Resipi · Tip Dapur · Citarasa Nusantara

Azie Kitchen

Malaysia Food Blogger

 ◆ ◆ ◆ 

Masak Lemak Udang Rebung dan Bab Kebanjiran Nasi Bungkus Kelantan

Azie 05/10/2026 Catat Ulasan


Saya pun tumpang gembira dengan kebanjiran makanan dari Kelantan di KL ketika ini. Sekurangnya saya dapat mencari kuih muih kesukaan saya. Kuih muih yang didatangkan dari Kelantan ini sangat sedap dan rasa authentic. 

Cuma tak faham bila bab nasi bungkus atau di Kelantan dipanggil nasi berlauk bukuh. Di Kelantan terkenal dengan sarapan nasi berlauk di waktu pagi selain nasi dagang dan nasi kerabu. 

Tapi nasi berlauk di Kelantan dimasukkan terus ikan atau daging dan kuah serta sambal dan dibungkus. Bila dibuka, wallaa sedap dan ada aroma kerana nasi dah sedikit bengkak atau bekok. Kalau di sini nasi dah kembang dengan kuah. Ini baru original nasi berlauk di Kelantan. 

Tapi yang dijual di KL, lauk dan sambal diasingkan. Pasti lah kan sebab jauh perjalanannya. Tapi bila waktu nak makan, nasi dah jadi sejuk, dah jadi nasi dingin. Walaupun dituang lauk dan kuah, pasti tak sedap. Serious tak sedap. Saya tak ada niat nak bagi komen menjatuhkan tapi saya menulis pandangan jujur sebagai anak Kelantan yang membesar di Kelantan. Takut orang fikir ooh macam ni jer ke rasa nasi berlauk di Kelantan. Ooh tidak ya. 

Saya pernah juga 2 kali beli nasi berlauk sekadar nak merasa. Bukan sahaja nasi dingin, lauk pun dah tak sedap. Kalau sekadar lauk ayam atau daging masak kicap, di sini pun banyak yang sedap dan boleh dimakan dengan nasi panas panas terus di restoran. Tak perlu beli nasi bungkus. Harga pun mahal ya. Bukan murah murah. Satu lauk dengan sambal lebih RM10.00 tu. Saya tengok anak saya beli, saya diamkan sahaja. 


Saya menyediakan masak lemak udang dengan rebung hari ini. Serious sedap rebung yang diberi oleh kawan saya dari Klang. Rebung ini tidak direndam dalam air. Lebih tahan lama. Cuma sebelum digunakan dalam masakan perlu dibasuh dan direndam terlebih dahulu untuk menghilangkan rasa masinnya. 

Udang pula saya guna udang laut kerana saya sekarang memang tak suka dengan udang bela yang dijual di kedai pasar mini. Kerana ada rasa hanyir sedikit. Entah lah selera saya sekarang ini memang lebih cerewet. 

Jom layan resipi dan cara penyediaannya. Jangan lupa video di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba….



Masak Lemak Udang dengan Rebung
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
500 gram udang laut
1 sudu besar ibu sambal cili padi
500 gram santan segar
Garam
½ mangkuk rebung

Bahan tumbuk:
3 biji bawang merah
1 inci kunyit hidup

Cara cara:
Masukkan bahan tumbuk dan ibu sambal ke dalam periuk. Masak sehingga air hampir kering. 


Masukkan rebung dan sedikit air. Masak sehingga rebung empuk. 

Masukkan santan, garam dan asam keping. Masak sehingga mendidih dan rebung lembut. 

Akhir sekali, masukkan udang dan kacau rata. Masak sehingga mendidih dan udang masak. Tutup api. 



Nota:
Ibu sambal cili padi digoreng cili padi kampung, bawang merah dan bawang putih sehingga layu. Kisar dan kemudian tumis sehingga terbit minyak. Boleh klik di SINI. Simpan di dalam chiller. 



Sudah cuba resipi ini?
 

Ulasan