Selasa, 22 Oktober 2019

Kacang Tanah Goreng Dengan Bawang Putih

Kacang Tanah Goreng Dengan Bawang Putih

Kacang goreng ini memang kegemaran saya. Saya memang suka meratah bawang putih yang digoreng garing. Dulu ketika saya menpunyai Sri Handayani, pembantu rumah yang bekerja dengan kami selama 18 tahun di USJ, dia selalu menyediakan kacang ini. Dan saya tidak pernah sekali pun melihat bagaimana dia menyediakannya kerana dia selalu memasak ketika saya di pejabat.

Sehingga kini saya masih teringat dengan Sri tapi terputus hubungan terus nampaknya. Maklumlah dia lama bekerja dengan kami. Dari umur anak saya Boy 2 tahun sehingga lah Disember 2010. Kalau ada yang mengetahui di mana dia sekarang, harap bolehlah hubungi saya. 

Sekadar untuk bersilaturrahim dengan orang yang pernah hidup bersama kami sahaja. Dia orang Jawa dan asal dari Surabaya. Anak anak saya pernah terserempak dengan beliau di kawasan USJ dulu. 

Rasanya dia berhenti kerana tidak mahu ikut kami berpindah ke rumah sekarang. Mungkin kerana dia dah ramai kawan di sana dan dia suka bersolat di surau berdekatan rumah kami yang lama. Tapi saya sebenarnya tidak kisah pun jika dia mahu berhenti tapi tak perlu lah menukar nombor telefon sehingga terus tidak dapat dihubungi sebaik meninggalkan rumah kami.  Saya selalu tersasul memanggil nama Sri pada Ros, pengasuh Ammar.

Kacang Tanah Goreng Dengan Bawang Putih

Kacang ini sangat sedap. Lebih lebih lagi saya suka meratah bawang putih yang digoreng garing. Hubby pun sama, sambil menonton televisyen, sambil mengunyah kacang ini. Lagi sedap bila dikunyah sekali dengan daun limau purut garing dalamnya. 

Jom layan resepi yang saya guna di bawah ini dan jangan lupa video penyediaannya di Azie Kitchen youtube channel di SINI. Selamat mencuba..



Kacang Tanah Goreng Dengan Bawang Putih

Kacang Tanah Goreng Dengan Bawang Putih

Bahan rebusan:
500 gram kacang tanah - tanpa kulit
2-3 helai daun limau purut - hiris
4 ulas bawang putih - ketuk
1/2 kotak santan kotak + sedikit air
Sedikit garam

Bahan goreng:
5 ulas bawang putih - hiris nipis
garam

Masak santan dengan bahan di atas sehingga mendidih. Masukkan kacang tanah dan rebus sehingga santan kering dan kacang lembut. Angkat dan tos. 

Kacang Tanah Goreng Dengan Bawang Putih

Kacang Tanah Goreng Dengan Bawang Putih

Panaskan minyak dan goreng bawang putih hiris sehingga garing dan sedikit kekuningan. Terus angkat supaya tidak terlalu keperangan kerana proses memasak akan terus berlaku selepas bawang diangkat dari kuali. 

Goreng pula kacang tanah sehingga tenggelam. Masukkan daun limau purut yang dihiris. Goreng sehingga garing dan keperangan sahaja. Jangan terlebih garing kerana kacang akan terus masak selepas diangkat dari dapur. 

Kacang Tanah Goreng Dengan Bawang Putih

Angkat dan masukkan ke dalam penapis supaya minyaknya jatuh. Hentak hentakkan dengan senduk bagi memastikan minyak jatuh. 

Kacang Tanah Goreng Dengan Bawang Putih

Tuang kacang atas kertas untuk sejat minyak sambil di kacau. 

Masukkan bawang putih goreng dan kacau rata. Jika suka, boleh tabur sedikit garam. Simpan dalam bekas kedap udara.


Add your comment
EmoticonEmoticon