Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Gulai Lemak Cili Api Ikan Tenggiri Dengan Petai

 Gulai Lemak Cili Api Ikan Tenggiri Dengan Petai

Gulai Lemak Cili Padi Ikan Tenggiri Dengan Petai memang sangat serasi. Sedap sangat rasanya. Tapi saya masukkan petai sedikit sahaja. Maklumlah harganya tersangat mahal. Satu bekas plastik saiz lebar 3 jari pun, harga lebih RM3.00. Kalau beli yang belum dikupas, harganya RM1.00 sepapan.

Insya Allah bulan November nanti, saya mahukan ke pameran MAHA untuk membeli anak anak benih pokok. Antara yang akan saya beli selain dari anak anak pokok durian, rambutan, nangka adalah anak pokok petai. 

Dah lebih 25 tahun beli tanah di Sg Buluh, belum menghasilkan apa apa pun kerana tiada pokok atau tanaman yang ditanam di situ. Bayangkan kalau dari dulu dah ditanam pokok buah buahan, pasti dah boleh merasai buahnya. Berbudi kepada tanah, pasti tidak sia sia. 

Apa apa pun sangat gembira kerana akhirnya loan pembelian tanah telah habis dibayar sepenuhnya. Berjimat jimat membayar dengan duit gaji bulan bulan selama berpuluh tahun. Ahzab lah juga. Tapi jiwa saya kental, walaupun susah, tetap bertahan membayarnya. Kalau ikutkan masa beli, gaji tidaklah tinggi. Jadi teruklah juga membayarnya. Ada ketika, rasa macam nak jual jer. Tapi demi masa depan anak anak, saya kuatkan hati.

Sejak dulu saya suka makan petai tapi masa dulu saya akan makan petai rebus ketika hari cuti sahaja kerana tidak mahu mulut berbau. Tapi kini saya dah tak kisah, kalau jumpa petai, pasti makan dengan tidak menengok kiri kanan lagi. OK sekarang kita masuk bab resepi masakan saya hari ini iaitu gulai lemak cili api Ikan tenggiri dengan petai.

Gulai Lemak Cili Api Ikan Tenggiri Dengan Petai

Janganlah ada yang meninggalkan komen, masak lemak cili padi tak dimasukkan bawang bawang dan halia. Itu versi anda. Versi masak lemak cili padi Nogori. Tapi saya menpunyai banyak versi memasak lemak cili padi. Semuanya ikut suka, ikut gerak hati dan ikut selera masing masing. 

Kita kena pelbagaikan cara memasak dan pelbagai rasa hasil masakan kita. Tak ada lah makan sejenis masakan selama lamanya. Kena lah mencuba versi lain juga supaya kita dapat rasakan perbezaan dan keenakannya.

Saya lebih suka kuah gulai lemak yang tidak pecah minyak  tapi seperti biasa lah bila di dapur saya akan memasak untuk 3 lauk serentak. Selain itu, ambil gambar menggunakan kamera dan merakam video menggunakan handphone. Jadi memang bersilat. Itulah sebab mengapa kuah gulai lemak saya dah pecah minyak. Kalau anda yang tidak bersilat seperti saya, sepatutnya kejadian lebih cantik.

Jom layan resepi di bawah ini dan juga jangan lupa video penyediaannya di Azie Kitchen youtube channel di SINI. Selamat mencuba...

Gulai Lemak Cili Api Ikan Tenggiri Dengan Petai

Gulai Lemak Cili Padi Ikan Tenggiri Dengan Petai

Bahan bahan:
1/2 ekor ikan tenggiri papan
Isi petai secukupnya
1/4 kg santan segar + air secukupnya
1 batang serai - ketuk
Sedikit serbuk kunyit
1 keping asam keping
Garam 
Sedikit gula

Bahan kisar:
10 tangkai cili padi - boleh tambah jika suka pedas
4 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
1 inci kunyit hidup
1/2 inci halia

Cara cara:
Masukkan bahan kisar ke dalam kuali dan masak sehingga air hampir kering dan masak. 

Masukkan santan dan air secukupnya. Masukkan serai dan sentiasa dikacau sehingga kuah mendidih. 

Masukkan ikan, garam, gula dan asam keping. 

Setelah hampir masak, masukkan petai dan kacau seketika. 

Gulai Lemak Cili Api Ikan Tenggiri Dengan Petai

Bolehlah ditutup api dan sedia untuk dihidangkan. 

Gulai Lemak Cili Api Ikan Tenggiri Dengan Petai

1 ulasan for "Gulai Lemak Cili Api Ikan Tenggiri Dengan Petai "

  1. Uishh..ade petai tu, boleh menambah ni kalau makan😅

    BalasPadam