Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Sambal Ikan Bilis Petai Kikis

Sambal Ikan Bilis Petai Kikis

Saya beli petai semasa dalam perjalanan ke kebun durian Dato Sani di Lenggeng. Boleh klik di SINI. Semasa singgah di gerai yang menjual petai di tepi jalan, saya tidak turun dari kereta. Tanya harga dan terus minta 2 ikat. Sebaik saya mengambilnya, saya dapati isi petainya kempis dan tidak banyak dan tidak padan dengan harga. 

Saya kesian dan tidak tergamak untuk membatalkannya kerana anak penjual telah menghulurkan petai pada saya di dalam kereta. Tapi dalam hati merasa geram juga kerana dah lah harga mahal, petainya tak banyak isi. Ingatkan bila beli di kawasan kebun, harga lebih murah. Cuba memujuk hati, tak apalah dah ini rezekinya.

Sebelah malamnya, saya ke pasar malam di KD dan saya singgah menanyakan harga petai yang isinya memang besar dan padat. Adui lagi frust bila tahu harga nya sama dengan yang saya beli di Lenggeng. Entahlah saya memang tidak boleh berniaga kerana tidak sampai hati untuk menjual mahal mahal atau mengambil duit jika ianya dirasakan terlalu mahal.

Alang alang dah ada petai di rumah, saya terus memikirkan resepi yang sesuai dengan petai yang tidak banyak isi ini. Tiba tiba teringat resepi sambal petai kikis dengan ikan bilis yang dikongsikan oleh Shiela Rusly di Instagram beliau. 

Kenapa agaknya orang dulu dulu mengikis dan digoreng sekali dengan kulit. Ada khasiat pada kulit petai yang rasanya pahit atau sebab tidak mahu ada pembaziran atau sebab isi petai yang kecil.   

Sambal Ikan Bilis Petai Kikis

Tapi disebabkan adanya kulit petai itulah yang membuat resepi ini lebih unik. Cuma part nak mengikis kulit petai tu yang agak bercinta. Penatlah juga jari jemari ni. Kalau tak nak ada rasa pahit langsung, kikislah rata kulit hijau tu. 

Saya tidak kikis rata pun, masih ada hijau sikit-sikit dicelah mata petai sebab susah nak kikis. Kalau kikis rata memang langsung tak ada rasa pahit bila dimasak nanti. Lepas kikis kulit hijau petai, basuh petai tersebut kemudian dihiris dua termasuk kulit nya sekali. 

Saya memang peminat petai terutama petai yang direbus. Saya makan sebagai ulam. Cuma saya akan makan petai pada waktu cuti panjang kerana tidak mahu mulut berbau petai. Saya pernah makan petai di rumah Dato Zack di mana petainya tidak berbau selepas makan. Menurut Dato Zack, petai tersebut perlu digoreng, tidak direbus, barulah tidak berbau selepas memakannya. 

Saya makan menambah nambah tapi anak anak tak berapa suka. Juita yang suka makan petai pun tak suka makan. Tak suka, sebab ada kulit, katanya. Hmm terpaksalah saya makan meratah ratah sendiri.  

Petua yang saya dapat dari internet, untuk menghilangkan bau mulut selepas makan petai ialah dengan mengunyah timun mentah seperti dimakan ulam.  Petua kedua pula ialah mengunyah beras yang belum dicuci sehingga hancur di dalam mulut. Kemudian diluahkan keluar, jangan ditelan pula. Cara ini dikatakan lebih berkesan untuk menghilangkan bau mulut. 

Jom layan resepi di bawah ini. Juga jangan lupa video penyediaannya di Azie Kitchen youtube channel di SINISelamat mencuba...


Sambal Ikan Bilis Petai Kikis

Sambal Ikan Bilis Petai Kikis

Bahan bahan:
1 mangkuk ikan bilis - goreng garing
5 papan petai
1 sudu besar cili kering kisar
Garam 

Bahan kisar
5 ulas bawang merah
10 tangkai cili padi
Belacan - opsyenal

Cara cara;
Petai dikikis bahagian kulit hijau dan dibelah dua. Kikis rata jika tidak mahu ia rasa pahit.

Sambal Ikan Bilis Petai Kikis

Sambal Ikan Bilis Petai Kikis

Panaskan minyak dan goreng petai hingga garing. Angkat dan tos. 

Sambal Ikan Bilis Petai Kikis

Sambal Ikan Bilis Petai Kikis

Goreng pula ikan bilis sehingga garing. Angkat dan tos. Nota: ikan bilis hanya dibasuh manja sejurus sebelum digoreng untuk cepatkan ianya garing. 

Dengan menggunakan minyak yang sama, tumis pula bahan kisar sehingga wangi dan masukkan cili kisar. Tumis lagi hingga cili kisar masak dan garing dengan api perlahan. 

Sambal Ikan Bilis Petai Kikis

Masukkan sedikit garam. Tutup api dan biarkan sambal sejuk. 

Setelah sejuk, baru dimasukkan ikan bilis dan petai yang telah digoreng tadi. Kacau rata. Sedia untuk dihidangkan. 

Sambal Ikan Bilis Petai Kikis

Sambal Ikan Bilis Petai Kikis

Nota;
Kalau ada minyak berlebihan, saya ceduk keluar sebelum dimasukkan petai dan ikan bilis. 



1 ulasan for "Sambal Ikan Bilis Petai Kikis"