Isnin, 13 Ogos 2018

Ikan Bakar Dengan Air Asam Pencicah Lauk Wanita Dalam Pantang

Ikan Bakar Dengan Air Asam Wanita Dalam Pantang

Setiap ibu mahu yang terbaik dan akan melakukan apa sahaja untuk memastikan anak anak mendapat yang terbaik. Sesiapa yang telah menjadi ibu pasti akan melalui dan melakukan perkara yang sama tanpa batas sempadan. Hatta sehingga anak sendiri telah menjadi seorang ibu. 

Manusia akan belajar setelah melalui pengalaman sendiri yang kadang kadang mungkin telah terlambat. Ianya hanya boleh diperbetulkan bukan pada anak sendiri tapi mungkin pada cucu. 

Contoh yang mudah ialah bagaimana saya terpaksa bekerja dan fokus pada kerjaya di kala anak anak masih kecil. Kepenatan minda di penghujung hari menjadikan anak anak lebih banyak menghabiskan masa dengan pembantu rumah. 

Bila kerjaya telah stabil, anak anak juga telah besar dan memerlukan ruang mereka sendiri. Adakala mereka tidak memerlukan kita lagi untuk berbicara. Rakan rakan yang dijadikan rujukan walaupun kita berada di hadapan mata. 

Saya sebetulnya tidak mahu menangisi masa silam dengan penyesalan. Sekurangnya apa yang saya lakukan adalah demi memberi yang terbaik untuk anak anak supaya kesilapan yang sama tidak diulangi. Hulurkan kasih sayang kerana untuk sayang dan menyayangi, tidak perlu dibayar

Sekarang kita masuk bab lauk untuk wanita berpantang kerana kebetulan saya menpunyai anak yang sedang berpantang. Hari pertama Nana keluar dari hospital, saya menyediakan Ikan Selar yang dibakar dan dicicah dengan air asam sambal dalam pantang. Saya ke Pasar taman Tun untuk mendapatkan ikan ikan segar yang boleh dimakan oleh wanita dalam pantang.

Antara ikan yang boleh dimakan ialah ikan yang menpunyai isi putih seperti kurau yang dikatakan sangat bagus untuk menyembuhkan luka rahim selepas bersalin, ikan gelama, ikan senangin dan ikan selar. 


Ikan yang tidak boleh dimakan pula ialah seperti ikan kembung, ikan terubuk, ikan cencaru dan ikan ikan yang boleh memberi kesan gatal. 

Ikan Bakar Dengan Air Asam Wanita Dalam Pantang

Masakan dan lauk wanita dalam pantang seeloknya yang jenis rebus rebus sahaja seperti ikan masak asam, ikan singgang atau sup ikan. Terutamanya di dua minggu pertama ketika luka belum baik sepenuhnya.

Jom layan resepi ikan bakar dan air asam yang sesuai untuk wanita berpantang. Ikan dilumur dengan kunyit hidup dan halia dan disiram sedikit dengan minyak bijan dan minyak zaitun. Air asam tidak boleh diletakkan cili, jadi diganti dengan lada hitam yang memang bagus untuk wanita dalam pantang. Air asam jawa juga dikatakan sangat bagus untuk hidangan wanita dalam pantang.  

Ikan Bakar Dengan Air Asam Wanita Dalam Pantang

Ikan Selar Bakar

Bahan bakar:
2 ekor ikan selar - kelar
1 inci kunyit hidup
1 inci halia  
Minyak bijan
Minyak zaitun
Garam 

Cara cara:
Tumbuk kunyit hidup dan halia. Lumur pada ikan bersama sedikit garam. 

Renjiskan minyak bijan dan minyak zaitun pada ikan. 

Ikan Bakar Dengan Air Asam Wanita Dalam Pantang

Letakkan daun pisang dan siram sedikit dengan minyak zaitun. 

Ikan Bakar Dengan Air Asam Wanita Dalam Pantang

Bakar dan terbalikkan kedua dua permukaan sehingga masak. 


Air Asam Sambal berpantang
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
1/2 biji bawang besar Holland - cincang
5 ulas bawang putih - lebihkan
1/2 sudu kecil lada hitam
Air asam jawa pekat
Gula
Garam

Tumbuk bawang putih dan lada hitam hingga hancur. Satukan semua bahan dan kacau rata. 

Ikan Bakar Dengan Air Asam Wanita Dalam Pantang

Sedia untuk dihidangkan bersama ikan bakar atau ikan panggang. 

Nota:
Elok makan banyak bawang besar Holland untuk kurus. 

Air asam jawa elok untuk wanita dalam pantang tapi bukan asam keping. 

1 ulasan:

  1. sedapnya. yg tak berpantang pun boleh makan ni kak Azie haha.

    BalasPadam

Add your comment
EmoticonEmoticon