Hari ini adalah hari cuti sempena Hari Deepavali yang disambut semalam. Semua anak anak ada di rumah kecuali Nana dan keluarga yang ke Putra Jaya. Jadi saya menyediakan lah sarapan. Sebelum itu, kita bercerita sedikit bab taksub.
Saya melihat betapa orang terutamanya orang Melayu mudah menjadi pentaksub samada pada orang politik atau pada artis artis. Kalau taksub pada orang politik, yang dah terang terang membuat kesalahan yang besar pun masih disokong. Masih dipuja sehingga sanggup berbuat apa sahaja. Seolah di Malaysia ni dah tak ada orang lain yang layak menjadi pemimpin politik.
Sama juga bab artis, level ketaksuban tu sehingga sanggup bersusah payah mencari “job” untuk artis. Mungkin untuk membolehkan artis “simpan” duit. Belum lagi kira membeli pelbagai produk untuk pastikan artis berjaya dalam business.
Sedangkan artis tu level pakai bag Hermes. Manakala pentaksub pula level pakai bag longchamp jer. Sanggup bergaduh sesama sendiri, sanggup memaki hamun, sanggup menanggung dosa terang terangan kerana mempertahankan artis.
Sama juga dengan orang politik. Mereka hidup kaya raya. Sedangkan kita hidup mungkin kais awal bulan sehingga akhir bulan sahaja. Tak ada lebih lebih untuk membeli handbag LV pun, apa lagi handbag Birkin. Sampai mati pun, tak dapat beli.
Aduhaai tengok lah berapa ramai orang muda yang dah meninggal. Jangan ingat orang lebih tua yang akan mati dulu. Tidak ya. Bila ditegur, akan berlambak ghost post untuk menyindir orang yang menegur. Jadi henti hentikan menjadi pentaksub sehingga berbuat apa sahaja yang bertentangan dengan apa yang diajar dan dituntut oleh Islam. Ok sekarang kita masuk pula bab masakan.
Untuk sarapan, saya menyediakan mee hoon goreng. Kebanyakan resipi mee hoon goreng sama sahaja bahan bahannya. Tetapi yang membezakan adalah teknik menggoreng.
Saya tertarik untuk mencuba resipi ini kerana tekniknya yang berbeza. Di samping itu, ada juga beberapa bahan yang jarang digunakan oleh resipi lain seperti asam jawa.
Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Selamat mencuba….
Mee Hoon Goreng Cuti Deepavali
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:
Bahan kisar:
2-3 sudu besar cili kering kisar
Sejemput ikan bilis
1 genggam cili kering lebih sikit
sebesar 20 sen belacan
Minyak - kisar dengan minyak
Bahan lain:
400 gram mee hoon - rendam air sejuk 30 minit
6-7 ulas bawang putih - ketuk
2 biji bawang besar - hiris nipis
1 mangkuk kecil daging
Udang kecil - saya letak 1 keping fish cake
Sawi/kubis
½ cawan minyak masak
Bahan perasa:
2 sudu besar gula
3 sudu besar sos cili
1 sudu besar kicap pekat atau secukupnya
Sedikit cuka - renjis
¼ sudu kecil pes asam jawa -
1 sudu besar garam atau secukupnya
Cara cara:
Panaskan minyak dan tumis bawang putih sehingga warna keperangan, baru masukkan bahan kisar. Tumis sehingga terbit minyak.
Masukkan daging dan kacau rata. Masukkan air dan gula. Tutup periuk untuk daging empuk.

Bila daging empuk, masukkan sos cili dan kicap pekat. Renjiskan sedikit cuka. Rasa dulu, sebelum masukkan garam dan serbuk perasa.
Bila sedikit kering, masukkan bawang besar hiris.

Rasakan sekali lagi untuk pastikan ada rasa manis, masin, pedas dan masam.
Masukkan batang sawi dan mee hoon. Balik balikkan mee hoon bagi sebati.

Masukkan kubis dan daun sawi.

Tolak tolakkan ke tepi dan perlahankan api. Biarkan mee hoon 2 kali naik wap. Jadi mee hoon akan tahan lama dan lembut.
Biarkan seketika dan kacau lagi sehingga keluar wap kali kedua. Siap.

Ulasan
Catat Ulasan