Jumaat, 3 Ogos 2018

Nasi Ayam Goreng Kunyit Mudah dan Sedap

Nasi Ayam Goreng Kunyit Mudah dan Sedap

Innalillaahi wainna ilaihiroojiuun. Takziah pada Kak Adibah dan keluarga atas pemergian ke rahmatullah YB Prof Dr Shaharuddin Badaruddin yang merupakan sahabat kami semasa di Kolej Ketiga Universiti Malaya. Semoga roh Allahyarham akan dicucuri rahmatNya. Saya sangat terasa kesedihan kerana mereka suami isteri adalah antara sahabat yang sangat baik. Ketika di kolej, arwah dikenali sebagai geng surau yang mendokongi persatuan dan aktiviti surau. 

Kali terakhir saya bertemu dengan arwah ialah ketika majlis resepsi perkahwinan anakanda saya Hafez dan Mia di Concorde Hotel pada 17 Mac 2018 yang lalu. Saya ada bertanya selepas terkejut bila melihat Prof yang agak kurus. Arwah ketika itu meminta diri untuk balik awal sebelum majlis berakhir kerana tidak sihat. Sama samalah kita doakan arwah diampuni segala dosa dan dirahmati Allah. Aameen. Sekarang kita masuk bab masakan pula. 

Saya suatu masa dulu, suka makan tengahari dengan nasi ayam goreng kunyit yang sedap ini di kantin JKR bersebelahan dengan pejabat saya. Orang ramai beratur dan masa menunggu memang agak lama. Tapi berbaloi baloi kerana sangat sedap. Selepas adanya pertukaran vendor yang berniaga di JKR, tiada lagi gerai yang menjual nasi ayam goreng kunyit. 

Gerai yang ada di situ sekarang kebanyakannya menjual menu yang sama. Tak banyak pilihan makanan seperti dulu dulu. Jadi saya memang tak lagi pergi makan tenghari di sana. 

Saya teringat untuk menyediakan nasi ayam goreng kunyit selepas terpandang dalam Instagram @khairulaming. Cepat cepat meminta Nana membeli bahagian dada ayam di Giant. Saya guna 4 ketul dada ayam yang beratnya lebih kurang 700 gram. 

Nasi Ayam Goreng Kunyit Mudah dan Sedap

Sebetulnya hari ini, saya terlupa hendak memasukkan bawang besar Holland. Kelam kabut sangat ketika itu, kerana handphone saya yang diguna untuk merekod video telah kehabisan bateri. Aduhaaii. Jadi macam tak cantik lah gambar kerana ada bahan yang tidak lengkap.

Jika suka, boleh dihiriskan daging ayam ke saiz yang lebih kecil. Jadi isi ayam akan menjadi lebih garing dan rangup. Nasi putih panas panas, dengan ayam yang garing, tambah pula sambal yang pedas pedas serta kicap yang manis, juga telur yang lemak lemak, aduuh. Boleh bayangkan tak? Memang makan menambah lah. Selain ayam, nasi ini sedap juga menggunakan udang sebagai ganti ayam.  

Jom layan resepi di bawah ini dan juga video penyediaannya di Azie Kitchen youtube channel di SINI. Jangan lupa untuk mencuba sendiri di rumah.


Nasi Ayam Goreng Kunyit Mudah dan Sedap

Nasi Ayam Goreng Kunyit 

Bahan bahan:
700 gram dada ayam - potong kecil
1/2 sudu besar garam
1 sudu besar serbuk kunyit 
1 sudu besar tepung jagung
1 batang karot 
1 ikat kacang panjang
1 biji bawang besar Holland 
1-2 tangkai cili merah

Cara cara:
Lumur ayam dengan garam kunyit rata rata. Kemudian masukkan tepung jagung dan gaul rata. 

Potong sayur sayuran, bawang Holland dan cili merah. Toskan.

Nasi Ayam Goreng Kunyit Mudah dan Sedap

Panaskan minyak yang banyak dan panas, goreng secara deep fry sehingga ayam masak keemasan. Nota: Minyak mesti banyak hingga ayam tenggelam, baru ayam akan garing.

Nasi Ayam Goreng Kunyit Mudah dan Sedap

Masukkan sayuran dan kacau sehingga sayuran hampir lembut. Angkatkan sekali dengan ayam tadi. Toskan minyak. 

Nasi Ayam Goreng Kunyit Mudah dan Sedap

Nasi Ayam Goreng Kunyit Mudah dan Sedap

Sedia untuk dihidangkan bersama nasi putih panas panas bersama telur mata dan sambal cili merah. Tuangkan kicap manis. 

Nasi Ayam Goreng Kunyit Mudah dan Sedap

Sambal Cili Merah

Bahan bahan:
3 tangkai cili merah 
5 tangkai cili padi merah
1/2 sudu besar gula
Sedikit garam
Sedikit belacan - opsyenal
1 biji limau kasturi/limau nipis

Cara cara:
Tumbuk cili sehingga hancur. Masukkan gula dan garam. Tumbuk lagi. Akhir sekali masukkan perahan air limau. Jangan terlalu hancur, biarkan kasar kasar sedikit. 


Nasi Ayam Goreng Kunyit Mudah dan Sedap


3 ulasan:

  1. nampak sedap nya. terima kasih kak azie sebab sudi share resipi

    BalasPadam
    Balasan
    1. Jangan lupa utk mencuba ya

      Padam
    2. Boleh kak tunjuk ayam goreng berempah!! Terima kasih!!

      Padam

Add your comment
EmoticonEmoticon