26 Oct 2017

Mee Sup Tulang Istimewa Azie Kitchen Yang Sangat Sedap


Sebelum cerita bab Mee Sup Tulang Istimewa resepi asal dari Chef di hotel terkenal, meh kita citer citer bab lain dulu. Melihatkan saya yang kebelakangan ini agak kepenatan kerana tuntutan tugasan pejabat yang banyak menyebabkan Hubby mengajak saya menonton wayang. 

Semasa menonton filem Berbisik Pada Langit lakonan Ummi Nazeera, saya menangis dari awal sehingga akhir. Semangat seorang gadis untuk keluar dari kepompong kemiskinan di kampung dengan memasuki universiti di luar negara. Harapan tinggi keluarga untuk melihat anak yang menjejakkan kaki ke univerisiti untuk membawa perubahan pada hidup mereka. Sehingga ibubapa sanggup berbuat apa sahaja demi mahu melihat kejayaan anak. Kehidupan kampus telah merubah Hajar untuk menikmati keseronokan menunggang motosikal besar. Juga telah menemui seorang boyfriend handsome yang belajar di universiti yang sama.  

Walaupun ianya tidak sama 100% dengan cerita saya, namun ianya menpunyai sedikit persamaan dengan keazaman saya untuk menjejakkan kaki ke universiti. Ianya adalah langkah untuk berhijrah ke bandar yang memang saya impi impikan sejak kecil. 

Universiti adalah titik perubahan untuk menrealisasi kehidupan yang saya inginkan. Semua dek gara gara melihat hidup bintang bintang filem ketika itu. Hasrat ingin menjejakkan kaki ke ibukota metropolitan. Ingin merubah kehidupan yang kaya raya umpama cerita hero dan heroin dalam sebuah filem. 

Kini setelah beberapa tahun berlalu, tanpa saya sedari saya kini menetap di bandar dan bekerja di sebuah organisasi ternama di tengah tengah bandaraya. Hidup seperti orang bandar yang saya pernah impikan dulu. 

Namun satu yang tidak pernah berubah adalah saya anak kampung yang membesar di kampung. Menikmati zaman remaja di kampung dengan penuh keseronokan. Yang penting, kenangan semasa di kampung sentiasa di hati. Walaupun saya tidak akan balik menetap di kampung, tetapi ibubapa saya disemadikan di sana, semua abang dan kakak serta adik juga di sana. Semua orang yang saya sayang ada di sana. Di mana saya berada, tidak penting. Yang penting, apa yang ada di hati saya. OK kita cukup setakat ini, sekarang kita masuk bab masakan pula.

Resepi mee sup istimewa yang telah saya sediakan sebelum ini, boleh klik di SINI dan di SINI. Jika dulu, saya menggunakan mee kuning, kali saya menggunakan mee hoon yang direndam dengan sedikit kunyit dan pewarna kuning telur bagi menghasilkan warna kuning seperti yang kita lihat pada mee hoon sup utara.


Bila disediakan mee atau mee hoon sup, perkara yang penting adalah Sambal Kicap. Klik di SINI untuk entri sambal kicap saya sebelum ini. Saya ubahsuai sedikit dengan meletakkan seulas bawang merah. Ada pelbagai cara menyediakan Sambal Kicap. Ada yang digoreng bahan terlebih dahulu dan ada yang hanya dikisar terus. 

Jom layan resepi. Jangan lupa video di Instagram Azie Kitchen dan youtube channel Azie Kitchen...



Mee Hoon Sup Tulang Istimewa

Bahan bahan:
1.5 kg tulang
2 biji bawang besar Holland - cincang dan tumbuk
1 labu bawang putih - tumbuk
3 inci halia - tumbuk
1 sudu besar jintan manis
1 sudu besar serbuk lada hitam
1 gelas air asam dicampur dengan 1 ibu jari belacan bakar.
2 kiub stok ayam Maggi
1 blender air
3-4 sudu kecil Maggi Cukup Rasa
Garam - jika perlu
Sedikit minyak untuk menumis

Bahan lain:
1 paket mee kuning/mee hoon - lihat di bawah
Sawi - celur
Cili kicap - resepi di bawah
Daun sup - hiris
Bawang goreng

Cara cara:
Tumis bawang putih yang ditumbuk dengan halia. Masukkan bawang besar. Tumis sehingga wangi. Masukkan serbuk jintan manis dan serbuk lada hitam. Kacau lagi. Angkat dan ketepikan.


Saya rebus tulang berasingan menggunakan pressure cooker selama 17 minit. Setelah tulang dan daging empuk, saya pindahkan ke dalam periuk bersama air rebusan. Masukkan bahan bahan yang ditumis tadi. Setelah mendidih masukkan air asam jawa yang telah ditapis.

Masukkan kiub stok pati ayam Maggi dan Maggi Cukup Rasa secukupnya. Biarkan kuahnya mendidih.


Sesuaikan rasa dan bolehlah dihidangkan dengan mee atau mee hoon bersama bahan bahan lain. Atau dimakan dengan nasi lembik umpama nasi bubur. 


Cara sediakan mee hoon:
Mee hoon di rendamkan dengan air biasa. Masukkan satu sudu kecil serbuk kunyit dan pewarna kuning telur. Bila dah siap masak kuah dan sediakan semua bahan bolehlah ganti air sejuk tadi dan rendam pula dengan air panas sehingga lembut. Toskan.

Sambal Kicap Sedap

Bahan-bahan:
15 tangkai cili padi - hijau & merah
1 ulas bawang merah
6 ulas bawang putih
Kicap manis
3-4 biji limau kasturi - ambik jus 
2 sudu kecil Maggi Cukup Rasa 
Garam - jika perlu
1 sudu gula pasir 

Cara cara:
Goreng terlebih dahulu cili padi bersama bawang merah dan bawang putih dengan sedikit minyak sehingga kulit cili padi nampak agak masak sedikit dan bawang putih nampak kekuningan, jadi bila dikisar, cepat hancur dan sebati.

Masukkan bahan yang digoreng ke dalam blender. Masukkan juga kicap manis dan garam. Kisar hingga hancur. Tak perlu masuk air. 

Setelah siap, bolehlah tambahkan sedikit jus limau dan Maggi Cukup Rasa. Sesuaikan rasa, jika perlu baru dimasukkan sedikit gula. 


Nota:
Sambal kicap ini juga boleh dijadikan sambal kicap pisang goreng dengan menambahkan sedikit air, supaya tidak terlalu pekat sangat sambal tu. 


3 ulasan


EmoticonEmoticon