Saya terbaca bab perkongsian seorang di dalam Threads berkenaan adab dalam berkunjung ke rumah orang. Antaranya jangan pergi rumah orang antara 8-9 pagi. Jangan pergi waktu makan tengahari dan jangan pergi waktu Maghrib. Ramai orang tak ambil berat tentang perkara ini.
Kita kena faham kenapa masa masa itu, tidak sesuai untuk berkunjung rumah orang walaupun rumah adik beradik. Lagi lagi ke rumah adik beradik lelaki. Masa tu masa yang sibuk. Orang nak mandi, nak menunaikan solat dan menyediakan makan malam.
Sangat tak beradab datang waktu Maghrib beramai ramai secara mengejut. Tuan rumah tengah nak solat dan menyediakan makan untuk keluarga. Tiba tiba datang rombongan. Bukan seorang dua. Bayangkan tuan rumah nak buat apa. Tak kan tuan rumah nak hidang air teh kosong jer. Mungkin duit pun tengah kesempitan sebab pindah masuk rumah baru.
Kalau betul nak datang sekadar nak bertanya khabar, singgah lah mana mana dan makan dahulu. Jangan menyusahkan tuan rumah. Kalau ada duit, beli bungkus untuk tuan rumah sekali. Bila sampai jer, beritahu kami dah makan tadi. Jangan susah susah. Kami sekadar nak singgah sekejap jer.
Itu baru adab yang betul. Kadang kita tak melihat diri sendiri apa yang tak betul dengan kita. Kita mula twist konon tuan rumah tak nak kita datang rumah dia. Tuan rumah sombong dsb. Ada tak sesiapa pernah mengalami perkara ini?
Saya menyediakan mee hoon goreng daun limau purut untuk sarapan kerana Nelly dan Zul ada di sini. Nelly memang suka dengan mee hoon ini.
Bila makan mee hoon daun limau purut ini ada rasa ala ala mee hoon tomyan kerana daun limau purut sinonim dengan masakan tomyam. Pokok daun limau purut saya pun dah tua, nak kena tanam baru. Saya memang banyak guna daun limau purut dalam masakan.
Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Selamat mencuba….
Mee Hoon Goreng Daun Limau Purut
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:
1 paket mee hoon - 350 gram
Udang secukupnya - buang kulit
Fish cake - jika suka
½ batang karot
3 biji telur
1 sudu kecil garam
½ cawan minyak masak
½ mug air - boleh tambah
Bahan kisar:
2 biji bawang besar - 200-250 gram
3 biji cili hijau
2 cili padi, jika mahu pedas
2 biji cili merah
18 helai daun limau purut - buang tulang
Bahan hiasan:
Daun bawang
Bawang goreng
Cara cara:
Rendam mee hoon dengan air sejuk dalam 10 minit. Tos dan ketepikan.
Kisar cili dan bawang besar sehingga hancur. Kemudian baru dimasukkan daun limau purut. Jangan terlalu hancur.
Panaskan minyak dalam kuali dan tumis bahan kisar sehingga terbit minyak.
Masukkan karot. Kacau rata. Setelah karot separuh lembut, masukkan udang dan fish cake, jika guna. Kacau rata.
Masukkan telur. Masukkan air panas. Biarkan mendidih. Masukkan garam.
Masukkan mee hoon dan kacau rata sehingga mee hoon terbit minyak. Sesuaikan rasa dan bolehlah diangkat dan dihidangkan.
Tabur daun bawang dan bawang goreng.
Nota:
Jika suka, boleh goreng telur dahulu seperti telur scramble. Angkat dan baru tumis bawang. Jadi telur akan nampak fresh.




Ulasan
Catat Ulasan