Khamis, 8 November 2018

Sup Petola Dengan Telur

Sup Petola Dengan Telur

Saya menyediakan Sup Petola Dengan Telur selepas melihat ada sebatang petola yang telah hampir seminggu terperap dalam peti ais. Lagi pulak, minggu lepas berhari hari menu masak lemak sahaja. Sebelum itu, kita masuk dulu bab bab semasa.

Manusia hanya boleh merancang tapi hanya Allah yang Maha Mengetahui dan sebaik baik perancang. Mungkin saya terlepas cakap bab sakit, akhirnya pagi ini saya jatuh terjelepuk di laman depan porch sebelum bertolak ke pejabat. Sebelum naik ke kereta, saya tiba tiba mahu meihat anak pokok pucuk manis yang tumbuh di laman. Ketika mahu melangkah turun, saya tersalah pijak dan hilang imbangan badan menyebabkan saya jatuh terduduk. Kaki saya menjadi bengkak dengan tiba tiba menyebabkan saya memutuskan untuk balik rumah selepas memohon cuti. 

Saya singgah di klinik dan diberi ubat untuk disapu. Balik ke rumah, saya tidur di ruang keluarga sambil melihat cucunda saya. Sebaik terjaga, saya mendapati kaki saya bertambah sakit walaupun bengkak telah surut. Kami terus ke hospital untuk membuat xray dan mendapat rawatan selanjutnya. Sungguh tidak menjangka bila saya tiba tiba ditimpa kemalangan dan terlantar di hospital di saat banyak tugasan yang perlu disiapkan di pejabat. Hanya Allah yang lebih mengetahui hikmahnya. 

Kebelakangan ini fikiran saya memang agak terganggu dengan bayangan nahas yang menimpa pesawat Lion Air selepas berlepas 13 minit dari Jakarta. Sebetulnya setiap kali menaiki pesawat, saya tidak akan berhenti henti membaca doa terutama ketika melangkah masuk dan ketika kapalterbang mulai bergerak. 

Di ketika itu dan saat seperti itu, tiada kuasa apa pun yang dapat menyelamatkan seseorang melainkan Allah jua. Tiada guna lagi pangkat, harta dan wang ringgit. Apa lagi intan berlian. Saya akan mengucapkan syukur Alhamdulillah sebaik sahaja kapalterbang selamat mendarat. Semoga kita semua akan dijauhi dari segala bala bencana dan sentiasa mengingati Allah sepanjang masa dan setiap ketika. Aameen...

Sup Petola Dengan Telur

Kembali pada lauk sup petola ini, ianya memang sedap terutama jika kita tidak berapa berselera nak makan. Lauk sup sup memang sesuai untuk membangkitkan selera makan. Nak lagi sedap, telur kuning jangan dibiarkan terlalu masak, biar basah basah sedikit, barulah sedap.

Jom layan resepi di bawah ini dan video penyediaannya di Azie Kitchen youtube channel di SINI. Selamat mencuba...

Sup Petola Dengan Telur

Sup Petola Dengan Telur
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
1 batang petola - hiris nipis
3-4 biji telur
3 ulas bawang merah - hiris
3 ulas bawang putih - hiris
Garam
1/2 sudu lada sulah - tumbuk
Suhun - rendam dalam air
Cili merah - hiris
Daun bawang/daun sup
Bawang goreng
Minyak

Cara cara:
Panaskan minyak dan tumis bawang merah dan bawang putih sehingga wangi dan kekuningan. Masukkan air secukupnya dan masak sehingga kuah hampir mendidih.

Tuangkan telur yang telah dipecahkan ke dalam mangkuk kecil satu persatu sehingga habis. Nota: Tuang sebelum kuah mendidih kerana setelah mendidih, telur akan jadi kembang merata, tidak bulat.

Sup Petola Dengan Telur

Bila telur hampir masak, masukkan petola, cili merah, garam dan serbuk lada sulah. Akhir sekali, baru masukkan suhun.

Sup Petola Dengan Telur

Sup Petola Dengan Telur

Sesuaikan rasa dan bolehlah ditutup api supaya petola masih kekal rangup. Sebelum dihidangkan, boleh tabur daun sup dan bawang goreng.

Sup Petola Dengan Telur


2 ulasan:

  1. sedap ni kak..sayur fav...

    BalasPadam
  2. betul Azie. masih ingat lagi kata2 arwah bonda bila saya dan adik2 ingin bercuti menaiki bot ke pulau. dia nak ikut sekali sebab katanya kalau terjadi apa2 hal, biarlah dia kena sekali. dia takut kalau x ada waris yg tinggal dan dia keseorangan.
    tapi kita hanya boleh merancang kerana DIA yang berkuasa menentukan.

    BalasPadam

Add your comment
EmoticonEmoticon