Thursday, 31 May 2018

Singgang Daging Kelantan

Singgang Daging Kelantan

Mungkin dah terbiasa dari kecil dihidangkan dengan  masakan singgang, sehingga saya tidak berapa gemar makan ikan atau daging singgang. Cuma sekali sekala, bila dihidangkan dengan lauk singgang, saya akan tetap menjamahnya. 

Bila daging atau tulang, asyik masak sup sahaja. Jadi saya fikir kalau sekali sekala menyediakan Singgang Daging pun sedap juga. Bertukar selera. Kalau menggunakan daging  untuk masak singgang, beli bahagian paha atau di Kelantan dipanggil keting lagi sedap sebab ada urat urat halus antara daging. Boleh klik di SINI untuk entri Singgang Tulang saya sebelum ini. 

Singgang Daging Kelantan

Resepi ini adalah resepi yang saya tengok apa yang arwah Bonda saya guna untuk memasak singgang. Cuma arwah Bonda tidak menggunakan bawang merah di dalam masakan singgang samada singgang daging atau singgang ikan. 

Jika singgang ikan, sedap jika dipotong sekali kacang bendi ke dalam singgang. Ikan yang sedap untuk disinggang ialah ikan selar kuning, ikan kembung dan juga ikan tenggiri serta ikan tongkol.

Jom layan resepi yang saya gunakan hari ini. Selamat mencuba...


Singgang Daging Kelantan

Singgang Daging Kelantan
Oleh : Azie Kitchen

Bahan bahan:
1/2 kg daging - hiris nipis
1 inci lengkuas - hiris nipis 
1 inci halia - hiris nipis 
3 ulas bawang merah - hiris nipis
5-6 ulas bawang putih - hiris nipis
3 tangkai cili kering - potong kecil
1 sudu besar ketumbar biji - tumbuk kasar 
3 keping asam keping
Garam
Serbuk perasa Aji no moto - opsyenal
Sedikit belacan
Air - secukupnya
4 tangkai cili padi merah

Cara- cara:
Masukkan kesemua bahan bahan dan air secukupnya ke dalam periuk. Masak sehingga daging empuk. Tutup periuk supaya daging cepat empuk. Jika air kurang, boleh tambah. 

Nota: Jika suka boleh sangai dulu ketumbar biji sebelum ditumbuk kasar.

Singgang Daging Kelantan

Bila daging dah empuk, boleh sesuaikan rasa dan letak serbuk perasa jika suka. Mesti ada rasa masin masam dan manis. 

Sebelum ditutup api, boleh masukkan beberapa tangkai cili padi. Bolehlah tutup api dan sedia untuk dihidangkan. 

Singgang Daging Kelantan

Nota:
Jika guna pressure cooker, rebus daging sekejap sahaja kerana tidak  mahu daging terlalu lembut. Daging mesti kenyal, baru sedap. 

Angkat dan masuk bahan lain dan dimasak dengan api perlahan sehingga semua bahan mesra.

Singgang Daging Kelantan


Add your comment
EmoticonEmoticon