainah di Melaka. 

Sejak itu, saya memang mencari peluang untuk mencubanya. Maklumlah bukan senang nak mencari pucuk paku yang elok. Kebanyakan pucuk paku dah tua. Selain itu, saya jarang membeli kerang. Jadi bila dua bahan utama ini tiada di rumah, menyebabkan saya asyik menangguh hasrat untuk mencubanya.

Rendang Pucuk Paku Dengan Kerang

Selepas saya membeli kerang untuk dimasak Kerang Goreng dengan Kacang Panjang di SINI, dan ada pula isi kerang yang lebih, saya terus meminta Hubby mencari pucuk paku di kedai runcit. Pucuk paku tidak perlu direbus, setelah dibasuh dan tos, tuangkan terus ke dalam kuali dan masak sehingga kering.

Rendang Pucuk Paku Dengan Kerang

Harga kerang bolehlah tahan mahalnya. Sekilo berharga RM13. Saya beli 2 kilo kerang dan menghasilkan sebekas isi kerang seperti dalam gambar di bawah. 

Rendang Pucuk Paku Dengan Kerang

Cara saya merebus kerang adalah dengan hanya memasukkan kerang yang telah dibersihkan ke dalam kuali tanpa air. Tutup kuali dan biarkan beberapa minit. Buka penutup dan kacau sehingga kerang kelihatan terbuka. 

Tutup api dan terus dimasukkan air ais ke dalam kuali bagi menghentikan kerang dari terus masak dan isi kerang juga akan menjadi lebih cantik. Tidak kecut.  

Rendang Pucuk Paku Dengan Kerang

Memang sedap rendang kerang ini. Resepi tradisional Nogori yang sangat serasi gandingan antara pucuk paku dan kerang yang membangkitkan rasa manis kerang. Rasanya juga sangat unik. Sebelum ini saya menyediakan Rendang Pucuk Ubi pun sangat sedap. Boleh tengok resepi di SINI. Masakan tradisional berasaskan ulam dan sayur sayuran ini memang sedap.

Jom layan resepi di bawah ini dan juga video penyediaannya di Azie Kitchen youtube channel di SINI.

Rendang Pucuk Paku Dengan Kerang

Rendang Pucuk Paku dengan Kerang

Bahan bahan: 
2 ikat pucuk paku - cuci dan toskan 
1 mangkuk isi kerang - lagi banyak lagi sedap
1 sudu besar cili kering kisar - opsyenal
1 biji kelapa - santan
3 batang serai - ketuk 
2 sudu besar kerisik 
2 helai daun kunyit - hiris halus 
1 sudu besar garam  

Bahan kisar: 
20 tangkai cili api 
6 ulas bawang merah 
1 inci kunyit hidup 
1 inci halia 
1/2 inci lengkuas - opsyenal

Cara-cara:
Satukan bahan kisar dengan santan dan serai ke dalam kuali. Masak hingga kuah pekat

Rendang Pucuk Paku Dengan Kerang

Rendang Pucuk Paku Dengan Kerang

Setelah kuah pekat, masukkan pucuk paku dan kacau rata. 


Rendang Pucuk Paku Dengan Kerang

Bila terbit minyak, masukkan kerisik dan sedikit garam terlebih dahulu kerana bila rendang kering, akan lebih terasa masinnya.  


Rendang Pucuk Paku Dengan Kerang

Setelah kuah hampir kering, baru dimasukkan isi kerang dan kacau rata. Saya memasukkan kerang di akhir kerana tidak mahu kerang menjadi terlalu kecut kerana kerang pun telah direbus.  

Rendang Pucuk Paku Dengan Kerang

Kemudian dimasukkan daun kunyit. Kacau lagi sehingga kering kerana lagi kering, lagi tahan lama. Atau biarkan berkuah sedikit, ikut yang mana disukai. Perlu sentiasa dikacau dengan menggunakan api perlahan supaya tidak hangus dan kering sekata.  


Rendang Pucuk Paku Dengan Kerang

Setelah kering, sesuaikan rasa garamnya. Bolehlah ditutup api dan sedia untuk dihidangkan dengan nasi putih.

Rendang Pucuk Paku Dengan Kerang

Nota:
Rendang saya hari ini, tidak kering sangat kerana saya suka makan rendang yang sedikit basah. 


Catat Ulasan for "Rendang Pucuk Paku Dengan Kerang"