Rabu, 13 November 2019

Gulai Ayam Kelantan

Gulai Ayam Kelantan

Kini setiap hari saya bertemu dengan cucunda saya Ammar Yahya bila setiap hari Nana menghantar dia ke rumah sebelum ke tempat kerja beliau di PPMUM. Kami kemudiannya akan membawa Ammar ke tempat saya bekerja. Selepas bersarapan, Hubby akan menghantar dia ke sekolah. Saat bersama Ammar setiap pagi adalah saat yang saat yang sangat membahagiakan saya. 

Terasa sangat cepat masa berlalu. Masih seperti baru lagi Ammar dilahirkan. Sebelum ini dia masih merangkak, kemudian bertatih, kini telah berjalan jalan di Medan Kupang mengikut Tok Papa memesan minuman.

Kami berpeluang melihat perkembangan dia setiap hari selama 6 bulan sebelum mereka berpindah ke rumah sendiri. Kini Ammar telah pun besar dan sangat cerdik. Telah mula pandai berkawan dengan rakan rakan di sekolah. 

Saya faham setiap anak anak pasti ingin berdikari dan memulakan kehidupan sendiri selepas berkahwin. Tapi saat Ammar pindah dari rumah ini adalah saat yang sangat menyedih dan menyakitkan hati saya. Hanya Tuhan sahaja yang tahu bahawa saya sedang menahan kesakitan merindui detik detik ketika Ammar tinggal bersama kami. Saya seperti merajuk dan terasa seperti ingin pergi jauh jauh. Sebulan kemudian, kami pergi ke UK dan beberapa negara Eropah untuk berehat dan menenangkan fikiran.

Tapi kita tidak tahu perancangan Allah buat kita, bila akhirnya berpeluang untuk bersama Ammar setiap pagi sebelum beliau ke sekolah. Sebetulnya kita perlu menghargai setiap detik yang ada kerana apa yang ada pada hari ini, mungkin tidak akan datang lagi buat selamanya. OK sekarang kita masuk bab resepi dan masakan pula.

Gulai ayam lauk nasi berlauk Kelantan sangat sedap di tekak saya walaupun hanya sekadar kari biasa. Kalau di Kelantan, kari ayam dipanggil gulai ayam. Nak lagi sedap, cuba bungkus nasi, bungkus gulai ayam dan sambal. Masukkan dalam kertas pembungkusas kesemunya. Lagi sedap dan berbau seolah nasi berlauk di Kelantan. 

Kalau mahu gulai ayam ini terasa seperti gulai di Kelantan, bahan utama mestilah rempah gulai ayam Kelantan. Jangan guna lain lain rempah kari. Kalau dah tak ada sangat, bolehlah guna rempah kari Adabi. Saya menggunakan rempah gulai ayam dari Kelantan yang dibuat oleh Cik Jah tukang masak tersohor di Bachok.  

Gulai Ayam Kelantan

Untuk memastikan ayam cantik, tidak hancur saya hanya memasukkan ayam ke dalam kuah yang telah mendidih. Ayam kan tidak lama pun untuk masak. Untuk menjadikan ayam sedikit berperisa, saya lumurkan ayam dengan garam dan serbuk kunyit. 

Kalau gulai ayam nasi berlauk Kelantan tidak lengkap jika tiada telur rebus dan lada solok. Lada solok atau cili hijau ini akan memberi rasa yang sangat unik pada kuah gulai.  

Jom layan resepi di bawah ini dan video penyediaannya di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba....


Gulai Ayam Kelantan

Gulai Ayam Nasi Berlauk Kelantan

Bahan bahan:
½ ekor ayam
½ sudu besar rempah gulai ayam
250 gram santan pekat segar
750 ml air
Kayu manis, bunga lawang, buah pelaga
1 sudu besar kerisik
2 keping asam keping
1 sudu kecil gula
Garam kasar
3 tangkai cili hijau solok
2 biji telur rebus

Bahan hiris:
3 biji bawang merah - hiris
3 ulas bawang putih - hiris
1 inci halia - hiris

Cara cara:
Ayam dibasuh bersih dan ditos. Lumurkan garam dan serbuk kunyit dan ketepikan. Biarkan ayam dengan sedikit kulit.

Gulai Ayam Kelantan

Panaskan minyak dan tumis kayu manis, bunga lawang dan buah pelaga. Masukkan bawang merah, bawah putih dan halia. Kacau sehingga naik bau. 

Masukkan rempah gulai ayam dan kacau rata rata dengan cepat sehingga naik bau. Masukkan sedikit air dan kacau sehingga terbit minyak. 

Gulai Ayam Kelantan

Masukkan santan dan air secukupnya. Kacau sehingga mendidih. Masukkan ayam dan asam keping. 

Gulai Ayam Kelantan

Setelah kuah mendidih sekali lagi, masukkan gula, sedikit garam dan kerisik. Kacau sehingga kuah terbit minyak cantik. 

Gulai Ayam Kelantan

Akhir sekali, masukkan cili hijau dan telur rebus. Kacau rata dan bolehlah ditutup api. 

Gulai Ayam Kelantan

Gulai Ayam Kelantan


4 ulasan:

  1. Dalam peti sejuk saya, ada rempah gulai kawah Kelantan, boleh ke kalau sy gantikan dengan rempah gulai ayam tu, Nampak sedap bebeno

    BalasPadam
    Balasan
    1. Bolehlah juga. Biasanya gulai kawah utk kambing atau daging.

      Padam
  2. sedapnya pn azie. terima kasih sebab selalu share resepi. sy selalu guna resepi dari belum kahwin sampailah skrg. terima kasih atas ilmunya pn azie

    BalasPadam
  3. Awah che joh pilihan kami...x de yg rasa sepertinya...terbaik.terima kasih kak dgn prkongsian resipi.

    BalasPadam

Add your comment
EmoticonEmoticon