Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Kari Daging Korban

Kari Daging Korban

Sebetulnya telah lama saya tidak ke dapur. Hanya Aween yang ke dapur untuk menyediakan sendiri lauk pauk dan makanan diet dia. Sejak cucunda saya Ammar Yahya berpindah ke rumah baru mereka, saya seperti kehilangan semangat, hilang jiwa. 

Walaupun telah lama bersedia dengan situasi ini tapi saya tewas. Malam malam saya akan duduk bersendirian di ruang keluarga. Merenung keliling ruang dalam rumah kami yang besar tetapi sunyi dengan hilai tawa anak anak. Rumah yang telah saya buat penambahbaikan, telah dicat dan diberi wajah baru dengan perabut dan permaidani baru. Tetapi tetap tiada serinya. Ketiadaan suara dan tangisan Ammar menjadikan rumah ini, terlalu kesepian. Ia menjadikan saya sangat sebak dan bergenang air mata. 

Saya cuba sibukkan diri dengan aktiviti lain sekadar menghiburkan hati. Hahaha sibukkan dengan aktiviti menghabiskan duit dengan bershopping online. Sibukkan dengan aktiviti berkebun dengan melawat kebun yang baru ditanam anak anak pokok. 

Insya Allah saya akan kembali ke dapur memasak dan berkongsi resepi ringkas dan memasak dalam portion yang lebih kecil untuk kami bertiga sahaja. Saya akan memasak untuk projek buku masakan saya dan juga untuk projek business kecil kecilan yang akan saya buat selepas bersara. 

Nantikan buku masakan yang juga buah tangan saya buat semua follower saya. Bukan kerana duit sebaliknya saya perlu melakukan sesuatu selepas lebih 33 tahun bekerja. Saya juga ingin memberikan sokongan kepada perniagaan anak saya Boy dan Mia di Bake & Munch. Semoga selepas kembali dari UK, akan memberi nafas baru buat saya.  

Kari Daging Korban

Hari ini saya kongsikan resepi simple biasa biasa yang disediakan sebelum Ammar berpindah. Telah lama saya perapkan draft resepi ini. Walaupun biasa biasa, ianya tetap sangat sedap bila dimasak sendiri. Sedap dimakan dengan nasi putih dan juga dicicah dengan roti. 

Jom layan resepi yang saya salin di bawah ini. Selamat mencuba....

Kari Daging Korban

Kari Daging
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
700 gram daging 
3 1/2 sudu besar rempah kari daging
1/4 kg santan segar
5 ulas bawang merah - hiris
4 ulas bawang putih - hiris
1 inci halia - hiris
Rempah penumis - kayu manis, bunga lawang
1 biji ubi kentang - potong kecil
1 sudu kecil pes asam jawa
1 sudu besar kerisik
Garam
Gula

Cara cara:
Panaskan minyak dan tumis rempah penumis, bawang putih, halia dan bawang merah sehingga kekuningan.

Masukkan rempah kari dan kacau rata sehingga wangi dan masukkan air. Masak sehingga terbit minyak.

Masukkan daging. Kacau rata seketika, agak agak daging kecut.

Masukkan air secukupnya untuk merebus daging sehingga empuk. Setelah daging empuk, masukkan ubi kentang dan kacau rata.

Masukkan santan dan kacau sehingga terbit minyak. Tambah air jika perlu. Setelah terbit minyak, masukkan garam, gula, asam jawa dan kerisik. Biarkan kuah merenih di atas api perlahan.

Setelah kuah naik minyak dan cantik, sesuaikan rasa dan bolehlah ditutup api. 

Kari Daging Korban



Catat Ulasan for "Kari Daging Korban"