Selasa, 4 Jun 2019

Rendang Pedas Ayam Azie Kitchen

Rendang Pedas Ayam Azie Kitchen

Setelah sebulan berpuasa di dalam bulan Ramadhan, akhirnya esok kita akan menyambut Hari Raya Aidil Fitri. Mudah mudahan amalan kita sepanjang bulan Ramadhan di terima dan kita akan mendapat pengampunan dari dosa dan dibebaskan dari api neraka. 

Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir Batin andai ada penulisan saya yang menyinggung hati samada secara langsung atau tidak langsung. Terima kasih atas sokongan anda semua selama ini. Taqabbalallaahu Minna Wa Minkun. Semoga Allah menerima amalan saya dan amalan anda sekalian. Aameen.

Kali ini saya ingin kongsikan resepi Rendang Bonda Mertua yang telah saya ubahsuai. Saya menggunakan bahan bahan seperti diguna Bonda Mertua. Cuma saya buat sedikit penambahbaikan. Pertama ayam digoreng terlebih dahulu supaya isi lebih pejal tidak mudah hancur. 

Kedua rendang ini jika menggunakan santan segar, tak perlu memasukkan asam keping atau gula. Manis dari santan segar. Hanya guna garam semata. Ketiga, saya masakkan dulu bahan bahan rencah dengan santan sehingga sedikit pekat, sebelum dimasukkan ayam. Jadi tidak lah ayam terlalu lama berendam dalam kuah.

Rendang Pedas Ayam Azie Kitchen

Hasilnya ayam tidak lah hancur. Biasalah kalau hancur sikit sikit sebab rendang kena selalu dikacau supaya tidak hangit. Bagi mengelakkan ayam hancur, ayam boleh diceduk keluar. Keringkan kuah dan kemudian tuangkan kuah ke atas ayam. Jadi ayam lebih cantik. Itu yang saya baca tips yang dikongsi oleh pelakun Zarina Zainuddin yang berjualan pulut kuning dengan rendang ayam dan pelbagai rendang. 

Boleh klik di SINI untuk entri rendang ayam versi bonda mertua yang saya pelajari dari arwah Bonda Mertua. Bila dimasukkan kelapa goreng, kuah rendang agak kering dan tidak lah terlalu berminyak. Jika suka, dimasak lagi lama lama dengan api kecil sehingga kering dan berserdak. Semua ikut suka dan selera masing masing. Jika suka berkuah, biarkan lah berkuah. 

Jom layan resepi yang saya gunakan hari ini untuk 3 ekor ayam. Video penyediaannya di Azie Kitchen youtube channel di SINI. Selamat mencuba...

Rendang Pedas Ayam Azie Kitchen

Rendang Pedas Ayam Azie Kitchen

Bahan-bahan:
3 ekor ayam - setiap satu dipotong 14
2 1/2 kg santan segar
1/2 biji kelapa parut 
1 keping asam keping - opsyenal
2 sudu besar garam kasar 
1 sudu besar gula pasir - opsyenal

Bahan kisar:
11 sudu besar cili kering kisar
3 inci lengkuas
3 inci kunyit hidup - jika suka

Bahan hiris:
12 batang serai 
3 inci halia 
25 biji bawang merah 
15 ulas bawang putih
2 helai daun kunyit

Cara cara:
Ayam dibasuh dan tos. Lumur garam dan serbuk kunyit. Panaskan minyak dan goreng seketika sahaja. Angkat dan tos. 

Rendang Pedas Ayam Azie Kitchen

Rendang Pedas Ayam Azie Kitchen

Rendang Pedas Ayam Azie Kitchen

Masukkan bahan hiris dan bahan kisar ke dalam kuali. Kacau rata. Tuangkan santan dan masak dengan api sederhana sehingga kuah sedikit pekat.  Api jangan besar, lagi baik kalau guna api kecil. 

Rendang Pedas Ayam Azie Kitchen

Masukkan garam supaya ianya mesra. Masukkan ayam yang telah digoreng. 

Rendang Pedas Ayam Azie Kitchen

Kacau sekali sekala supaya ianya tidak hangus dan melekat di bahagian bawah kuali. Tapi kena berhati hati supaya isi ayam tidak hancur. Nota: teknik mengacau sangat penting. Jangan kacau bahagian ayam, cuma dikacau di bahagian bawah kuali sahaja. 

Sementara itu, goreng kelapa parut sehingga keperangan dan tumbuk atau kisar kasar kasar sahaja. 

Setelah kuah hampir kering dan terbit minyak, masukkan kelapa goreng,  gula dan asam keping. 

Setelah kuahnya kering, tabur hirisan daun kunyit dan bolehlah ditutup api. Lagi lama atas dapur, rendang akan menjadi lebih kering, tidak kelihatan basah dan lebih sedap.  

Rendang Pedas Ayam Azie Kitchen

Nota:
Boleh tambah cili kisar mengikut kepedasan yang diingini ketika rendang sedang dimasak di atas dapur. 

Jika mahu lebih sedap, biarkan rendang lama lama di atas dapur dengan api kecil sehingga rendang tidak lagi kelihatan basah. Minyak akan kering dan menyerap semula pada ayam.


2 ulasan:

  1. Selamat Hari Raya, Kak Azie!

    BalasPadam
  2. Selamat Hari Raya kak. Lama jadi silent reader. Tq sharing resipi yg best dan menjadi. Semoga mendapat pahala berkongsi ilmu yg bermanfaat.

    BalasPadam

Add your comment
EmoticonEmoticon