Resipi · Tip Dapur · Citarasa Nusantara

Azie Kitchen

Malaysia Food Blogger

 ◆ ◆ ◆ 

Masak Lemak Cili Padi Ikan Jenahak Dan Bab Kesunyian

Azie 02/11/2026 Catat Ulasan


Alhamdulillah hari ini kita bersua lagi. Sekali lagi saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada follower yang setia mengikuti blog saya. Biarlah dapat follower yang sedikit pun, asal mereka secara konsisten menyokong saya. 

Kebelakangan ini, saya merasa sangat kesunyian. Setelah anak cucu semua ke pejabat dan ke sekolah, saya tinggal keseorangan. Biasanya rutin saya ialah mengeluarkan bahan bahan dari freezer untuk dibiarkan sehingga sedia untuk dimasak. 

Kehidupan selepas bersara, memang macam ni agaknya. Lagi lagi saya yang dah lama tak drive. Jadi terperap sahaja di rumah menunggu mereka balik di sebelah petang. Sekarang, jerebu dah kurang. Boleh lah saya buat briskwalk di tasik tepi rumah. Saya akan habiskan masa dengan update blog dan juga berselawat. 

Dulu, pernah ada bibik tapi itu lah bila tiada cucu di rumah, ada bibik pun, serabut juga. Cuci rumah akan dibuat oleh cleaner yang datang bila diperlukan. Memasak saya buat sendiri. 

Entah lah dah tua ni, jadi cerewet bab makan. Kalau nampak orang bercakap cakap sambil memasak atau menceduk lauk pun jadi tak lalu. Nanti ada yang terpercik pula. Saya memasak sendiri pun, kadang tak lalu nak makan bila seorang diri. Apa lagi kalau bibik yang memasak. Jadi keperluan untuk ada bibik tu, memang tidak ada. OK sehingga di sini dulu. 




Sahabat saya tolong belikan ikan jenahak dari pasaraya di Subang Bestari. Harga nya jauh lebih murah dari yang saya beli di kedai Acheh di Kota Damansara. Segar pulak tu. 

Seperti biasa, kalau ikan selain dari digoreng saya akan masak lemak atau masak kicap. Tapi Juita dah beritahu yang dia tak suka lauk berkuah kari. Jadi kari memang, tak masuk dalam senarai lah. 

Kalau ikan segar dan isi sedap macam ni, saya suka masak yang simpel jer supaya kita dapat rasa keenakan isi ikan. Maka hari ini terhasilnya masak lemak cili padi. Terpaling simple. Tak ada pun sayuran dimasukkan sekali. 

Nak masak lemak sedap atau apa apa lauk berkuah sedap, kena guna santan segar. Cuma mahal lah. Harga utk 500 gram dah RM9.00. Nak buat macam mana. Dah kos sara hidup untuk kita kita ni semua tinggi. 

Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Selamat mencuba….




Masak Lemak Cili Padi Ikan Jenahak
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
½ ekor ikan jenahak
Garam
2 keping asam keping
300 gram santan segar
Sedikit serbuk kunyit

Bahan kisar:
1-2 genggam cili padi kampung
1 ibu jari kunyit hidup

Cara cara:
Masak bahan kisar dengan sedikit air sehingga hampir kering. 

Masukkan santan dan air secukupnya.

Setelah mendidih, masukkan ikan dan kacau berhati hati kerana ikan mudah hancur. 


Masukkan asam keping dan garam secukupnya. Renih sehingga ikan masak. Tutup api. 



Sudah cuba resipi ini?
 

Ulasan