Rabu, 20 Jun 2018

Lontong Dan Kuah Lodeh Azie Kitchen Yang Paling Sedap


Pada tekak saya, kuah lodeh dan lontong yang paling sedap adalah Lontong Nur Qaseh dari Azie Kitchen. Hahaha over giler tu, masuk bakul angkat sendiri. Jangan kecam saya. Hahaha kerana ianya adalah satu hakikat. Selera kita berbeza antara satu sama lain. Selera saya yang cerewet ini hanya boleh angkat ibu jari sendiri dengan resepi ini.

Sebetulnya tidak susah menyediakan kuah lodeh yang sedap tetapi cuba perhatikan semasa kita pergi beraya, memang susah untuk menemui lontong dan kuah lodeh yang sedap. Inlah agaknya yang dikatakan air tangan dan lagi satu memasak perlukan minat, baru ianya terhasil dengan penuh kasih sayang. 

Resepi yang telah saya gunakan sejak lebih 20 tahun yang lalu masih lagi the keeper recipe untuk kuah lodeh dimakan dengan nasi impit ganti lontong.  Semalam saya memasak kuah lodeh untuk berbuka puasa hari pertama saya berpuasa enam. Masih dalam kepenatan kerana tiba dari Kota Bharu pun sudah hampir pukul 2.30 pagi. Tapi dek dah lama nak makan lontong dengan kuah lodeh yang sedap, terpaksa lah saya masuk ke dapur dan memasaknya sendiri. 

Memasak kuah lodeh ini perlukan kreativiti sahaja. Boleh sahaja masukkan apa apa sayuran yang disukai, sebagai contoh petai ke, daun salam ke. Atau guna sahaja sayuran kegemaran masing masing. Kalau saya, saya memang akan memastikan sayuran yang berwarna warni supaya meriah sahaja kuahnya. Cuma hari ini, saya tidak dapat tempe. Beberapa kedai mencari tempe, semuanya kehabisan. 


Boleh klik di SINI untuk melihat entri lalu yang menggunakan resepi yang sama. Kuah lodeh atau kuah lontong yang sedap, mestilah cukup lemaknya. Juga kali ini saya membuat sedikit kelainan dengan saya memasak lama bahan kisar dengan air sahaja sehingga ianya benar benar masak. Kalau dulu saya terus memasaknya dengan santan cair. Lagi pulak, sementara bahan kisar dimasak atas dapur, saya bolehlah menyiang sayuran dan lain lain bahan. 

Setelah bahan kisar benar benar masak, saya masukkan air secukupnya dan diikuti dengan sayuran. Akhir sekali, baru dimasukkan santan. Dikatakan cara ini, ianya akan lebih tahan dan tidak mudah basi. Saya menyalin petua bagi memastikan kuah lodeh tahan lama. Bacakan di bahagian bawah entri ini sebagai rujukan. 

Jom layan resepi dan jangan lupa untuk melihat video penyediaannya di Azie Kitchen youtube channel. 


Lontong Nur Qaseh
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
1/4 biji kubis
1/4 biji sengkuang - potong panjang - tak letak
1 batang karot - potong panjang
6 batang kacang panjang
2 biji terung panjang 
1 biji kentang - potong 8 - tak letak
2 keping fucuk - rendam dan potong kecil
1 ikat soo hoon - rendam dan potong kecil - tak letak
1 keping tempe - potong dadu besar dan goreng - tak letak
2 keping tauhu - potong kecil dan goreng
2 batang cili merah - hiris
2 batang serai - ketuk
1 cawan udang hidup 
2 santan kotak 
Garam secukup rasa
Serbuk kunyit

Bahan kisar:
8 ulas bawang merah
1 inci kunyit hidup
2 sudu besar udang kering - rendam dan tos

Cara cara:
Masak bahan kisar dan serai bersama air sehingga mendidih supaya bahan kisar masak sepenuhnya. 



Tambahkan air secukupnya ke dalam kuali dan biarkan sehingga ianya mendidih lagi. 

Masukkan semua bahan dan sayur yang jenis keras sehingga sayur yang lembut. 


Masukkan santan dan kacau rata supaya ianya tidak berketul. Masukkan pula udang serta sedikit serbuk kunyit bagi mencantikkan warna. 


Akhir sekali masukkan cili merah, tauhu dan tempe yang digoreng. Masukkan garam dan sesuaikan rasa dan kepekatan. Terus dikacau kuahnya selepas beberapa minit api ditutup. 

Petua supaya lontong tahan lama dan tidak mudah basi yang saya salin dari SINI

1. Masak Waktu Pagi
Menurut chef, jangan sesekali masak kuah lodeh di malam hari sebaliknya masaklah ketika waktu subuh atau waktu pagi raya. Cara menyediakan mudah sahaja dan tidak memerlukan masa yang lama. Apa yang anda perlu lakukan adalah memotong kesemua sayuran di waktu malam hari. Ini membantu lebih cepat proses memasak pada keesokkan harinya.

2. Didih Sayur Sahaja
Bagi memastikan kuah lodeh mampu bertahan lama, apa yang anda boleh lakukan adalah hanya mendidihkan air dengan bahan kisaran seperti bawang, cili padi, kunyit hidup, udang kering dan bahan-bahan lain sahaja tanpa santan. Buat stok ini, didih dan perasakan secukupnya.

3. Biarkan Reneh Lama
Ketika mendidihkan kuahnya, biarkan ia direneh sedikit lama sebelum dimasukkan kesemua sayuran lain. Ini bagi memastikan bahan kisaran dimasak dengan tepat. Kemudian barulah dimasukkan kesemua bahan-bahan lain seperti tempe, kacang panjang, kentang, lobak merah, tauhu, terung, tauhu kering, kobis dan sebagainya mengikut citarasa anda.

4. Asingkan Santan
Sebaik tetamu datang, didihkan semula bahan stok kisar bersama sedikit santan yang sudah diasingkan dalam periuk berasingan. Masak semula kesemua bahan ini mengikut jumlah tetamu yang datang. Perasakan secukupnya dan bolehlah dihidangkan. Cara ini bukan sahaja tidak cepat basi tetapi lebih segar rasanya untuk dihidangkan kepada tetamu.

5. Sambal & Kuah Kacang
Sambal dan kuah kacang bolehlah dimasak pada malam raya kerana ia tidak menggunakan santan dan tidak cepat basi. Namun bolehlah menumis sambal lebih lama supaya cili lebih enak dan tahan lama. Pastikan sambal dan kuah kacang cukup lengkap rasanya.





4 ulasan:

  1. Lontong mmg feveret kite.. tq sharing resipi

    p/s: mohon PEMINAT KUCING like & subscribe channel baru saya: https://youtu.be/wfW8SsHSMvg

    BalasPadam
  2. Askm kak. Resepi ni utk berapa orang?

    BalasPadam

Add your comment
EmoticonEmoticon