Resipi · Tip Dapur · Citarasa Nusantara

Azie Kitchen

Malaysia Food Blogger

 ◆ ◆ ◆ 

Sambal Tumis Udang Dan Kos Perubatan

Azie 29/11/2026 Catat Ulasan

 


Alhamdulillah hari ini saya akan selitkan entri berkenaan masakan sebelum menyambung kembali catatan perjalanan percutian. Saya memasak ni di dalam keadaan badan tidak sihat. Saya terpaksa berhenti beberapa kali dan masuk baring di dalam bilik. 

Ini lah yang dikatakan nikmat kesihatan yang sangat berharga sehingga segala yang lain pun tidak berguna, jika badan tidak sihat. Namun saya bersyukur kerana menpunyai kemudahan perubatan dari majikan tempat saya bekerja. 

Bayangkan jika kita tidak sihat, terpaksa lagi membayar kos perubatan dsb. Pendekata, yang tak sihat akan menjadi bertambah tidak sihat. Kos perubatan bukan murah sekarang ini. 

Jadi pastikan anda menpunyai kad insurans kesihatan yang cover perubatan di saat kita memerlukan. Ok setakat ini dahulu, sekarang kita masuk pula bab masakan. 


Inilah lauk pertama yang saya masak sejak balik bercuti dari Uzbekistan dan Kazakhstan. Sejak balik, saya tak sihat dan badan jadi cepat berpeluh. 

Udang laut yang sangat segar ini menjadikan saya kuatkan diri untuk memasak. Lagi pulak, keesokannya Juita dan Faiq akan bertolak ke Japan. Mereka suka makan sambal tumis udang. 

Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Selamat mencuba….


Sambal Tumis Udang
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
½ kg udang 
4 sudu besar cili kering kisar
Garam
1-2 sudu besar gula 
2 keping asam keping
Minyak masak

Bahan kisar:
3 biji bawang besar
6 ulas bawang putih

Cara cara:
Panaskan minyak dan goreng udang sekadar bertukar warna. Angkat dan ketepikan. 



Tuang cili kering kisar dan tumis sehingga garing. 


Kemudian masukkan bahan kisar. Masukkan terus garam dan 1 sudu besar gula. Tumis sehingga terbit minyak dan benar benar masak. 


Masukkan air dan tumis sehingga terbit minyak lagi. Masukkan juga asam keping. 

Ulang proses masuk air beberapa kali untuk pastikan sambal masak sempurna. 

Setelah sambal masak, tambah garam dan gula secukup rasa, jika belum cukup.


Akhir sekali, masukkan udang dan kacau rata. Tambah sedikit air jika sambal terlalu pekat. Nota: jika suka, boleh masukkan bawang besar hiris ketika ini. 



Sudah cuba resipi ini?
 

Ulasan