Rabu, 29 Mei 2019

Sambal Ikan Bilis Kering Sedap

Sambal Ikan Bilis Kering

Sebelum masuk bab resepi sambal ikan bilis kering ini, saya ingin kongsikan petikan dari Kuliah Subuh Surau Ad Dhuha oleh Al Fadhil Ustaz Zhafri Amali bin Amaladdin di mana satu hari Nabi Muhammad SAW cerita pada sahabat baginda akan siapa yang paling lambat keluar dari neraka dan paling lambat dimasukkan ke syurga. Mudah mudahan kita terdiri dari orang orang yang awal masuk syurga. Aameen. 

Dikatakan orang berkenaan bila keluar dari api neraka, dia berjumpa dengan Allah. Allah kata carilah tempat kamu di syurga. Dia memberitahu Allah bahawa tempat semua dah penuh. Lalu Allah suruh dia berangan angan di mana dia berangan untuk memiliki satu mahligai dari satu raja dari segala raja raja di dunia. 

Maka Allah berikan mahligai tersebut diganda dengan 10. Maka bila hamba Allah itu mengatakan telah cukup, maka Allah gandakan lagi 10 kali. Dengan keagungan Allah, Allah boleh beri yang berkali kali ganda. Begitulah kehebatannya. Itu baru mahligai orang yang paling akhir masuk syurga, belum lagi dikira mahligai tempat sahabat sahabat Nabi.

Nabi bermimpi, aku diperlihat tempat mahligai Saidina Umar di syurga dibuat dari emas dan ada bau bauan dari kasturi. Aku masuk untuk tujuan ambil wudhu dalam tempat dimiliki Saidina Umar. Dari Anas bin Malik radhiallahu ‘anhu, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Aku memasuki surga. Di dalamnya terdapat istana emas. Aku bertanya, ‘Milik siapa istana ini?’ Mereka menjawab, ‘Milik seorang pemuda Quraisy’. Aku sangka itu milikku. Kutanyakan lagi, ‘Siapa laki-laki Quraisy itu?’ Mereka jawab, ‘Umar bin al-Khattab’.” 

Orang paling akhir dibentangkan pada dirinya amalannya dari sekecil kecil dan disembunyikan dosa besar. Orang buat dosa atas dunia dan tak bertaubat. Dia tak mampu menafikan dosa yang telah dibuat di hadapan Allah dan akan rasa sangat takut kalau Allah bentang dosa besar mereka. 

Jadi jangan rasa puas untuk buat amal soleh. Jangan pernah rasa bosan untuk buat baik. Jangan rasa ilmu kita dah cukup. Selagi hayat dikandung badan, kita buat. Bayangkan orang yang dah tak boleh solat macam biasa. Tak boleh sujud atas sebab sebab tertentu. Tanya mereka apa yang dia paling rindu. Pastinya mereka merindui untuk letak dahi aku ke atas muka bumi untuk sujud pada Allah. Sujud adalah saat paling hampir dengan Allah. 

Bila Allah kata setiap amalan buruk yang besar ditukar dengan kebaikan yang kamu buat. Dia tanya pada Allah Ya Allah aku dah buat dosa besar yang mana aku tak nampak hari ini. Jadi kita kena sama sama berdoa supaya Allah tutup dosa dan aib kita di dunia dan akhirat. Supaya Allah tak tayang dan hitung dosa kita di akhirat kelak. Dosa kita biarlah hanya Allah sahaja yang tahu. Cukup di sini dahulu, semoga bermanafaat.

Sambal Ikan Bilis Kering

Hari ini saya ingin kongsikan sekali lagi resepi Sambal Ikan Bilis Kering yang memang sangat popular di bulan Ramadhan sebagai menu berbuka dan menu bersahur. Bila bercakap dengan kawan kawan sepejabat, rupanya inilah lauk kegemaran mereka. 

Saya makan ketika sahur dengan menggaul dengan nasi putih. Berlaukkan ini sahaja pun dah cukup. Makan sambal ikan bilis ni dengan daging goreng kunyit sahaja. Tapi rasa cukup sedap dan menyelerakan. Itu pun boleh menambah nasi berkali kali. 

Kali saya menyediakan agak banyak setelah stock yang saya sediakan sebelum ini dah habis. Senang kerana sambal ini boleh tahan lama. Sedap juga dimakan dengan lontong untuk raya ini. 

Jom layan resepi yang saya gunakan kali dan juga video penyediaannya ada di Azie Kitchen youtube channel di SINI. Selamat mencuba..

Sambal Ikan Bilis Kering

Sambal Ikan Bilis Kering

Bahan bahan:
250 gram ikan bilis
3 biji bawang besar
8 ulas bawang putih
4 sudu besar penuh cili kering kisar - ikut suka pedas
1 keping asam keping
1 sudu besar gula atau secukup rasa
1 sudu kecil garam atau secukup rasa

Cara cara:
Ikan bilis digoreng garing. Angkat, tos dan ketepikan. 

Sambal Ikan Bilis Kering

Kisar bawang bawang dan cili sehingga halus. Kalau boleh kisar dengan blender kering atau dimasukkan minyak masak sahaja semasa mengisar. Jangan guna air.

Panaskan minyak dan tumis bahan kisar dengan api perlahan sehingga benar benar masak. Kena sentiasa dikacau kerana sambal bila hampir garing, boleh menyebabkan cepat hangit.

Sambal Ikan Bilis Kering

Masukkan asam keping, gula dan garam secukupnya. Tutup api dan biarkan sambal sejuk. Jika minyak berlebihan, sendengkan kuali dan ceduk keluar. 

Sambal Ikan Bilis Kering

Setelah sejuk, masukkan ikan bilis goreng dan kacau rata. Siaap. Simpan dalam bekas bertutup. 

Sambal Ikan Bilis Kering


1 ulasan:

Add your comment
EmoticonEmoticon