Sabtu, 22 Jun 2019

Rendang Cili Padi Ayam

Rendang Cili Padi Ayam

Hari ini Insya Allah kami mendapat 1 jemputan untuk ke majlis akikah dan 4 majlis rumah terbuka. Majlis akikah cucunda saudara saya. Esok pula, langsung tak ada jemputan. Hmm nampak gaya kena memasak sendiri. Rasa macam nak masak nasi lemak lah. Nasi lemak ni versatile untuk saya. Boleh makan pagi, makan tengahari dan malam pun boleh jalan juga. 

Sebetulnya ramai yang bertanya jika saya membuat rumah terbuka. Tapi saya memang malas sikit kerana kadang kadang banyak sangat pertembungan. Tapi bagi siapa yang ingin mengadakan majlis rumah terbuka, silakan. Tidak ada salahnya. Cuma niatkan iamya sebagai ibadah. Niat untuk menjamu orang makan, niat untuk mengeratkan silaturrahim. 

Di samping itu, elakkan program maksiat dan elakkan pembaziran. Barulah majlis kita mendapat barakah dan mendapat pahala ibadah. Hahaha sekadar copy paste apa yang ustaz ajar masa tazkirah Ramadhan baru baru ini. Siapa siapa nak copy paste dan share peringatan ini juga, dipersilakan dan dialu alukan. Saya sangat gembira jika apa yang saya kongsi dapat memberi manafaat pada siapa yang membacanya. 

Rendang Cili Padi Ayam

Saya menyediakan rendang cili padi ini di hari raya kedua untuk mempelbagaikan rendang untuk dimakan dengan lemang yang ditempah. Untuk hidangan hari raya pertama, saya menyediakan rendang pedas ayam di SINI. Oleh kerana masih ada lemang, jadi saya memasak lagi rendang ayam cili padi pula.

Entah kenapa saya sangat menggemari masakan Nogori yang berasaskan cili padi. Hahaha agak nya sebab rasa mudah menggunakan cili api berbanding dengan hendak menyediakan cili kisar.  

Jom layan resepi yang saya gunakan hari ini. Untuk rendang ini, lagi pedas lagi sedap. Jadi bolehlah dilebihkan cili padi. Saya tidak letak banyak kerana ada anak saya yang tidak tahan makan masakan pedas. Klik video penyediaannya di SINI. 

Rendang Cili Padi Ayam

Rendang Cili Padi 
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
1 ekor ayam
1/2 kilo santan
2 - 4 batang serai - ketuk
2 sudu besar cili kering kisar - opsyenal untuk cantikkan warna supaya kemerahan
1 keping asam keping
4 keping daun limau purut - opsyenal
Daun kunyit - hiris halus
1 sudu besar kerisik
Garam
Sedikit serbuk kunyit 
Minyak untuk menumis

Bahan kisar:
10 ulas bawang merah
5 ulas bawang putih
1 inci kunyit hidup
1 inci halia
15-20 tangkai cili padi kampung -  boleh tambah
4 hirisan nipis lengkuas

Cara cara:
Ayam dilumur garam dan serbuk kunyit. Panaskan minyak dan goreng ayam seketika sekadar untuk menghilangkan hanyir ayam dan menjadikan ayam tidak mudah hancur. Angkat dan ketepikan. 


Rendang Cili Padi Ayam

Rendang Cili Padi Ayam

Panaskan minyak dalam kuali yang lain dan tumis bahan kisar, serai dan cili kisar hingga air agak kering sedikit. 

Rendang Cili Padi Ayam

Rendang Cili Padi Ayam

Masukkan santan dan masak sehingga mendidih. Setelah mendidih, ayam, masukkan asam keping, gula dan garam. 

Rendang Cili Padi Ayam

Bila hampir terbit minyak, masukkan kerisik. Jika masuk daun limau purut, boleh masukkan ketika ini. 

Masak sehingga rendang kering dan terbit minyak.  Tabur daun kunyit yang dihiris halus. Bolehlah ditutup api. Sedia untuk dinikmati.

Rendang Cili Padi Ayam

1 ulasan:

  1. rendang ayam cili api memang best... tq sharing menu...

    BalasPadam

Add your comment
EmoticonEmoticon