Resipi · Tip Dapur · Citarasa Nusantara

Azie Kitchen

Malaysia Food Blogger

 ◆ ◆ ◆ 

Masak Lemak Cili Padi Ketam Dan Rahmat Allah

Azie 25/10/2026 Catat Ulasan

 


Allah mengingatkan kita supaya jangan berputus asa jika ditimpa ujian. Manusia tidak akan diuji dengan ujian yang di luar kemampuan seseorang untuk menanggungnya. Disebut juga bersama kesusahan, adanya kesenangan. Bukan selepas kesusahan, ada kesenangan. 

Yakin lah dengan semua janji Allah. Sesungguhnya mohon sahaja dari Allah. Tiada daya dan kekuatan melainkan dengan pertolongan Allah jua. Allah mendatangkan pertolongannya samada cepat atau lambat. 

Setiap kali kita didatangkan dengan ujian dan masalah, kita rasa sangat berat. Tapi setiap kali juga ada jalan penyelesaian yang Allah tunjukkan. Semua jalan yang diberi adalah yang terbaik dan di jalan yang tidak disangka sangka. 

Amalkan membaca ayat 1000 dinar dan fahami maksud dan terjemahan dari ayat ayat tersebut. Kita akan menjadi tenang bila semua diserahkan pada Allah setelah kita berusaha dan bertawakkal. Insya Allah. OK sekarang kita masuk pula bab masakan. 




Hari ini saya masak ketam untuk makan tengahari. Semua ada di rumah kecuali Juita dan Aween. Jadi sekali masak, terus licin. Seronok kerana tak perlu nak simpan lauk. Terus basuh kuali. 

Nelly cakap sedap masak lemak hari ini. Memang dia suka kalau saya masak dengan kuah yang pekat. Untuk dapat kuah yang pekat berlemak, kena guna santan segar. Beza rasanya dengan santan kotak. 

Ketam hari ini pun banyak isi. Dalam sengat nya pun ada isi penuh. Nak tahu ketam yang isi padat, cuba ketuk cenkerang dan jika bunyi padat, maka pilih yang itu. 

Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Selamat mencuba….




Masak  Lemak Cili Padi Ketam
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
6 ekor ketam
1 batang serai - ketuk
½ biji nenas
½ kg santan 
1 keping asam keping
Garam
Daun kunyit - hiris

Bahan kisar:
1-2 genggam cili padi
2 inci kunyit hidup

Cara cara: 
Masukkan ketam, serai dan bahan kisar ke dalam kuali. Nyalakan api dan masak sehingga air hampir kering. 

Masukkan nenas dan kacau rata. 

Masukkan santan, asam keping dan garam. Kacau rata sehingga mendidih. 

Akhir sekali, masukkan daun kunyit. Kacau rata dan boleh lah tutup api. 



Sudah cuba resipi ini?
 

Ulasan