Khamis, 8 Ogos 2019

Rendang Pedas Perak versi Bonda Mertua

Rendang Pedas Perak versi Bonda Mertua

Beberapa hari lagi umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidil Adha, atau dikenali juga sebagai hari raya Korban. Ibadah korban adalah ibadah yang hanya boleh dibuat ketika kita masih hidup. Bukan seperti ibadah Haji yang masih boleh dibuat oleh orang lain selepas seseorang meninggal. Jadi sangatlah patut kita melakukan ibadah korban. 

Buat persediaan awal dengan menabung bagi tujuan ini. Satu bahagian lembu antara RM250 hingga RM600 sahaja. Pastinya tiada alasan untuk kita tidak mengerjakannya. Saya melihat arwah ibubapa saya setiap tahun melakukan ibadah ini secara bergilir antara mereka. Maklumlah ketika itu, mereka bukan orang senang. Anak anak masih belajar. Arwah Bonda pun seingat saya sejak 5-7 tahun kebelakangan tidak pernah tinggal ibadah ini. Setiap tahun, kakak saya akan mencari lembu dan dibela bagi betul betul gemuk dan sedia untuk dikorbankan. Kebiasaannya adik beradik dan anak anak buah akan mengambil bahagian. 

Walaupun raya Aidil Adha, kita masih masak lauk pauk sikit sikit untuk hidangan keluarga kan. Jadi hari ini saya ingin kongsikan resepi Rendang Ayam Pedas versi Bonda Mertua. Resepi ini saya belajar dari Kakak Ipar yang juga orang Perak. Maklum masa Bonda Mertua memasak dulu, saya tidak lah mencatat sukatan bahan. 

Rendang Pedas Perak versi Bonda Mertua

Orang zaman dulu bila memasak, main campak campak sahaja. Cuma apa yang saya ingat ialah Bonda Mertua akan menghiris semua bahan bahan kecuali lengkuas dan kunyit hidup. Bawang bawang, halia, serai semua dihiris nipis. Kelapa parut digoreng sehingga sedikit keperangan dan dimasukkan ke dalam rendang sebagai menggantikan kerisik yang biasa digunakan dalam rendang. 

Kali pertama Kak Ngah memasak rendang ini di rumah saya, saya makan menambah nambah. Rasa sangat sedap dan secukup jer pedasnya. Nama pun rendang pedas jadi kalau ada rasa pedas, barulah sedap. Jadi saya minta Kak Ngah menyediakan sekali lagi rendang dengan kali ini, saya melihat penyediaanya dari awal hingga akhir. Beginilah cara belajar yang sebenarnya. Dengan sama sama terlibat dalam penyediaan bahan dan memasak. Kalau sekadar menengok dari jauh, memang tak menjadi.

Jom layan resepi yang saya guna hari ini. Jangan lupa video penyediaannya di SINI



Rendang Pedas Perak versi Bonda Mertua

Rendang Ayam Pedas Bonda Mertua

Bahan bahan:
2 ekor ayam - potong kecil
1 kg santan
½ biji kelapa parut - digoreng keperangan (jika suka boleh dikisar sekali dengan bahan kisar)
3 keping asam keping
2 helai daun kunyit - hiris
1 sudu besar garam

Bahan kisar:
4 inci halia - 50 gram
3 inci kunyit hidup - 20 gram
7 biji bawang besar - 380 gram
10 biji bawang merah - 100 gram
8 batang serai
6 sudu besar penuh cili - 250 gram (boleh kurangkan, jika tak mahu pedas

Cara cara:
Masukkan semua sekali ke dalam kuali dan masak sehingga rendang kering yang disukai. Masukkan asam keping, gula dan garam.

Rendang Pedas Perak versi Bonda Mertua

Rendang Pedas Perak versi Bonda Mertua

Rendang Pedas Perak versi Bonda Mertua

Masaklah mengikut kering yang disukai. Jika suka berkuah, jangan terlalu dikeringkan. Jika suka kering, masak sehingga kering. 

Rendang di bawah ini belum betul betul dikeringkan. Sebelum dihidangkan, saya akan panaskan dan keringkan sedikit lagi. Share gambar dalam kuali dulu, nanti kalau dah dikeringkan, saya akan update gambarnya.

Rendang Pedas Perak versi Bonda Mertua

Nota:
Jika ayam dikeluarkan dari peti ais, dimasak ayam terlebih dahulu sehingga air ayam kering sebelum dimasukkan bahan lain. Separuh dari bawang merah, boleh dihiris jika suka.

Rendang ini tidak menggunakan bawang putih dan gula. Tapi jika suka, boleh masukkan sahaja. 


1 ulasan:

  1. wah...orang Johor nak cubalah resepi ni utk Raya Qurban. Nanti saya feedback, ok

    BalasPadam

Add your comment
EmoticonEmoticon