Sabtu, 28 September 2019

Kek Gula Hangus Menggunakan Periuk Noxxa

Kek Gula Hangus Menggunakan Periuk Noxxa

Kek gula hangus atau dikenali juga sebagai kek sarang semut adalah antara kek yang biasa saya sediakan sejak di zaman persekolahan lagi. Zaman dulu, saya bakar kek dalam periuk. Di atas tudung periuk, saya akan letak sabut kelapa yang dibakar. Di bawahnya juga bara bara kayu.  

Rumah saya ketika itu, memasak menggunakan dapur kayu. Sehinggalah kami berpindah, bila arwah Bonda telah nenukar dapur memasak menggunakan gas. Membakar kek selepas itu, menggunakan oven letrik yang bulat. Ketika itu, saya dah pun masuk universiti. Adalah duit biasiswa sikit sikit untuk beli itu dan ini,

Masih ingat lagi ketika saya mendaftar di universiti, lepas musim raya. Jadi banyaklah kakak membekalkan saya dengan kuih muih dan biskut raya untuk dibawa ke kolej. Antaranya ialah kuih gula hangus ini lah. Jadi kek ini sangat dekat di hati saya dan antara kek kegemaran sejak zaman persekolahan.

Kek Gula Hangus Menggunakan Periuk Noxxa

Resepi ini tidak perlukan kita perap adunan seperti resepi yang saya gunakan sebelum ini di SINI. Resepi yang sangat mudah dan ringkas. Daaan yang paling penting, ianya sangat sedap. Tidak terlalu manis, secukup sahaja rasanya. Makan banyak pun tidak terasa muak.

Jom layan resepi yang saya gunakan di bawah ini. Resepi ini telah digandakan kepada dua adunan. Kalau mahukan kek yang lebih kecil, hanya guna separuh dari adunan sahaja. 

Kek Gula Hangus Menggunakan Periuk Noxxa

Kek Gula Hangus

Bahan A:
2 cawan gula
2 cawan air panas
6 sudu besar marjerin

Bahan B:
2 cawan tepung gandum - ayak
4 sudu kecil soda bikarbonat - ayak
8 biji telur A
2 sudu kecil esen vanilla
1 cawan susu pekat manis

Cara cara:
Panaskan gula dengan api perlahan hingga menjadi cair dan keperangan. Setelah cair, masukkan air panas perlahan-lahan kerana ia akan merecik. Kacau sehingga gula hancur, baru dimasukkan marjerin. Kacau rata sehingga majerin hancur. Ketepikan. Sementara itu, sediakan pula bahan B. 

Kek Gula Hangus Menggunakan Periuk Noxxa

Blender telur sehingga kembang selama 1 minit. Masukkan susu pekat dan esen vanilla dan kacau mengguna senduk atau whisk sehingga sebati.. 

Masukkan tepung gandum yang telah diayak bersama soda bikarbanat tadi. Kacau seketika dengan whisk hingga sebati sahaja. 

Akhir sekali, masukkan gula hangus yang masih panas tadi dan kacau sebati. Kacau sekejap sahaja. 

Lenser periuk Noxxa dengan majerin. Tapis adunan ke dalam periuk noxxa. 

Set setting pada steam selama 50 minit dan pastikan tombol menghala ke steam. Abaikan jika keluar bunyi, mode steam memang berbunyi sampai habis masa. 

Selepas habis bunyi beep, tekan off dan biarkan 5 minit. Selepas 5 minit, buka tudung keluarkan inner noxxa. 

Sejukkan sekejap dan bila rasa dah boleh pegang inner, boleh keluarkan dengan hati-hati. 

Kek Gula Hangus Menggunakan Periuk Noxxa

Letakkan kek di atas pinggan. Setelah sejuk, bolehlah dipotong dan hidangkan. 


Kek Gula Hangus Menggunakan Periuk Noxxa

Nota:
Untuk mendapatkan kek yang berlubang, potong kek di tengah, kemudian tengok arah garisan kek. Potong kek melintangi garisan.


Add your comment
EmoticonEmoticon