Selasa, 6 Mac 2018

Paru Sambal Sedap

Paru Sambal Sedap Azie Kitchen

Alhamdulillah anakanda kami Muhamad Hafez telah selamat melangsungkan majlis pernikahan pada hari Sabtu 3 Mac 2018. Malam pertama dia tiada di rumah, saya tidak terasa apa apa dek kerana saya sendiri kepenatan dengan majlis dan tidak sihat. Selepas mengambil ubat, saya terus masuk tidur. 

Malam kedua dan ketiga saya mula terasa kehilangan sehingga saya tidak dapat mengawal diri dan menangis sehingga bengkak mata. Juita dari Manchester memujuk saya supaya redha kerana ianya pasti ditempuhi oleh setiap orang. Tambah sebak bila Hubby pun melahirkan rasa kesedihan setelah tiba tiba, tiada lagi kelibat Boy di rumah. Kami memerlukan masa untuk melalui semua ini. Agaknya itulah yang dirasa oleh ibubapa saya dahulu. 

Pada mata saya, arwah Bonda saya adalah seorang mertua yang baik. Beliau tidak pernah menetapkan menantu perempuan perlu pandai memasak dan harus memasak. Lebih lebih lagi jika menantu juga bekerja mencari rezeki. Jauh sekali untuk arwah Bonda saya mengumpat dan mengata menantu dalam mengatur rumahtangga. Arwah Bonda juga tidak pernah mencampuri urusan rumahtangga anak anak, lebih lebih lagi rumahtangga anak lelaki. Jauh sekali hendak mencampuri hal hal remeh seperti balik raya.

Ini adalah antara perkara yang wajib saya ikuti kerana saya sendiri tidak suka sesiapa menetapkan apa yang perlu saya dan Hubby lakukan. Insya Allah, semoga Boy dan Mia dipermudahkan dalam segala urusan dan hidup berbahagia sehingga ke jannah.

Paru Sambal Sedap Azie Kitchen

Sebelum masuk bab resepi, saya ingin kongsikan antara petikan kuliah Maghrib di Surau Ad Dhuha oleh Ustaz Mad Som yang mana kita perlu sentiasa berbaik sangka dengan Allah. Topik yang saya sesuai dengan apa yang saya alami sekarang ini. Ujian yang saya hadapi terutama di dalam pekerjaan. 

Contoh yang ustaz beri ialah orang sakit perlu selalu bersangka baik dengan Allah Taala bahawa sakit yang dialami adalah kerana Allah ingin menghapuskan dosa kita. Sabda Allah, Aku mengikut sangkaan hambaKu pada Ku dan Aku sentiasa bersama HambaKu yang mengingati Ku. Antara cara mengingati Allah ialah dengan berzikir. Jadi jika kita berzikir beramai ramai, maka Allah akan berzikir dalam kumpulan lebih ramai. 

Allah akan perhatikan orang yang mengingatiNya dengan kasih sayang dan rahmat. Amalan yang paling meninggikan darjat kita, lebih baik dari sedekah emas dan perak dan lebih utama dari berjihad dan perang ialah dengan berzikir pada Allah. Lebih utama dari semuanya. 

Kepada orang yang sakit, jika kita boleh berbaik sangka dengan doktor yang datang merawat kita dengan membawa jarum dan lain alat perubatan, bukan intuk menyakiti tubuh badan kita, jadi kenapa kita tidak boleh berbaik sangka dengan Allah.

Untuk mendapat syurga kita perlu hidup di dunia terlebih dahulu. Apa yang berlaku pada kita di dunia ini adalah yang terbaik untuk kita mengikut pengetahuan dan ilmu Allah untuk kita. Berbaik sangka bahawa pasti Allah akan memberi yang terbaik sesuai untuk kita. Allah tidak menduga kita dengan sesuatu yang tidak mampu kita tanggung. 

Bila diuji, kita perbanyakkan lah berzikir kerana hasil dari zikir ada buah dan natijahnya. Zikir dengan hadirnya hati. Bukan sekadar lisan di mulut. Zikir ada adabnya seperti dengan wudhu, mengadap kiblat, pasti kita akan rasa kemanisan dalam berzikir. Akan rasa tenang hati. Sehingga memandang kecil segala yang ada di dunia. 

Jom layan resepi mudah yang saya gunakan hari ini. Paru dimasak sambal memang kesukaan saya. Samada makan dengan nasi putih, lauk untuk lontong atau dimakan dengan mee hoon. Semua boleh dengan paru sambal ini. Bolehlah ubahsuai mengikut selera dan kesukaan masing masing.


Paru Sambal Sedap Azie Kitchen

Paru Goreng Sambal

Bahan rebus:
500 gram paru
1-2 inci halia - hiris kasar
Garam
1 batang serai - ketuk

Bahan Kisar Kasar:
4 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
1 inci halia
3 sudu besar cili kisar

Bahan lain:
1 sudu kecil serbuk perasa
1 sudu besar gula
Garam - jika perlu
1 keping asam keping
1/2 biji bawang besar Holand - hiris nipis
1 batang serai - ketuk

Cara cara:
Rebus paru dengan semua bahan diatas sehingga empuk. Angkat tos dan sejukkan. Setelah sejuk, hiris nipis nipis mengikut yang disukai.

Panaskan minyak yang agak banyak supaya tenggelam paru. Goreng dengan menggunakan api yang besar sehingga garing yang disukai. Angkat dan tos.

Paru Sambal Sedap Azie Kitchen

Menggunakan kuali lain, panaskan minyak dan tumis bahan kisar dengan serai sehingga garing dan terbit minyak.

Masukkan asam keping, gula, serbuk perasa dan garam, jika perlu. 

Masukkan bawang besar hiris dan kacau rata sehingga bawang layu. Bolehlah ditutup api. 

Paru Sambal Sedap Azie Kitchen

Setelah sambal agak suam, baru dimasukkan paru yang telah digoreng tadi dan kacau rata. 

Paru Sambal Sedap Azie Kitchen

Tadaaa siaaap...

Paru Sambal Sedap Azie Kitchen



5 ulasan:

  1. Kesukaan saya sambal paru ini.. Cuma tak pernah lagi masak sendiri.. kikiki..

    BalasPadam
  2. One of my favorite dishes, Kak Azie. Cannot resist!

    BalasPadam
  3. dah lama x makan ni.....tahniah kak azie kerana dapat sorang lagi menantu. x boleh cerita banyak pasal Boy, nanti kak azie nangis lagi.

    BalasPadam
  4. Terharu baca ttg anak Pn Azie yang baru kahwin tu.. Boy

    Anyway... Hari ni nak cuba sambal paru.. Tu yag google and nak try resepi Pn. Azie. Harap2 menjadik le




    BalasPadam

Add your comment
EmoticonEmoticon