Resipi · Tip Dapur · Citarasa Nusantara

Azie Kitchen

Malaysia Food Blogger

 ◆ ◆ ◆ 

Masak Lemak Ketam Dan Bab Beras

Azie 03/10/2026 Catat Ulasan

 



Saya dilahirkan sebagai anak petani di mana kedua ibubapa saya menanam padi sebagai mata pencarian utama. Sebahagian hasil padi akan disimpan di rumah kecil yang saya panggil tepah padi. Setiap kali kehabisan beras, padi di sini akan diceduk dan dijemur di tengah panas dengan berlapikkan tikar. 

Ketika dijemur, perlu pergi balik balikkan dan juga untuk memastikan padi kering sekata dan juga tidak dimakan oleh ayam. Biasanya dijemur jauh dari kawasan rumah. Di kawasan lapang yang berumput tinggi sebagai perlindungan. Biasa nya di tengah rumput kemuncuk. Setelah kering, dimasukkan di dalam guni dan dihantar ke kilang dengan mengayuh basikal untuk dimesin menjadi beras. Kalau suka, ada yang menumbuk sendiri padi untuk mendapatkan beras. 

Jadi ini lah beras yang saya makan nasi dari kecil. Setelah berkahwin, saya membeli beras yang dijual di Pasar Jelawat untuk dibawa balik ke KL. Sehingga lah satu hari, anak kami Nellisa pergi ke rumah kawannya dan memberitahu nasi yang dimakan di rumah kawannya sangat sedap. Dia meminta kami membeli beras yang sama. 

Sejak itu lah kami menukar beras yang kami guna ke beras Basmathi sehingga ke hari ini. Tapi sesekali saya rindu makan nasi seperti dulu terutama jika untuk nasi lemak dan nasi goreng. Jadi saya beli 1 kampit beras wangi. Tapi anak anak saya tak suka bila saya memasak nasi lemak menggunakan beras wangi. Ok sekarang kita masuk pula bab masakan. 


Saya memesan ketam dari penjual ikan di pasar Taman Tun Dr Ismail. Saya beritahu yang saya nak yang ada telur dan banyak isi. Kalau tak banyak isi saya tak nak. 

Tapi tu hah bila tengok harga, RM76 untuk 5 ekor. Aduhai. Mahal semua barang barang basah sekarang ini. Jadi saya beli ketam ni mungkin 2-3 bulan sekali sahaja. Tak mampu nak beli setiap bulan pun. Itu lah sebabnya orang berniaga nasi berlauk, jual dengan harga mahal. 

Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Selamat mencuba….


Masak Lemak Ketam dengan Nenas
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
5 ekor ketam
1 sudu besar ibu sambal cili padi
500 gram santan segar
Garam
Daun kunyit - hiris
½ biji nenas

Bahan tumbuk:
3 biji bawang merah
1 inci kunyit hidup

Cara cara:
Masukkan bahan tumbuk, ibu sambal dan ketam ke dalam periuk. Masak sehingga air hampir kering. 

Masukkan santan, garam dan nenas. Masak sehingga mendidih dan nenas lembut. 

Akhir sekali, masukkan daun kunyit dan kacau rata. Tutup api. 


Nota:
Ibu sambal cili padi digoreng cili padi kampung, bawang merah dan bawang putih sehingga layu. Kisar dan kemudian tumis sehingga terbit minyak. Boleh klik di SINI. 


Sudah cuba resipi ini?
 

Ulasan